Setiap tahun saya akan cuba mengulas peranti Vivo dalam siri X kerana saya gemar akan kemampuan fotografinya. Sejak memulakan kerjasama dengan Zeiss, kemampuan fotografi peranti Vivo meningkat lagi. Kali ini saya berpeluang pula menguji Vivo X90 Pro, iaitu versi lebih mercu kepada X90 yang dilengkapi sensor kamera 1-inci dan dijana cip MediaTek Dimensity 9200 yang sama.

Jika tahun lalu Vivo X80 Pro kami nobatkan sebagai peranti mercu ketiga terbaik Amanz di belakang Samsung Galaxy Z Fold4 dan Apple iPhone 14 Pro Max, adakah Vivo X90 Pro boleh kekal dalam senarai peranti terbaik tahun 2023? Dalam artikel ini, saya sertakan pendapat awal penggunaan selepas sekitar satu hari menggunakan peranti ini.
Spesifikasi
Vivo X90 | |
---|---|
Skrin | 6.78″ AMOLED, 120Hz 1260 x 2800 pixel HDR10+ |
Pemproses | Mediatek Dimensity 9200 (4nm) |
Cip | 1 X 3.05 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 |
Cip Grafik | Arm Immortalis-G715 |
RAM | 8/12 GB RAM LPDDR5 Quad LPDDR5X untuk model 12/512 GB sahaja 8GB RAM Maya |
Muatan Dalaman | 256/512 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 50 MP, 1″, f/1.75, OIS (Sudut Lebar) 50 MP, f/1.6, OIS (Telefoto, Zum Optikal 2x) 12 MP, f/2.0 (Sudut Ultra-Lebar) 4K 60p, Zeiss T* |
Kamera Depan | 32 Megapixel f/2.45 4K 30p |
Bateri | 4870 mAh Pengecasan berwayar 120W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G |
NFC | Ya |
Infra Merah | Ya |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin |
Harga Jualan | Bermula RM3188* *Dari Yuan China |
Skrin
Peranti ini menggunakan skrin 6.78 AMOLED beresolusi FHD+, menyokong kadar segar semula 120Hz dan paparan HDR10+. Saiz yang besar ini amat memuaskan untuk menikmati kandungan video, bermain permua dan pelbagai tugasan tetapi dengan rekaan skrin melengkung ia sedikit mengganggu. Dalam cubaan ringkas, sekitar satu hari – video HDR tiada masalah dimainkan pada YouTube dan Netflix kerana ia adalah skrin untuk peranti mercu yang berkualiti dengan warna yang hidup, butiran yang jelas serta kadar kecerahan yang sangat terang.

Untuk rekaan skrin pula, bezel pada keempat-empat sisi nampak nipis memberikan pengalaman penggunaan yang imersif lebih-lebih lagi jika ingin menonton video. Skrin yang besar ini baik untuk menikmati multimedia, tetapi satu isu untuk saya adalah kedudukan pengimbas cap jari optikal di bawah skrin yang terlampau rendah menyebabkan sukar untuk menyahkunci peranti. Tambahan dengan peranti berat di bahagian atas kerana bonggol kamera bersaiz gergasi, peranti hampir terjatuh jika menyahkunci peranti dengan kaedah ini.
Mujur ada sistem imbasan wajah untuk menyahkunci kerana selepas hari beberapa jam, saya menggunakan sistem ini berbanding pengimbas cap jari. Sistem imbasan wajah X90 Pro adalah amat pantas. Ia berfungsi paling baik dalam situasi terang sahaja setakat ini kerana tiada pemancar infra merah untuk penggunaan dalam situasi gelap gelita.

Rekaan
Rekaan X90 Pro adalah lebih kurang sama dengan X80 Pro sebelum ini. Membezakannya adalah tiada lagi bonggol kamera segi empat yang besar tetapi digantikan dengan bonggol kamera bulat yang bukan sahaja bersaiz gergasi tetapi juga tebal. Ia juga bukan berada di tengah, membuatkan peranti ini tidak kelihatan simetri. Saya lebih sukakan jika bonggol kamera diletakkan seimbang di tengah seperti yang dilakukan pada Xiaomi 12S Ultra dan Huawei Mate 50 Pro.
Untuk mengingatkan pengguna peranti ini memfokuskan kepada fotografi, terdapat jalur berkilat di bawah kamera dengan teks Xtreme Imagination dan logo Zeiss berwarna biru yang ketara. Panel belakang pada unit yang diulas juga mempunyai permukaan bertekstur seperti tubuh sebuah kamera digital sebenar. Ia mengingatkan saya kepada tubuh Oppo Find N2 yang turut mempunyai panel dengan bahan yang sama.

Disebabkan bonggol kamera ini, X90 Pro tidak stabil apabila diletakkan di atas permukaan meja yang rata. Walaupun kerangka silikon diberikan, ia masih tidak menyelesaikan isu ini dan skrin melengkung turut masih mempunyai risiko untuk calar dan retak jika terjatuh. Ini membuatkan saya lebih selesa menggunakan peranti tanpa kerangka pelindung kerana kemasan di belakang yang seakan kulit dan memberi cengkaman yang lebih meyakinkan berbanding kerangka silikon licin.
Kedua-dua butang kuasa dan butang laras suara berada di sisi kanan dan ia adalah butang yang sedap ditekan. Kedudukannya ergonomik dan mudah diakses walaupun dengan penggunaan sebelah tangan. Bahan binaan logam menjadikan peranti ini terasa lebih premium.

Di atas terdapat sensor infra merah untuk alat kawalan jauh, di bawah adalah slot kad SIM, kekisi speaker dan port USB-C. Peranti ini menyokong 5G dan turut boleh menggunakan eSIM, cuma tidak pasti lagi syarikat telekomunikasi mana yang boleh memberikan sokongan eSIM pada peranti ini. Untuk audio, ia menggunakan sistem speaker stereo dengan mod audio tersendiri tanpa sokongan Dolby Atmos yang biasa kita lihat pada peranti pesaing. Talam SIM tidak mempunyai slot untuk kad mikro SD yang turut pupus seperti bicu audio 3.5mm.

Peranti ini juga rasa tegap dan sedap di dalam tangan. Vivo turut mengekalkan perlindungan IP68 seperti tahun lepas, menjadikan peranti ini lengkap dari segi semua ciri dan fungsi sebuah peranti mercu. Nampaknya ada potensi peranti ini mungkin akan disenaraikan dalam senarai peranti mercu terbaik tahun 2023.
Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan
Jujur saya katakan, tahun lepas saya merungut kerana Funtouch OS 12 yang menggunakan susun tetapan yang lain daripada Android asli, susunan grid ikon aplikasi yang pelik dan widget yang aneh. Pada Funtouch OS 13 berasakan Android 13, perkara yang sama masih berlaku. Akan tetapi kali ini saya boleh maafkan kerana Vivo sedaya upaya menjadikan Funtouch OS mirip Android 13 asli dengan banyak ciri disertakan. Misalnya ciri kustomasi tema warna peranti mengikut gambar latar, ciri sekuriti dan banyak lagi.
Funtouch OS 13 dipadatkan dengan banyak ciri dan fungsi menarik lain seperti kawalan gestur tersendiri, Smart Motion, Ultra Game Mode, Jovi Home sebagai alternatif Google Discover, RAM maya sehingga 8GB yang diaktifkan secara lalai, dan Dynamic Effect untuk menjadikan skrin peranti lebih interaktif apabila menerima notifikasi.

Seperti kebanyakan peranti daripada pengeluar China, Vivo X90 Pro turut mempunyai aplikasi pengurus peranti untuk memantau keselamatan peranti, masalah storan, kesihatan bateri dan mod permua. Aplikasi gendut turut banyak dimuatkan pada peranti ini di mana ia menjengkelkan kerana storan 256GB sebenarnya tidak besar apabila lebih ia dipenuhkan dengan aplikasi-aplikasi tidak saya gunakan ini. Syukur ia boleh dibuang dan ada juga yang boleh dimatikan.
Cip Dimensity 9200 pada peranti ini adalah amat berkuasa, tetapi masih tidak dapat menandingi Snapdragon 8 Gen 2 lagi. Walaupun begitu setakat penggunaan jangka masa pendek ini, peranti berfungsi amat lancar dan pantas tanpa ada masalah lengah masa langsung.

Disebabkan saya pindahkan data dan aplikasi dari peranti lama ke X90 Pro, beberapa aplikasi yang dibuka mengambil masa sedikit lama dilancarkan sehinggalah ia dikemaskini melalui Play Store atau dipasang semula. Untuk mengelakkan isu ini saya sarankan jangan gunakan kabel untuk pemindahan data tetapi gunakan sandaran awanan Google.

Berbeza dengan Vivo X90 yang kami beri pendapat awal semalam, X90 Pro tiada masalah memasang aplikasi Netflix menerusi Play Store. Jadi isu ini mungkin bukan oleh cip Dimensity, tetapi mungkin kerana Funtouch OS 13 yang kami gunakan masih belum versi umum yang akan dijual nanti.
Penanda Aras
Saya membandingkan kemampuan Vivo X90 Pro dengan iQOO 11 serta iPhone 14 Pro Max. Ketiga-tiga peranti ini dijana dengan cip pemprosesan kelas mercu, jadi Dimensity 9200 vs Snapdragon 8 Gen 2 vs A16 Bionic – mana satu lebih hebat dan berkuasa?
Geekbench 5
- Vivo X90 Pro – 1376/4262
- iQOO 11 5G – 1457/4702
- Apple iPhone 14 Pro Max – 1875/5469
Antutu 3D
- Vivo X90 Pro – 1,195,548
- iQOO 11 5G – 1,248,937
- Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941
3D Mark Wildlife Extreme
- Vivo X90 – 3732
- iQOO 11 5G – 3763
- Apple iPhone 14 Pro Max – 3373

Kamera
X90 Pro menggunakan kamera dengan sensor 1-inci yang dibangunkan oleh Xiaomi dengan kerjasama bersama Leica dan Sony iaitu 50MP IMX989. Sensor ini dipadankan dengan sensor 50MP telefoto zum optikal 2x serta sensor sudut ultra-lebar 12MP dan kamera swafoto 32MP. Cip ISP Vivo V2 turut disertakan untuk melakukan pasca proses setiap gambar yang diambil oleh pengguna.

Aplikasi kamera terdapat beberapa ciri menarik seperti mod Zeiss Landsc. & Archit., High Resolution 50MP, Pano waktu malam, Astro, AI Group Photo, Zeiss Natural Color, mod potret dengan pelbagai profil bokeh Zeiss. Berikut adalah beberapa sampel gambar yang sempat diambil pada hari pertama.








Apa Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima.
- 1x Vivo X90 Pro
- 1x Kerangka silikon lutcahaya.
- 1x Pengecas tiga pin 120W.
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Pin SIM.
- 1x Manual.
Kesimpulan
Walaupun Vivo X90 Pro nampak ada potensi untuk menandingi X80 Pro tahun lalu, saya masih belum boleh berikan keputusan muktamad kerana banyak ujian perlu dilakukan. Misalnya,prestasi permua grafik tinggi, prestasi kamera jika digunakan pada jangka masa panjang, ketahanan bateri dan banyak lagi. Tetapi untuk sebuah peranti fotografi, X90 Pro mungkin boleh melangkaui “imaginasi ekstrem” yang saya bayangkan.

Ketika artikel ini ditulis, Vivo masih belum mengumumkan bilak peranti X90 Pro akan dilancarkan di Malaysia secara rasmi. Dengan ada banyak pesaing tahun in turut memfokuskan kepada fotografi, kita perlu nantikan harga jualan rasmi nanti untuk menentukan adakah ini calon peranti mercu terbaik tahun 2023.
Pro
- Skrin yang cantik setanding peranti mercu.
- Cip Dimensity 9200 terbukti berkuasa.
- Sokongan pengecasan 120W yang pantas.
- Kamera Zeiss dengan mod potret mantap.
- Kalis air IP68.
Kontra
- Skrin melengkung masih mengganggu.
- Pengimbas cap jari agak rendah.
- Bonggol kamera terlampau besar.