Cari @ Amanz

OnePlus 11 Dilancarkan Untuk Pasaran Global Dengan Snapdragon 8 Gen 2 Dan Kamera Hasselblad

Link Copied!

OnePlus 11 iaitu peranti mercu baharu OnePlus hari ini dilancarkan untuk pasaran global. Peranti ini disahkan akan tiba ke pasaran Malaysia juga tidak lama lagi, selepas lebih sebulan dilancarkan di China. Menurut eksekutif OnePlus, tahun ini tidak akan ada model Pro diperkenalkan dan OnePlus 11 inilah peranti Pro mereka.

OnePlus 11 hadir dengan skrin 6.7-inci LTPO 3.0 Super Fluid AMOLED dengan resolusi QHD+, menyokong kadar segar semula 120Hz, paparan Dolby Vision dan HDR10+. Skrin turut dilindungi dengan kaca Gorilla Glass Victus. Cip pemprosesan yang menjana peranti ini adalah Snapdragon 8 Gen 2 dan dipadankan dengan memori 16GB RAM LPDDR5X dengan teknologi kecerdasan buatan RAM-Vita menguruskan memori secara lebih bijak serta storan dalaman 256GB UFS 4.0.

Peranti ini turut menyokong pengimbas cap jari bawah skrin yang pantas, hadir dengan bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 100W SuperVOOC tanpa sokongan pengecasan nirwayar, mengembalikan suis lungsur notifikasi, speaker Dolby Atmos Dual “Reality”, Bluetooth 5.3, 5G, WiFi 7, NFC dan tiada perlindungan IP68. Peranti ini menjalankan Oxygen OS 13 berasaskan Android 13 yang terkini dengan ciri kesihatan bateri dan pemantauan pengecasan.

Untuk kamera, OnePlus 11 menggunakan konfigurasi 50MP sudut lebar Sony IMX890 f/1.88, OIS+EIS + 48MP sudut ultra-lebar Sony IMX581 f2.2 + 32MP sensor telefoto potret Sony IMX709 f/2.0, 2x zum optikal. Turut tersedia pada peranti ini adalah sensor pengecaman warna-cahaya 13-saluran Accu-spectrum, kamera swafoto 16MP Sony IMX471 f/2.45. OnePlus sekali lagi bekerjasama dengan Hasselblad untuk teknologi Hasselblad Camera for Mobile.

Pilihan warna adalah Titan Black dengan kemasan kusam seakan kertas pasir atau Eternal Green kemasan berkilat anti cap jari. Binaan peranti adalah gabungan logam dan kaca Gorilla Glass 5, sementara rekaan bonggol kamera inspirasi daripada lohong hitam di angkasa.

Harga jualan peranti ini di pasaran Amerika Syarikat untuk model 16/256 GB adalah $799, iaitu sekitar RM3438. Untuk pasaran Malaysia peranti ini akan dilancarkan pada 14 Februari akan datang.


Komen ()