Cari @ Amanz

Tahun lepas, TWS mercu pertama OnePlus telah dijual di Malaysia iaitu OnePlus Buds Pro. Ulasan kami memberikan TWS ini skor 9.3/10 kerana memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan dengan audio yang mengasyikkan.

Versi terbaru adalah OnePlus Buds Pro 2 yang mana di luar nampak serupa, tetapi dalamannya adalah lebih baik. TWS ini menggunakan pemacu audio jenis dwi-dinamik MelodyBoost Dynaudio 11mm + 6mm. Sokongan LHDC 4.0 Lossless Hi-Res Audio untuk audio lebih berkualiti tinggi disertakan dengan bantuan sambungan Bluetooth 5.3 LE Audio untuk sela masa serendah 54ms. Terdapat tiga mikrofon terbina dengan algoritma AI dan turut menyokong tambatan pantas Google Fast Pair.

OnePlus Buds Pro 2 turut menyokong audio spatial dengan kerjasama bersama Hans Zimmer untuk audio pada tetapan bagi pengguna mencuba ciri ini. Ciri Audio ID 2.0 turut disertakan untuk penalaan prodil audio mengikut tahap pendengaran pengguna, dan sokongan pembatalan hingar adaptif 48dB bersama mod tembus bunyi turut boleh dinikmati. Ciri pengesanan kepada dan tulang belakang untuk pemantauan kesihatan boleh digunakan agar posisi pengguna sentiasa yang terbaik.

Untuk memastikan TWS ini sesuai di bawa bersukan, perlindungan IP55 disediakan dengan kawalan sesentuh. Jika pengguna memiliki dua peranti ciri Dual Bluetooth Connectivity boleh digunakan untuk tambatan pantas dan penukaran antara peranti yang mudah. Sementara untuk pengguna yang ingin meditasi ciri Zen Mode Air boleh terus digunakan dalam peranti OnePlus atau peranti lain melalui aplikasi HeyMelody yang turut boleh digunakan sebagai aplikasi kawalan dan kemaskini perisian TWS baharu ini.

Bateri setiap fon telinga adalah 60mAh sementara kerangka pengecasan adalah 520mAh dengan ketahanan bateri mencapai 9 jam dan 39 jam. OnePlus Buds Pro 2 ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Arbor Green atau Obsidian Black yang menggunakan kemasan lembut dengan lapisan kusam taktil NCL.

Harga jualan pasaran tempatan hanya akan didedahkan pada 14 Februari nanti bersama-sama dengan OnePlus 11. Di Amerika Syarikat, OnePlus Buds Pro 2 dijual pada harga $179 iaitu sekitar RM770.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd