Carian
Realme Masih Dalam Perbincangan Membangunkan Realme UI Tanpa Kod Color OS
February 15, 2023 Fahim Zahar

Realme dua hari lepas telah melancarkan Realme 10 4G untuk pasaran tempatan. Peranti ini adalah telefon pintar kelas pertengahan asas yang memfokuskan kepada permua. Cip yang digunakan adalah Helio G99, skrin AMOLED 90Hz, kamera 50MP, bateri 5000mAh dengan pengecasan pantas 33W dan menjalankan Realme UI 3.0 berasaskan Android 12.

Selepas acara pelancaran, saya menemuramah Michelle Tiong iaitu pengurus produk Realme. Saya tanyakan kepada beliau kenapa peranti Realme 10 4G tiada sensor kamera sudut ultra-lebar sedangkan peranti pesaing dalam kelas sama sedia menyediakannya. Jawab beliau, peranti ini sudah fokus kepada gaming dan untuk menjual pada harga RM999 – sensor kamera itu harus dibuang.

Bukan itu sahaja, saya turut tujukan soalan mengenai pembangunan di sebalik Realme UI. Seperti semua sedia maklum, Realme UI dibina berasaskan kod Color OS dari Oppo – jadi antaramuka, ciri dan fungsi adalah lebih kurang sama. Tetapi sebelum ini mereka ada menyatakan akan membangunkan sistem operasi tersendiri yang lebih dekat dengan Android asli – tetapi dibatalkan dan kekal dengan menggunakan kod Color OS.

Walaupun Realme sudah beroperasi secara kendiri, Realme UI masih lagi ada DNA Color OS dari Oppo. Menurut Michelle, Realme masih dalam perbincangan untuk membangunkan sistem operasi tersendiri sepenuhnya bebas 100% dari Oppo. Cuma tiada sebarang janji lagi, bilakah perkara ini akan menjadi realiti. Jika anda inginkan pengalaman seakan Android asli, Realme UI dan Color OS sudah banyak mengimplementasikan ciri tersebut. Mungkin Realme ingin mengikut strategi OnePlus, menggunakan asas kod sama agar pengedaran kemaskini adalah lebih pantas.

Apa kata anda?

Komen