Cari @ Amanz

Kiub Terbesar Dunia The Mukaab Setinggi 400 Meter Akan Dibina Di Riyadh

Link Copied!

Projek mega di Malaysia dahulu adalah dalam bentuk Menara Berkembar PETRONAS, KLIA dan Putrajaya. Tetapi projek mega di negara kita ini boleh dikatakan mini dari segi skala apabila dibandingkan dengan projek-projek mega di Arab Saudi. Semalam projek Mukaab telah diumumkan dengan ia merupakan bangunan berbentuk kiub terbesar dunia dengan dimensi 400x400x400 meter di bandaraya Riyadh.

Ini adalah cukup besar untuk menempatkan 20 bangunan Empire State. Di dalam Mukaab yang bermakna kiub dalam Bahasa Arab terdapat sebuah menara yang akan menjadi tempat kediaman, membeli belah, pelancongan, dan perniagaan. Menara ini mempunyai keluasan lantai 2 juta meter persegi.

Menara ini akan dilitupi oleh gergasi yang boleh memaparkan pelbagai pemandangan luar kerana Mukaab tidak mempunyai tingkap. Oleh itu pemandangan penduduk di dalam menara boleh diubah mengikut musim, masa dan situasi.

Di bahagian luar membentuk tubuh kiub Mukaab terdapat lagi tempat tinggal dan di bahagian atap terdapat pula sebuah taman untuk kegunaan pelawat dan penduduk. Ini sekaligus akan menjadikannya taman terbesar dan tertinggi dunia.

Mukaab adalah sebahagian daripada projek New Murabba dengan keluasan 19 kilometer persegi yang akan menjadi tempat tinggal ratusan ribu penduduk. Di dalam bandar baharu ini, terdapat ruang lantai seluas 25 juta meter persegi yang akan menempatkan universiti, muzium, ruang pejabat, hospital dan tempat tinggal. New Murabba dijangka siap menjelang 2030.

Dengan Mukaab, Arab Saudi akan mempunyai negara dengan kiub terbesar dunia, bangunan paling panjang dunia The Line dan menara tertinggi dunia mencecah 2 km.


Komen ()