Bulan lepas, Redmagic 8 Pro dilancarkan secara rasmi untuk pasaran global. Menjadikan peranti gaming kedua selepas iQOO 11 dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 2. Seperti model sebelum ini, Redmagic 8 Pro turut mempunyai kipas terbina sebagai sistem penyejukan peranti, sistem lampu RGB dan butang bahu sesentuh dengan sistem getaran yang boleh menjadikan pengalaman bermain lebih realistik.
Redmagic 8 Pro telah pun sampai di makmal Amanz sejak minggu lepas dan selepas menggunakannya untuk beberapa hari saya boleh katakan inilah telefon pintar gaming yang paling cantik pernah saya pegang. Tetapi adalah ini peranti gaming terbaik setakat ini?
Spesifikasi
REDMAGIC 8 PRO | |
---|---|
Skrin | 6.8″ AMOLED, 120Hz 1116 x 2480 piksel |
Pemproses | Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) |
Cip | 1x 3.2 GHz Cortex-X3 2x 2.8 GHz Cortex-A715 2x 2.8 GHz Cortex-A710 3x 2.0 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Adreno 740 |
RAM | 12GB RAM LPDDR5X |
Muatan Dalaman | 25GB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 50 MP Samsung GN 5, f/1.88 (Sudut Lebar) 8 MP, f/2.2, (Sudut Ultra-Lebar) 2 MP, f/2.4, (Makro) |
Kamera Depan | 16 Megapixel f/2.0 Kamera bawah skrin (UDC) Generasi Ke-2 |
Bateri | 6000mAh Pengecasan berwayar 65W Charging bypass |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G |
NFC | Ya |
Audio | Bicu audio 3.5mm Speaker stereo |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin |
Harga Jualan | *RM2877 *Penukaran mata wang USD |
SKRIN
Saiz skrin 6.8-inci adalah saiz yang besar. Dengan penggunaan kamera bawah skrin, tiada sebarang takuk atau lubang kamera secara langsung memberikan pengalaman penggunaan yang sangat imersif. Walaupun resolusi sekadar FHD+ sahaja skrin yang luas dan rata ini memudahkan saya untuk menikmati kandungan video dengan serta main permua dengan pengalaman penuh memuaskan. Bezel juga nipis tetapi di sebabkan rekaan rata di keliling peranti tiada masalah untuk mengendalikan peranti ini sama ada dalam bentuk menegak atau landskap.
Skrin juga tiada sebarang pengiktirafan HDR10+ atau Dolby Vision pada Netflix. Ini tidak dijelaskan pada laman web rasmi menjadikan pengalaman menonton tidak sebaik pada Black Shark 5 Pro atau ROG Phone 6 Pro. Tetapi panel skrin itu sendiri sedia menyokong HDR10+, cuma terhad dengan YouTube sahaja.
Kadar segar semula 120Hz juga memuaskan kerana setakat penggunaan beberapa hari ini tiada sebarang lengah masa terasa dan tatalan sangat lancar. Peranti ini juga tidak menggunakan skrin LTPO, jadi kadar segar semula tidak adaptif. Kadar segar semula boleh ditukar ke 60, 90 dan 120Hz menerusi skrin tetapan atau widget khas.
REKAAN
Seperti saya katakan tadi di awal artikel, 8 Pro ini adalah peranti gaming paling cantik yang pernah saya gunakan. Ini kerana peranti ini menggunakan rekaan rata secara keseluruhan, baik di sisi, depan, belakang, atas atau bawah semuanya rata menjadikan peranti ini berkotak. Saya akur bahawa definisi “cantik” ialah sesuatu yang subjektif. Rekaan lebih berkotak adalah trend semasa dan ini selari dengan selera peribadi yang menyukai rekaan sebegini. Ia tidak agresif seperti ROG Phone 6 atau panel yang kompleks seperti Black Shark 4 Pro.
Setiap bucu juga tidak tajam membuatkan ia selesa dalam tangan serta mengelakkan kecederaan jika peranti jatuh di atas anggota tubuh. Cuma penggunaan jangka masa panjang adalah sedikit lenguh kerana peranti ini adalah berat. Unit ulasan yang saya gunakan ini menggunakan warna hitam kusam. Tidak seperti model tahun lepas yang lutsinar sehingga menampakkan kipas penyejuk.
Peranti ini hitam gelap yang menjadikannya lebih seksi. Kemasan belakang yang lembut dan sedap pegang serta tidak licin, ada teks ringkas generasi peranti, jenama, logo dan memberitahu lokasi butang bahu sentuhan. Kedudukan kamera adalah di tengah disusun secara menegak seakan Samsung Galaxy S23 Ultra tetapi dengan lensa yang tidak begitu tebal dan mudah diletakkan di atas permukaan meja dengan rata.
Tidak lupa juga yang peranti ini mempunyai sistem RGB yang disembunyikan di sebalik teks butang bahu dan jenama. Sistem RGB yang digunakan menarik kerana diselarikan dengan permua dijalankan. Ia turut boleh bergerak selari dengan audio yang dimainkan dan dengan kecerahan meningkat mengikut tahap kelantagan audio.
Sisi kanan peranti terdapat butang bahu sentuhan, suis lungsur mod permua, kuasa, lubang mikrofon dan lubang pengudaraan “Cooling Air Duct”. Di sisi kiri terdapat lubang udara penyejukan kedua dan butang laras suara.
Di atas ada satu lagi lubang mikrofon, kekisi speaker dan bicu audio 3.5mm. Akhir sekali di bahagian bawah ada satu lagi lubang mikrofon, slot kad SIM dan kekisi speaker juga.
Redmagic 8 Pro memang nampak seksi dan cantik. Selepas menggunakan peranti ini beberapa hari saya duduk termenung mempersoalkan kenapa saya seakan pernah lihat rekaan seperti ini? Barulah saya teringat rekaan peranti gaming berkotak ini dimulakan oleh Razer dan pernah di Amanz kami menguji Razer Phone 2.
ANTARAMUKA Dan PENGALAMAN PENGGUNAAN
Pada Redmagic 7s Pro saya katakan peranti tersebut mempunyai masalah perisian kerana penggunaan RedMagic OS 5.5 berasaskan Android 12 yang separuh masak. Redmagic 8 Pro pula menjalankan RedMagic OS 6 berasaskan Android 13. Setakat penggunaan dalam tempoh yang singkat, masalah yang sama masih saya temukan.
Contohnya ialah adalah peranti versi global ini masih banyak aplikasi dengan teks Mandarin. Bukan itu sahaja, banyak tetapan yang dijelaskan dalam bahasa Inggeris mengelirukan kerana seperti menggunakan terjemahan Google Translate yang kurang tepat.
Pada talam aplikasi pula selepas selesai membuang beberapa aplikasi, ikon yang berganjak tidak dipaparkan menjadikannya rompong dan aneh kerana nampak tidak kemas. Kemudian untuk versi global, peranti masih menggunakan tampalan sekuriti November 2022 yang sudah jauh ketinggalan. Ketika artikel ini diterbitkan masih tiada kemas kini baharu diberikan.
Walaupun begitu, RedMagic OS 6 adalah sistem operasi telefon Android keluaran China yang ringan. Ringan kerana hampir tiada aplikasi gendut langsung. Aplikasi Google terpasang banyak boleh dimatikan, sementara beberapa aplikasi Nubia sendiri boleh dibuang oleh pengguna sekiranya tidak diperlukan.
Walaupun peranti ini menjalankan Android 13, tidak banyak ciri Android 13 kelihatan seperti kustomasi Material You yang memberikan kebebasan memilih tema warna peranti Color Theme. Redmagic masih bergantung banyak pada perisian peranti Nubia di China. Walaupun begitu, RedMagic OS 6 masih menawarkan banyak ciri dan fungsi menarik seperti yang saya senaraikan di bawah.
- Red Magic Studio – Membolehkan kandungan peranti disiarkan pada skrin laptop dan menjadikan peranti sebagai alat kawalan bermain permua.
- Tetapan jalur RGB – RGB yang boleh diubahsuai warna dan corak pergerakan.
- Always-On Display bergerak – Banyak pilihan AOD, ada yang bergerak mengikut masa, peratusan bateri, animasi yang comel dan banyak lagi.
- Sound Sharpening – Ciri menjadikan audio dari speaker lebih tajam.
- neo AI – Mengandungi dua ciri penting iaitu Smart Game untuk menguruskan permua seperti meningkatkan prestasi dan mengawal kipas serta neo Speed sistem pintar yang menguruskan memori peranti dan menjaga keselamatan.
- Cooling Fan – Tetapan mengawal sistem ICE 11 Multi-Dimensional Cooling System iaitu kipas penyejuk yang bergerak pada kadar maksima 20,000 RPM.
- SuperSnap – Ciri pengurusan tangkapan layar, termasuk menambah tera air.
- Pengimbas Nadi – Boleh mengimbas nadi menggunakan pengimbas cap jari bawah skrin.
- Mora – Pembantu digital anime yang berguna
PENANDA ARAS
Seperti biasa, apabila ada peranti baharu masuk ke makmal Amanz ujian penanda aras akan dilakukan. Redmagic 8 Pro yang dijana cip Snapdragon 8 Gen 2 ini memberi harapan akan mempunyai skor tinggi kerana pengalaman prestasi yang dahsyat dan sejuk – lebih-lebih lagi kipas auto-hidup apabila Geekbench 6, AnTuTu dan 3DMark serta permua dijalankan. Dalam ujian ini saya bandingkan peranti ini dengan Samsung Galaxy S23 Ultra dan OnePlus 11.
Geekbench 6
- Redmagic 8 Pro – 1689/5301
- OnePlus 11 – 1495/4805
- Samsung Galaxy S23 Ultra – 1922/5017
AnTuTu 3D
- Redmagic 8 Pro – 1,293,501
- OnePlus 11 – 1,104,135
- Samsung Galaxy S23 Ultra – 1,171,384
3D Mark Wildlife Extreme
- Redmagic 8 Pro – 3738
- OnePlus 11 – 3712
- Samsung Galaxy S23 Ultra – 3247
Geekbench 6 agak lemah pada penggunaan satu teras, tetapi paling pantas dalam multi-teras. AnTuTu 3D pula paling pantas setakat ini sehinggakan aplikasi memberitahu skor diterima adalah pada kadar luar biasa. 3DMark juga paling pantas. Ini adalah skor yang sudah saya jangkakan untuk peranti gaming kerana ada sistem penyejukan dan pengurusan memori yang bagus.
Sepanjang melakukan ujian, peranti langsung tidak panas kerana sistem penyejukan berkipas fizikal terbina dalam tubuh. Bukan itu sahaja, Redmagic turut mendakwa yang peranti ini menggunakan bahan konduktor haba lembut yang nadir, terdapat lapisan tembaga dan grafena di bawah skrin serta ada gel menyerap haba bagi memastikan peranti ini sentiasa sejuk.
Pengalaman bermain permua dalam jangka masa pendek juga setakat ini adalah sangat memuaskan. Tetapi saya masih perlukan masa untuk menguji kemampuannya secara mendalam. Jadi teruskan ikuti Amanz untuk ulasan penuh peranti ini.
KAMERA
Seperti biasa, Redmagic 8 Pro adalah peranti gaming jadi mereka tidak berikan fokus pada kamera. Tetapi kamera 50MP yang disertakan adalah baik sahaja. Saya juga masih tidak menguji kamera sepenuhnya, berikut adalah contoh yang peranti ini mampu hasilkan.
APA DALAM KOTAK?
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima.
- 1x Redmagic 8 Pro
- 1x Kerangka plastik.
- 1x Pengecas tiga pin 65W.
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Pin SIM.
- 1x Manual.
KESIMPULAN
Setakat ini baru ada satu peranti gaming Snapdragon 8 Gen 2 tiba ke pasaran Malaysia, menjadikan Redmagic 8 Pro ini adalah yang kedua. Masih tiada khabar mengenai Black Shark dan ASUS ROG Phone generasi seterusnya. Tetapi apa yang saya boleh katakan, prestasi peranti ini adalah sangat dahsyat.
Rekaan juga cantik dan nampak unik berbanding kebanyakan peranti gaming berada di pasaran sekarang. Peranti ini ada potensi menjadi peranti gaming paling hebat tahun ini. Tetapi semua bergantung pada harga jualan. Di Amerika Syarikat model sama dengan unit ujian ini dijual pada harga $649 iaitu sekitar RM2877. Jika RedMagic Malaysia dapat menjual peranti ini pada harga RM2,999 atau RM3,199 pasti memukau golongan gamer di luar sana.
Pro
- Skrin yang luas tanpa gangguan.
- Peranti Snapdragon 8 Gen 2 paling berkuasa setakat ini.
- Rekaan yang cantik dan unik.
- Pengecasan pantas 65W dengan sokongan charging bypass.
Kontra
- RedMagic OS 6 yang masih tidak cukup masak.
- Kerisauan mengenai kemas kini perisian.
- Audio yang hanya kuat, tetapi tidak enak.