Generasi baharu peranti Vivo V telah disahkan tiba pada 1 Mac hadapan dengan beberapa pilihan model. Ini termasuk Vivo V27e yang kelak menjadi sebuah peranti dengan kebolehan sistem pengimejan mudah alih menarik khususnya bagi penggambaran portrait dan pencahayaan rendah.

Terkini spesifikasi peranti didapati tertiris menerusi perkongsian laman PriceBaba. Ia menunjukkan cip MediaTek Helio G99 akan digunakan sebagai tunjang utama. Ini dipadankan dengan memori 8GB RAM serta tambahan maya 8GB RAM yang menjadikan peranti menyokong sehingga 16GB RAM untuk keseluruhannya. Turut disertakan ciri Boost Mode bertujuan bagi pengalaman permainan mudah alih yang imersif.

Seterusnya tetapan kamera utama pula terdiri dengan 64MP OIS (utama) + 2MP (bokeh) + 2MP (makro), manakala kamera hadapan pula sebesar 32MP. Pelbagai ciri fotografi dan videografi menarik yang disertakan seperti Low Light Portrait, Vlog Movie dan Movie Luts yang serba baharu. Bertambah menarik apabila peranti juga mempunyai ciri Aura Light Portrait yang sangat berguna menjadikan tangkapan malap lebih berkualiti.
Skrin pula menyokong kadar segar semula 120Hz, selanjutnya kapasiti bateri pula sebesar 4800mAh yang turut menyokong pengecasan pantas 66W. Peranti juga didapati melepasi penarafan kalis air IP54 dan menjalankan antaramuka FunTouch13 yang dibina berasaskan Android 13.

Sementara itu rekaan peranti juga mula diperlihatkan menerusi gambar sebesar tular. Ia tampil menarik dengan panel belakang berkilau yang dihiasi dengan motif seakan bulu burung. Bukan itu sahaja, modul kamera juga agak tebal seumpama yang boleh kita temui pada Vivo V23 sebelum ini.
Bagi melihat sama ada maklumat tertiris ini benar atau sebaliknya, sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya pada minggu hadapan.