Mercedes-Benz adalah pengeluar kereta mewah yang rancak mengintegrasikan banyak teknologi dalam kereta mereka. Mereka telah memperkenalkan pelan langganan untuk meningkatkan pecutan kelajuan kereta dan juga antara pertama menyertakan Apple Music menerusi inforia MBUX.
Terkini, Mercedes-Benz ingin memperkenalkan aplikasi natif untuk inforia MBUX mereka tanpa bergantung kepada Apple CarPlay atau Android Auto dengan bergantung kepada telefon pintar pengguna. Sistem baharu ini dibangunkan agar di masa hadapan banyak aplikasi boleh terus diintegrasikan dengan lebih pantas.

Untuk peringkat awal, Mercedes membawakan aplikasi TikTok untuk pengguna menikmati hiburan. Bukan itu sahaja, permainan Angry Birds turut akan diintegrasikan terus. Selain itu untuk memanfaatkan kamera terbina dalam kereta, aplikasi Zoom dan Webex turut akan diberikan untuk memudahkan pengguna menyertai sesi telesidang atau melakukan panggilan video – cuma kamer ahanya aktif apabila kereta tidak bergerak.
Menariknya, sokongan aplikasi pelayar web Vivaldi turut diberikan agar pemilik kereta boleh mencari maklumat terus di web. Cuma buat masa ini, ciri ini terhad kepada Mercedes-Benz E-Class sahaja.