Cari @ Amanz

Pandang Pertama OnePlus 11 Concept – Konsep Dengan Rekaan Dan Penyejukan Yang Cool

Oleh Nazrin

Link Copied!

Siri peranti OnePlus 11 5G dilancarkan tidak lama dahulu dan memperlihatkan OnePlus kembali memperlihatkan peranti yang bukan sahaja hadir dengan rekaan dan spesifikasi dalaman kelas premium, tetapi juga memperkenalkan sistem kamera baru yang dibangunkan dengan kerjasama bersama Hasselblad untuk menjadikannya sebuah peranti kelas mercu dengan tarafnya tersendiri.

Terkini, di acara Mobile World Congress 2023 yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol, OnePlus telah memperkenalkan sebuah peranti konsep yang dibangunkan berdasarkan peranti OnePlus 11 5G, iaitu OnePlus 11 Concept yang hadir dengan sejumlah penambahbaikan yang mana pihak OnePlus menjanjikan akan memberikan peranti ini menjadi lebih hebat lagi.

Spesifikasi Dan Rekaan

Seperti yang dikatakan sebelum ini, OnePlus 11 Concept dibangunkan berdasarkan peranti OnePlus 11 5G, dan ini bermakna dari segi penawaran komponen dan binaan yang ditawarkan, ia adalah dua peranti yang sama.

Ia menggunakan paparan LTPO-3 bersaiz 6.7 inci dengan resolusi QHD yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 yang terbaru dan juga memori LPDDR5X 16GB dan memori maya 12GB bersama storan dalaman 256GB UFS 4.0.

Sistem kamera 50MP+48MP+30MP sama yang dibangunkan dengan kerjasama Hasselblad juga digunakan pada peranti ini, dan tampil dengan teknologi XPan yang sama. Jadi, jika peranti OnePlus 11 Concept ini hadir dengan spesifikasi dalaman yang sama dengan model OnePlus 11 5G sebelum ini, apakah perbezaannya?

Seperti yang diperlihatkan dalam imej pengolokan yang ditunjuk oleh OnePlus, dua perbezaan yang paling besar dapat dilihat pada peranti OnePlus 11 Concept ialah gabungan rangka lutsinar yang memperlihatkan sedikit kedalam rekaan dalaman di bahagian belakang peranti ini dan juga sistem pencahayaan LED yang terbina didalamnya.

Bermula dengan rangka lutsinar tersebut, ia dinamakan kerangka Clearflow Cover yang memperlihatkan teknologi penyejukan baru OnePlus yang dibangunkan khas untuk peranti ini. Dengan kerangka ini juga, sistem pencahayaan Halo Lighting turut diperlihatkan untuk melihatkan paip-paip penyejukan yang terbina didalam peranti ini untuk memperlihatkan aliran haba dan cecair penyejukan yang terkandung didalamnya.

Sistem pencahayaan Halo Lighting pula membantu dalam memberikan visual kepada aliran cecair penyejukan tersebut, memberitahu pengguna sekiranya komponen-komponen dalam OnePlus 11 Concept ini sedang beroperasi pada suhu yang optima.

Sistem pencahayaan ini dapat diperlihatkan pada rangka belakang dan juga sekeliling modul kamera peranti ini, dan akan hadir dengan rona warna biru yang berbeza.

Sistem Penyejukan Active CryoFlux

Perbezaan terbesar diantara peranti OnePlus 11 5G dan OnePlus 11 Concept sudah semestinya sistem penyejukan terbaru yang diperlihatkan oleh OnePlus, iaitu Active CryoFlux. Sistem penyejukan ini menggabungkan penggunaan cecair penyejukan dan pam piezoelektrik yang hadir dengan saiz sekecil 0.2 cm2 yang memastikan bahawa rangka peranti OnePlus 11 Concept tiada beza dengan OnePlus 11 5G yang asal.

OnePlus mengatakan lagi bahawa sistem penyejukan terbaru mereka ini menjanjikan prestasi yang lebih baik, dimana penurunan suhu komponen SoC dilihat akan meningkatkan prestasi gaming dan juga pengecasan peranti dengan lebih baik.

Menurut unjuran mereka sendiri, penurunan suhu sebanyak 2.1 darjah Celcius akan membantu dalam meningkatkan kadar bingkai permainan sebanyak 3-4FPS bergantung kepada permainan, dan untuk pengecasan peranti pula, penurunan sebanyak 1.6 darjah Celcius akan meningkatkan kadar pengecasan peranti sebanyak 30-45 saat menggunakan pengecasan SuperVOOC 100W mereka.

Sistem penyejukan Active CryoFlux ini juga dilihat digunakan pada sistem kamera OnePlus 11 Concept ini, dimana OnePlus menggunakan ukiran Guilloché di sekeliling modul kamera ini dan walaupun tidak banyak yang dikatakan mengenai prestasi kamera peranti ini, penggunaan sistem penyejukan tersebut dijangka akan membantu dalam mengurangkan isu pemanasan pada sistem kamera tersebut apabila merakam gambar dan video untuk satu jangkamasa yang lama.

Kesimpulan

Ini bukanlah kali pertama dimana OnePlus memperlihatkan peranti konsep yang hadir dengan ciri-ciri tambahan yang dilihat memberikan nafas baru kepada jenama tersebut, tetapi mereka secara lazimnya hanya akan memperkenalkan sedikit sahaja unit peranti-peranti konsep ini dan ia tidak akan dijual secara besar-besaran.

Berkemungkinan besar juga OnePlus akan menggunakan peranti Concept ini sebagai cara untuk memperkenalkan teknologi-teknologi yang baru dibangunkan mereka kepada orang ramai, yang mana ia kemudiannya akan digunakan secara lebih meluas di peranti-peranti mereka akan datang.

Buat masa ini, kami telah menanyakan kepada pihak OnePlus jika mereka berminat untuk menjual peranti OnePlus 11 Concept ini, tetapi mereka masih tidak memberikan kata putus samada ia akan diperkenalkan dan dijual kepada umum.


Komen ()