Realme telah pun melancarkan peranti mercu baharu mereka untuk tahun ini, iaitu Realme GT3. Peranti ini adalah Realme GT Neo5 yang dijenamakan semula untuk pasaran global. Ini juga adalah peranti Realme pertama yang mempunyai sistem lampu RGB dan adalah peranti pertama dunia dengan sistem pengecasan terpantas setakat ini.

Saya yang kini berada di Barcelona untuk acara pelancaran peranti ini yang berlangsung di MWC 2023 diberi peluang menggunakan peranti ini untuk sekitar satu hari. Pengalaman penggunaan saya dalam tempoh yang singkat ini adalah mengejutkan dan saya tidak sangka Realme sudah berubah dan peranti ini mungkin akan mengubah persepsi ramai orang terhadap jenama yang bersaudara dengan Oppo dan OnePlus ini.
SPESIFIKASI
Realme GT3 240W | |
---|---|
Skrin | 6.74-inci OLED, 2772 x 1240, 1.5K, 144Hz, HDR10+ |
Pemproses | Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm) |
Cip | 1 X 3.19 GHz Cortex X2 3 X 2.75 GHz Cortex A710 4 X 2.00 GHz Cortex A510 |
Cip Grafik | Adreno 730 |
RAM | 8/12/16 GB LPDDR5X |
Muatan Dalaman | 256GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 50 MP, f/1.88 (Sudut Lebar) 8 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar) 2 MP, f/3.3, (Mikroskop) Street Photography 3.0 |
Kamera Depan | 16 Megapixel |
Bateri | 4600 mAh Pengecasan berwayar 240W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G |
NFC | Ya |
Infra Merah | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin |
Harga Jualan | Bermula $649 *RM2912 (pertukaran terus) |
SKRIN
Realme GT3 menggunakan skrin bersaiz 6.74-inci dari OLED dengan resolusi 2772 x 1240 1.5K. Skrin peranti turut menyokong kadar segar semula 144Hz yang sangat pantas. Tetapi disebabkan tidak menggunakan panel LTPO, kadar segar hanya boleh berubah antara 40Hz/45Hz/60Hz/72Hz/90Hz/120Hz/144Hz sahaja.

Rekaan skrin peranti ini nampak biasa sahaja, tiada yang unik pun – dengan lubang di bahagian tengah atas dan bezel yang pernah kita lihat pada banyak peranti Realme lain. Tetapi apa yang saya tidak sangka adalah kadar segar semula 144Hz pada peranti ini memang benar-benar pantas. Ini kerana ia dibantu oleh cip tersendiri pada skrin untuk menjayakannya.

Setakat penggunaan saya dalam masa beberapa jam ini dengan banyak aplikasi berjalan di latar dan penanda aras dijalankan, skrin sekali pun tidak pernah lengah masa dan kekal pantas. Warna adalah biasa sahaja kerana sudah biasa melihat skrin HDR10+, tetapi sokongan kecerahan yang tinggi sangat membantu untuk menggunakan peranti ini di bawah cahaya matahari yang terik.
REKAAN
Sekali imbas dari hadapan, rekaan Realme GT3 ini nampak biasa sahaja. Tetapi ada satu keunikan pada panel belakang peranti ini yang mengingatkan saya kepada Xiaomi Mi 11 Ultra pada dua tahun lepas, iaitu bonggol kamera gergasi. Ada tiga kamera di dalam dua bulatan di sebelah kiri dan satu panel kaca di sebelah kanan.

Cuma pada Realme, panel kaca ini bukan skrin sebaliknya adalah tingkap lutsinar yang digelar Pulse Interface Design. Logo Snapdragon 8+ Gen 1 kelihatan dikelilingi dengan lingkaran lampu RGB 25 warna yang mengingatkan saya kepada bentuk lampu Glyph Nothing Phone (1) cuma lebih ringkas dan bersaiz mini.

Di tangan saya ini adalah GT3 berwarna Pulse White yang menggunakan kemasan kusam yang memberi cengkaman baik di tangan. Tiada langsung kotoran cap jari terperangkap dan paling penting mudah dikendalikan tanpa ada rasa licin. Tekstur yang juga lembut ini sedap dipegang dan ini membuatkan saya tidak ingin menggunakan kerangka pelindung.

Bingkai peranti juga lain daripada lain, kerana tidak menggunakan kemasan berkilat seperti biasa tetapi menggunakan kemasan kusam lebih kurang sama dengan panel belakang. Di sisi kanan ada butang kuasa sahaja. Di kiri pula hanya ada butang aras suara sementara di atas terdapat lubang mikrofon, kekisi speaker dan pemancar infra merah. Ya peranti Realme ada pemancar IR untuk menjadikannya sebuah alat kawalan jauh. Akhir sekali di bawah ada port USB-C, slot kad SIM dan kekisi speaker juga.

Keseluruhan peranti ini masih mengekalkan reka bentuk peranti Realme yang semua kenal, tetapi dengan bonggol kamera yang membolehkan orang ramai membezakan model mana satu. Lebih-lebih lagi dengan ciri lampu RGB yang unik yang boleh berubah warna mengikut penggunaan peranti atau penerimaan notifikasi.

PENGALAMAN PENGGUNAAN
Apa yang saya boleh kongsi mengenai pengalaman penggunaan peranti ini dalam masa singkat adalah, GT3 adalah seperti seorang “anak” yang dilahirkan jika Oppo dan OnePlus berkahwin. Teknologi pengecasan pantas 240W SuperVOOC dari Oppo dan Realme UI 4.0 berasaskan Android 13 yang sangat-sangat mirip dengan Oxygen OS 13 pada OnePlus 11.

Bukan perkara asing yang Oxygen OS dan Realme UI semuanya menggunakan kod Color OS. Tetapi biasanya Realme UI ada identiti mereka sendiri yang membolehkan saya membezakan antara dua sistem operasi berbeza. Anda tahu yang OnePlus 11 adalah salah satu peranti kegemaran saya dan Oxygen OS terbaru memberi pengalaman penggunaan yang memuaskan. Menggunakan Realme UI 4.0 pada peranti ini seakan tiada beza langsung.

Mungkin anda fikirkan saya bercakap mengenai antaramuka, tetapi apa yang membuatkan saya terkejut adalah tahap lancar dan pantas Realme UI 4.0 mirip dengan apa yang OnePlus lakukan yang mereka selalu gelar Fluid. Benar-benar lancar tanpa ada masalah lengah masa atau sela masa pada setiap tatalan, membuka aplikasi dan mengubah tetapan.

Dalam temuramah saya bersama Chase Xu, iaitu naib presiden Realme – beliau menyatakan jika eksekutif Realme dan majoriti pengguna setia mereka sukakan Realme UI 4.0 (sudah diuji pada banyak peranti) tiada perubahan pada Color OS perlu dilakukan. Jadi di sini saya faham, kerana melaluinya pengedaran kemas kini dan proses pembangunan Realme UI juga boleh menjadi lebih pantas.

Berikut adalah apa saya sedari menarik pada GT3 selepas hampir satu hari mencubanya;
- Breathing Light
- Ciri seakan Glyph pada Nothing tetapi lebih ringkas dan berwarna-warni. Menyerahkan panel belakang yang lutsinar.
- Adaptive Sleep
- Ciri untuk tidak mengunci peranti selagi kamera mengesan mata pengguna sedang melihat skrin.
- Screen Refresh Rate
- Mempunyai pengurasan aplikasi untuk menetapkan kadar segar semula tersendiri pada setiap aplikasi.
- GT Mode 4.0
- Mod permua yang mudah diaktifkan dengan meningkatkan penggunaan kuasa cip.
- IR Remote
- Sensor infra merah pintar untuk mengubah peranti menjadi alat kawalan jauh.
- Realme Lab
- Menyokong Dual-mode audio untuk dua aksesori audio ditambat pada satu peranti. Sleep Capsule untuk mengurus memori peranti dengan pengoptimasian setiap kali aplikasi ditutup dan Heart Rate Measurement untuk mengimbas nadi dengan pengimbas cap jari bawah skrin.
- Kamera Mikroskop pula menawarkan ciri zum 20x dan 40x yang benar-benar berfungsi seakan peranti Oppo Find X3 Pro.

Seterusnya yang menjadikan peranti ini menarik digunakan adalah pengecasan pantas 240W yang terpantas dunia. Pengecas SuperVOOC yang digunakan adalah jenis USB-C ke USB-C dan boleh mengecas peranti ini dari 0% ke 100% dalam masa kurang 10 minit. Dalam ujian yang saya lakukan di Barcelona ini, peranti yang sedang berat menyelarikan data ke awanan penmgecasan selesai dalam masa 12 minit. Ini juga sudah cukup pantas, bayangkan – hanya sekitar 10 minit sahaja.

Pengecas yang disediakan dalam kotak yang percuma diberikan dalam setiap pembelian ini menggunakan teknologi GaN. Ua turut boleh digunakan untuk pengecasan Power Delivery 65W ke komputer riba atau mana-mana peranti yang memyokong pengecasan USB PD.
PRESTASI DAN PENANDA ARAS
Skor penanda aras pada peranti ini adalah apa yang dijangka untuk sebuah peranti Snapdragon 8+ Gen 1. Tetapi memandangkan ujian ini dilakukan di sekitar Barcelona dengan cuaca bawah 10 darjah, skor mungkin lebih tinggi daripada sepatutnya. Tetapi apa-apa pun pada Geekbench 6, AnTuTu 3D dan 3DMark ia memaparkan skor yang memuaskan. Ini juga mungkin bukan skor akhir kerana peranti menjalankan Realme UI 4.0 versi ujian dalaman yang belum bersedia lagi untuk pengguna umum. Kami bandingan cip Snapdragon 8+ Gen 1 pada peranti ini dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 pada OnePlus 11 dan iQOO 11 5G.

Geekbench 6
- Realme GT3 – 1369/3973
- OnePlus 11 – 955/4056
- iQOO 11 – 1457/4702 (Geekbench 5)
Antutu 3D
- Realme GT3 – 1,079,040
- OnePlus 11 – 1,104,135
- iQOO 11 – 1457/4702
3D Mark Wildlife Extreme
- Realme GT3 – 2803
- OnePlus 11 – 3712
- iQOO 11 – 3763
Prestasi peranti dengan mod GT dihidupkan, bermain permua seperti Asphalt 9 dan menggunakan peranti seakan penggunaan harian benar-benar pantas dan dahsyat. Skrin 144Hz dan pengoptimasian Realme UI 4.0 membuatkan saya terkejut dengan apa yang peranti Realme GT3 ini boleh dilakukan. Jujur saya katakan, saya tidak sabar untuk menjadikan peranti ini sebagai peranti harian saya kerana ingin melihat jauh mana peranti ini boleh pergi.
KESIMPULAN
Realme GT3 adalah sebuah peranti mercu yang hebat. DNA Oppo dan OnePlus yang ada pada peranti ini menjadikan Realme semakin sengit bersaing dengan peranti lain di pasaran. Penggunaan singkat GT3 setakat ini membuatkan saya yakin kepada jenama ini dan turut kelak boleh mencadangkannya kepada orang ramai yang inilah peranti yang semua patut cuba. Skrin cantik, pengecasan adipantas, kemasan premium, prestasi mantap – apa yang Realme tawar pada peranti ini semuanya seimbang.

Teruskan ikuti kami di Amanz untuk nantikan pula ulasan penuh peranti ini apabila saya menjadikannya sebagai peranti harian.
Pro
- Pengecasan adipantas yang hampir tidak masuk akal.
- Pengecas disediakan adalah jenis GaN yang boleh mengecas banyak peranti lain
- Realme UI 4.0 sangat pantas dan lancar.
- Kemasan peranti yang selesa di tangan,
- Sistem lampu RGB yang menarik dan berguna.
Kontra
- Rekaan keseluruhan yang nampak biasa
- Identiti Realme sudah tiada, kerana sama dengan jenama BBK lain
- Kerisauan peranti memanas walaupun sudah ada ciri keselamatan.
- Ketahanan bateri yang mungkin terjejas kerana ada sistem RGB.