Cari @ Amanz

Chase Xu: Realme Akan Hadir Dengan Peranti Mercu Mengubah Sejarah

Link Copied!

Jadi di acara MWC Barcelona 2023, Realme telah melancarkan peranti mercu baharu mereka untukt ahun 2023 – Realme GT3. Peranti ini hadir dengan skrin 144Hz, cip Snapdragon 8 Gen 2, sistem RGB baharu dan menyokong pengecasan pantas 240W – terpantas dunia secara komersial.

Di MWC, saya berpeluang menemuramah Chase Xu selaku naib presiden Realme dan ketua pegawai pemasaran serta Mark Wesley selaku pengurus komunikasi produk.

Di dalam temuramah ini, banyak rahsia telah didedahkan. Ada yang mungkin anda pernah dengar dan ada juga yang mungkin kali pertama anda akan dengar dalam artikel ini.

Soalan: Apakah strategi Realme untuk tahun 2023, ada peranti boleh-lipat?

Seperti biasa, Realme sentiasa akan fokus kepada pengguna berusia muda. Tetapi sasaran tahun ini sudah semestinya setiap model peranti yang dilancarkan akan mempunyai sekurang-kurangnya satu ciri yang mengejutkan ramai atau yang berbeza dengan penawaran pesaing. Contoh, Realme 10 Pro ada edisi Coca-Cola yang jarang berlaku kemudian Realme GT3 yang menyokong pengecasan pantas 240W yang terpantas dunia secara komersial sekarang.

Untuk peranti dengan skrin boleh-lipat pula, Realme tidak akan hadir dengan peranti yang ringkas tetapi yang benar-benar unik. Kami masih dalam perbincangan dan pembangunan fasa awal lagi, butiran lanjut masih belum boleh didedahkan – jadi sama-sama kita nantikan.

Soalan: Kenapa GT3 menggunakan Snapdragon 8+ Gen 1 dan bukannya Snapdragon 8 Gen 2?

Ini kerana Snapdragon 8+ Gen 1 sudah pun lama berada di pasaran jadi ia adalah cip yang lebih stabil dan seimbang dari pelbagai arah. Ini membolehkan GT3 beroperasi dengan prestasi yang pantas dan menyokong pengecasan pantas yang baik. Tidak lupa juga, cip yang sudah lama keluar mampu memberi kami menjual GT3 pada harga kompetitif.

Soalan: Realme ada merancang untuk hadir dengan peranti gaming sejati? Seperti menyokong ekosistem aksesori, butang bahu dan lain-lain?

Realme sentiasa ingin hadir dengan peranti yang terbaik dari segi prestasi. Tetapi sambil itu masih ingin menjadi peranti yang boleh digunakan seperti biasa, iaitu peranti harian semua orang – jadi Realme tidak akan hadir dengan sebarang telefon pintar atau tablet yang memfokuskan gaming sepenuhnya. Tetapi peranti kami boleh beroperasi sebagai kedua-dua peranti gaming dan peranti harian.

Soalan: Adakah Realme akan hadir dengan peranti Snapdragon 8 Gen 2, kerana di Weibo Chase Xu ada mengacah peranti Realme lebih berkuasa akan tiba hujung tahun sebagai GT3 China yang berbeza dengan GT3 global?

Ya. Kami ada merancang untuk hadir dengan peranti yang dijana cip Snapdragon 8 G Gen 2. Peranti ini akan menjadi peranti mercu yang tidak pernah anda lihat sebelum ini. Peranti ini mungkin akan mengubah sejarah peranti keluaran Realme dan mungkin boleh mengubah pasaran peranti mercu. Peranti ini kini sedang dalam pembangunan dengan pasukan R&D kami.

Soalan: Dengan semua peranti fokus kepada penggunaan kamera 1-inci dan kolaborasi dengan jenama kamera, adakah Realme akan hadir dengan satu peranti memfokuskan kepada fotografi?

Untuk memastikan harga peranti masih lagi kompetitif, penggunaan sensor 1-inci dielakkan buat masa ini. Tetapi peranti yang memfokuskan fotografi oleh Realme sudah pun berada dengan pasukan R&D kami sekarang. Kami juga tidak sabar untuk memperkenalkan peranti ini kepada umum.


Nampaknya ada banyak yang Realme rancang pada tahun ini sahaja. Mereka sememangnya sedang berusaha untuk memperkenalkan peranti dengan skrin boleh-lipat, peranti Snapdragon 8 Gen 2 dan peranti fotografi. Tetapi adakah jenama di bawah BBK ini akan kekal bekerjasama dengan Hasselblad atau akan bekerjasama dengan Kodak seperti yang kami laporkan sebelum ini? Jika benar Realme akan mengubah sejarah, kami sendiri tidak sabar untuk melihat kejutan apa yang mereka akan persembahkan.


Komen ()