Honor sekali lagi hadir dengan peranti mercu baharu menerusi pengenalan siri Magic5 di Mobile World Congress 2023, tempoh hari. Ia memberi fokus terhadap prestasi menerusi janaan cip terkini Snapdragon 8 Gen 2. Di samping, sistem pengimejan mudah alih lebih baik dengan ciri fotografi dan videografi yang pelbagai.
Sebagai tambahan, Honor Magic5 Ultimate pula telah diperkenalkan di China pada hari ini. Ia didatangkan dengan beberapa perubahan, lantas menjadikannya lebih menarik berbanding sedia ada. Misalnya seperti panel belakang dengan kemasan kulit yang menjadikan peranti lebih kemas di tangan. Peranti boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Elegant Black atau Burning Orange.

Seterusnya tiada modul kamera berbentuk bulat yang kelihatan, sebaliknya ia lebih bersegi yang memuatkan sistem tri-kamera utama. Honor Magic5 Ultimate juga menyediakan fon telinga USB-C, tidak seperti variasi sebelum ini. Kapasiti memori juga lebih besar mencapai 16GB RAM.


Beralih ke spesifikasi dalaman, keseluruhannya adalah sama seperti Magic5 Pro. Skrin LTPO OLED sebesar 6.81-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Ini dipadankan pula dengan cip Snapdragon 8 Gen 2, tri-sensor utama 50MP, kamera swafoto 12MP dan bateri 5,450mAh yang menyokong sistem pengecasan pantas 66W. Untuk harga, peranti dijual pada CNY6699 (~RM4,325) sebuah dan terhad untuk pasaran China setakat ini.