Carian
Ulasan Sony WH-CH720N – Harga Murah Tetapi Bunyi Tetap Mahal
March 7, 2023 Effi Saharudin

Jika anda berduit, kami sarankan pembelian Sony WH-1000XM5 kerana ia yang paling seimbang di pasaran sekarang dari segi penawaran ciri, keselesaan, kualiti audio dan harga. Dalam ulasan yang kami terbitkan sebelum ini kami katakan ia mengecewakan tetapi selepas beberapa bulan pendapat berubah selepas diafragma yang semakin matang selepas digunakan. Pada harga hampir RM1800 sepasang, masih ramai merasakan ia terlalu mahal.

Sony WH-CH720N mula dipasarkan di Malaysia beberapa hari yang lalu pada harga RM649 yang lebih mesra poket. Apakah kelebihan dan kekurangan CH720N apabila dibandingkan dengan “abangnya” yang lebih premium? Ini ulasan penuh kami untuk Sony WH-CH720N.

SPESIFIKASI

Sony WH-CH720N
JenisFon telinga belakang tertutup
Pemandu30mm
Mikrofon? mikrofon
Bateri35 Jam ANC/50 jam tanpa ANC
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
CODECSBC, AAC
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaYa/Assistant, Siri dan Alexa
Butang kawalanFizikal
Kemampuan kalis airTidak
Harga Jualan RM 649

REKAAN

Pandangan pertama tidak begitu positif kerana keseluruhan tubuh CH720N diperbuat daripada bahan plastik yang bertekstur kasar dan tidak nampak mewah seperti XM5 ataupun WH-H910N h.ear on 3. Ini bersebab kerana lebih mementingkan keringanan berbanding dua model yang lebih mewah ini. Dengan berat hanya 192 gram, ia adalah fon telinga nirwayar dengan ANC paling ringan yang pernah ditawarkan oleh Sony.

Dua cawan telinga plastik disambungkan kepada angkup kepala yang bersaiz kecil. Hanya bahagian atas angkup kepala mempunyai spam untuk memberikan keselesaan ketika dipakai. Saiz span juga kecil jika dibandingkan dengan XM5 yang mempunyai span besar pada keseluruhan permukaan angkup kepalanya.

Mekanisme mengubah saiz angkup kepala juga adalah dari rekaan klasik dengan dua rel logam di bawah pemegang plastik. CH720N tidak akan memenangi sebarang anugerah untuk rekaan estetik yang cantik. Seperti kami katakan tadi CH720N ialah fon kepala yang mementingkan kepada mengurangkan berat dan kos. Maka rekaan Spartan minimalis ini harus dijangka bagi mereka yang ingin membelinya.

Cawan telinga hanya boleh diputarkan sehingga sudut 90 darjah. Tiada mekanisme lipatan tambahan menjadikan saiznya lebih kompak untuk memudahkan simpanan dalam beg galas. Lebih mengecewakan Sony tidak memberikan sebuah beg simpanan khas dengan setiap pembelian CH720N. Sepanjang tempoh ulasan kami menggunakan beg simpanan XM5 bagi mengelakkan sebarang kerosakan kepadanya.

Dengan rel kecil, angkup kepala plastik dan tubuh diperbuat daripada plastik kami tidak mempunyai keyakinan ia cukup tahan lasak dimasukkan dalam beg yang dipenuhi telefon, komputer riba, tablet, pengecas-pengecas dan pelbagai lagi barangan lain yang berat.

Bukan sahaja rekaan angkup kepala dan cawan telinga CH720N sahaja yang klasik. Penggunaan butang fizikal plastik dan banyak juga mengingatkan kami kepada rekaan fon kepala Sony dari generasi terdahulu.

Pada cawan telinga kanan terdapat dua butang kawalan audio yang menghimpit satu butang untuk menjeda/melangkau muzik. Ia turut mempunyai fungsi sekunder untuk menyeru pembantu maya Alexa, Siri atau Assistant. Butang untuk mengaktifkan mod ANC dan Ambient juga terletak pada cawan telinga kanan.

Pada cawan telinga kiri pula diletakkan butang kuasa merangkap butang tambatan bluetooth, lampu LED status kuasa/BT, port pengecasan USB-C dan lubang bicu audio 3.5mm. Kesemua ciri utama yang anda mahukan pada sebuah fon kepala kepala BT disertakan pada CH720N.

Yang tiada hanyalah pad sesentuh yang pada waktu ini hanya ditawarkan oleh Sony pada model yang lebih premium. Seperti pada XM5, Sony tidak lagi menyertakan sokongan tambatan menggunakan NFC yang kami pernah katakan adalah ciri yang sangat dirindui.

Kami kurang menggemari butang plastik yang digunakan kerana sukar membeza antara butang-butang yang disertakan khususnya pada cawan telinga kanan. Sebagai contoh butang laras audio dengan butang jeda/langkau kedudukannya terlalu dekat antara satu sama lain. Kerap kali kami ingin meningkatkan kelantangan audio tetapi tertekan butang jeda Kerana kesilapan berlaku terlalu kerap kami mengangkat bendera putih dan mengawal muzik pada telefon sahaja!

PENGGUNAAN DAN KESELESAAN

Saiz fon kepala ada selesa dengan kedua-dua cawan telinga dengan pemandu 30mm menutup keseluruhan cuping telinga kami. Ia tidak nampak ketara dalam gambar tetapi cawan telinga CH720N adalah sama saiznya dengan XM5. Bahagian span terasa kurang premium walaupun sebenarnya ia cukup lembut. Apabila sudah terbiasa dengan span XM5 yang lebih mewah, kesemua fon kepala lain akan terasa seperti “murah” sedangkan ianya tidak. Jika dibandingkan dengan fon kepala lain dalam kelas yang sama, CH720N menawarkan pengalaman pemakaian yang setanding.

Dengan ianya ringan, kami tidak dapat merasakan sebarang tekanan di bahagian atas kepala atau seperti kepala dikepit oleh dua cawan telinga. Pemakaian yang lama dalam pejabat atau rumah adalah cukup selesa. Kami hanya mengalami masalah apabila menggunakannya di luar rumah.

Telinga akan mudah berpeluh kerana tiada pengudaraan yang baik. Ini adalah isu dengan fon telinga jenis tertutup. Ia memerlukan cawan telinga yang kedap untuk pengalaman ANC yang baik tetapi telinga berpeluh sekiranya digunakan di luar. Ini menjadikan CH720N tidak begitu selesa dipakai ketika bersenam. Fon telinga ini juga tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air. Berhati-hatilah jika anda seorang insan yang mudah berpeluh.

PERISIAN

Hidupkan fon kepala untuk kali pertama dan skrin Google Fast Pair akan muncul pada skrin telefon Android selepas beberapa saat. Ikut arahan yang diberikan untuk melakukan tetapan Google Assistant dengan segera. Pengguna kemudian disarankan memuat turun aplikasi Sony Headphones bagi mencari versi perisian yang terkini. Sekali lagi kami ingin tekankan kami rindu tambatan menggunakan NFC kerana membolehkan tambahan terus dari sebuah fon kepala yang tidak aktif terus ke telefon menggunakan satu sentuhan sahaja.

Aplikasi Sony Headphone adalah diperlukan untuk pengalaman penggunaan yang optima. Ciri mematikan mod ANC, mengaktifkan mod Ambience, menambah kepada dua peranti serentak dan tutorial kesemuanya boleh diakses menerusi aplikasi ini. Aplikasi ditawarkan dalam versi Android dan iOS maka tidak perlu risau pengalaman berbeza pada dua platform yang dipilih anda.

Perisian turut memaparkan tahap bateri, mod DSEE, 360 Reality Audio, equaliser, codec yang digunakan dan memberikan notifikasi apabila wujud firmware baharu. Dalam tempoh ujian firmware hanya diberikan sekali untuk meningkat kestabilan sambungan bluetooth.

KUALITI AUDIO

Kita mulakan dengan berita buruk dahulu. Kualiti audionya tidak setanding dengan XM5 dengan ini amat ketara kerana tiadanya sokongan LDAC. Sokongan codec AAC dan SBC sahaja diberikan. Bukan isu besar bagi pengguna iPhone tetapi mengecewakan bagi pemilik Android. Berita baiknya pula ialah membandingkan CH720N dengan XM5 ialah amat tidak adil. Ia seperti membandingkan epal dengan oren.

Ulasan ini perlu adil dan subjektif. Maka kami mencari fon kepala pada harga yang agak sama di kedai atas talian. Nasib kami baik kerana sebuah Sony WH-1000XM3 masih boleh dibeli pada harga sekitar RM700 di kedai terpilih. Kualiti audio CH720N pada hemat kami adalah setanding dengan XM3 sekiranya mod LDAC tidak diaktifkan.

Ini bermakna bunyi bass yang kuat dan mantap tetapi dengan audio mid yang sedikit tenggelam. Vokal tenggelam lebih-lebih lagi sekiranya adunan muzik mempunyai bunyi bass yang ketara. Audio treble adalah jelas dan nyaring terutamanya apabila mendengar muzik instrumental ataupun akustik.

Sebenarnya kami agak terkejut juga audio CH720N mempunyai profil audio yang setanding dengan XM3 kerana selepas melihat rekaan super-plastik harapan kami adalah di tahap rendah. Ini juga melihatkan bagaimana teknologi audio Sony sudah berkembang. Audio premium XM3 kini boleh dinikmati pada sebuah fon kepala kelas pertengahan yang lebih mesra dompet harganya.

Kerana profil audio yang lebih memberikan penekanan kepada bass, pengalaman menggunakan CH720N adalah seperti fon klasik Sony ketika era Extra Bass di penghujung 1990an. Bagi penggemar “Sony Sound” sejak berkurun lama, ini bukanlah perkara negatif kerana kami sudah menggunakan fon kepala Sony sejak 1983 lagi.

Kami tidak sarankan CH720N kepada mereka yang mencari fon kepala dengan profil audio yang lebih rata seperti XM5. Ini ialah fon kepala yang lebih serasi digunakan untuk mendengar muzik rock, EDM dan pop.

Ia juga kami dapati serasi digunakan untuk permainan video kerana kelebihan diberikan kepada dentuman bass. Apabila dipadankan kepada sebuah PlayStation 5 audio surround boleh diakses dan ditala secukup rasa. Tetapi seperti kami katakan di awal ulasan ini, pastikan bilik anda sejuk kerana telinga akan berpeluh disebabkan oleh sesi permainan sesi yang panjang.

ANC

Kualiti ANC adalah sederhana sahaja dengan bunyi percakapan, deruman kenderaan, papan kekunci, dan muzik daripada komputer rakan semeja dapat dipendam dengan agak baik. Kami sempat menaiki kapal terbang semasa mengulas CH720N dan prestasinya adalah memuaskan.

Deruman enjin jet tidak dapat dipendam sebaik XM5. Namun begitu kualiti ANC adalah jauh lebih baik berbanding menggunakan fon telinga Apple AirPods Pro dan Galaxy Buds2 Pro. ANC pada CH720N adalah memuaskan dalam kebanyakan situasi harian tetapi masih di belakang XM5 dan AirPods Max. Tiada masalah untuk tidur dengan nyenyak di dalam pesawat kerana walaupun bukan yang terbaik ia memadai untuk menghalang deruman enjin jet daripada menerjah telinga.

MIKROFON

Mikrofon yang digunakan adalah lebih baik daripada sangkaan awal. Panggilan telefon dapat dilakukan dengan jelas dengan hingar latar belakang dikurangkan menerusi sistem Precise Voice Pickup. Dua mikrofon diletakkan pada setiap cawan telinga bagi menjayakan sistem pembatalan hingar ini.

BATERI

Sepanjang sekitar seminggu kami hanya mengecas sebanyak sekali sahaja. Ia diiklankan dapa bertahan sehingga 35 jam dengan sekali caj jika pembatalan hingar dihidupkan dan meningkat ke 50 jam jika ia dimatikan. Hayat penggunaan yang lebih baik berbanding XM5. Masa diambil untuk mengecasnya semula ialah 3.5 jam tetapi terdapat ciri mengecas selama 3 minit untuk penggunaan selama 1 jam. Terdapat bateri yang cukup untuk melakukan dua penerbangan pergi dan balik ke Eropah maka kami tidak ada rungutan mengenai prestasi bateri.

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian di Malaysia.

  • 1x Sony WH-CH720N 
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Kabel audio 3.5mm.
  • 1x Manual.

KESIMPULAN

Apakah yang sanggup anda korbankan untuk kualiti audio yang baik tetapi tanpa mengoyakkan akaun bank anda? Jika jawapan yang diberikan ialah kualiti binaan lebih rendah dan kehilangan beberapa ciri lebih penting maka Sony WH-CH720N boleh kami sarankan pada anda. Kualiti binaannya terasa dan kelihatan murah. Kesemuanya plastik atas nama ingin menjadikannya fon kepala ANC nirwayar paling ringan ditawarkan oleh Sony.

Binaan nampak murah tetapi audio yang ditawarkan adalah lebih premium. Dari segi profil audio, ia mirip dengan sebuah XM3 yang sudah berusia hampir empat tahun. Terdapat ciri DSEE, pembatalan hingar yang memuaskan, tambatan kepada dua peranti serentak, selesa di atas kepala dan hayat bateri yang cukup cemerlang.

Pada harga RM649 ianya agak mampu milik untuk kualiti audio yang ditawarkan tetapi dikecewakan oleh kualiti binaan yang terlalu cuba memotong kos dan tanpa bekas simpanan diberikan. Dengan Sony WH-H910N h.ear on 3 ditawarkan pada harga yang setanding (sekitar RM700) kami merasakan terdapat pilihan lain yang lebih menarik daripada Sony. WH-H910N mempunyai sokongan LDAC, rekaan boleh lipat dan kemasan yang lebih premium. Kami hanya boleh sarankan Sony WH-CH720N kepada mereka yang memang mencari sepasang fon kepala ANC nirwayar ringan dengan kualiti audio memuaskan.

Pro

  • Ringan dan selesa di atas kepala.
  • Kualiti audio yang amat memuaskan.
  • Sokongan aplikasi yang bagus.
  • Sambungan 3.5mm boleh dilakukan.
  • Hayat bateri yang amat panjang.

Kontra

  • Terasa murah kerana terlalu plastik.
  • Tiada LDAC.
  • Tiada bekas simpanan khas.
  • Butang kawalan fizikal yang boleh mengelirukan.
Komen