Sebelum ini kami melaporkan Jepun dan Belanda akan akur kepada arahan Amerika Syarikat untuk menyekat penjualan mesin litografi ke China yang diperlukan bagi menghasilkan cip berteknologi terkini. Pagi ini kerajaan Belanda mengesahkan mereka telah memulakan langkah untuk menghalang penjualan mesin tersebut ke China dengan mengenakan lesen baharu.

ASML, pengeluar mesin litografi terkemuka Belanda mengeluarkan kenyataan bahawa mereka perlu mendapat lesen daripada kerajaan sebelum jualan boleh dilakukan. Halangan ini masih belum berkuatkuasa secara serta merta kerana perlu menjalani beberapa proses terlebih dahulu sebelum termaktub dalam undang-undang. Oleh sebab itu ASML berkata mereka tidak melihat pendapatan syarikat pada tahun 2023 akan terjejas disebabkan keperluan lesen eksport.
Kerajaan China telahpun menghantar bantahan kepada Belanda kerana arahan yang dikeluarkan ini dilihat sebagai menyokong hegemoni teknologi Amerika Syarikat. Menerusi Akta CHIPS yang diluluskan oleh Joe Biden tahun lalu, teknologi milik mereka tidak boleh dijual tanpa kebenaran mereka walaupun mesin dihasilkan di luar Amerika Syarikat. Kesemua halangan dikenakan oleh A.S sebagai cara mengekang teknologi terkini digunakan China bagi tujuan ketenteraan.