Cari @ Amanz

Hanya sekitar seminggu sahaja lagi Nothing Ear (2) akan dilancarkan iaitu pada 22 Mac 2023. Tetapi tempoh yang singkat ini tidak dapat menghalang dari peniris membeberkan apakah kejutan yang akan Nothing perkenalkan kepada TWS mercu generasi kedua mereka ini.

The Tech Outlook dan OnLeaks hari ini telah mendedahkan rekaan penuh Ear (2) yang kelihatan masih sama dengan Ear (1). TWS ini kekal menggunakan rekaan lutsinar untuk kedua-dua fon telingan dan kerangka pengecas.

Perubahan rekaan hanya sedikit sahaja, seperti beberapa sensor telah berubah lokasi. Mikrofon pembatalan hingar aktif telah dipindahkan ke atas tangkai dan teks penjenamaan Nothing Ear (2) lebih jelas kelihatan. Pemacu audio dikatakan masih 11.6mm, tetapi kini menyokong ketahanan bateri 6 jam dengan kerangka pengecas mencapai sehingga 36 jam.

TWS baharu Nothing ini didakwa mempunyai berat 0.2 gram lebih ringan. Sokongan pengecasan USB-C dan pengecasan nirwayar masih dikekalkan. Perubahan lain yang jelas kelihatan adalah pada kerangka pengecas yang tidak lagi mempunyai corak pada komponen bukan lutsinar.

Turut terdapat khabar angin yang Ear (2) boleh disambungkan kepada dua peranti serentak dan mungkin akan menyertakan ciri pembatalan hingar aktif yang boleh disesuaikan mengikut citarasa pengguna. Adakah perubahan kecil ini membuatkan anda ingin tukar Ear (1) atau Ear (stick) anda ke Ear (2)?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd