Cari @ Amanz

Hari ini Nothing Ear (2) telah dilancarkan. Bermakna saya tidak lagi perlu simpan rahsia yang saya telah menggunakan TWS ini sebagai aksesori audio harian sejak seminggu lalu. Jika sebelum ini Ear (1) ditala oleh Teenage Engineering, kali ini Ear (2) ditala oleh Nothing sendiri seperti yang dilakukan pada Ear(stick).

Ini bermakna kualiti audio pada TWS mercu terbaru mereka ini sepatutnya adalah lebih sedap. Tetapi adakah akan menjadi sesedap Ear (Stick) atau sebaliknya? Pengalaman saya setakat ini masih memuaskan dan Nothing sudah semakin bagus dalam mengeluarkan produk audio berkualiti. Tetapi adakah harga jualan kali ini cukup untuk meyakinkan anda?


SPESIFIKASI

Nothing Ear (2)
JenisFon dalam telinga
Pemacu Audio11.6 mm dinamik jenis grafena + PU
Ditala oleh Nothing
Mikrofon3x mikrofon MEM
SensorAuto jeda
Bateri33mAh fon telinga
485mAh kerangka
6.3 jam berterusan
36 jam dengan pengecas
TambatanBluetooth 5.3
Google Fast Pair
Microsoft Swift Pair
CodecAAC,SBC, LHDC 5.0
PengecasanUSB-C
Qi
Pengecasan nirwayar 2.5W
Pengecasan pantas 10 minit
Sokongan aplikasiNothing X
Android, iOS
KawalanPicitan
Kemampuan kalis airIP55 Fon telinga
IP54 Kerangka
Harga JualanRM599

Spesifikasi Nothing Ear (2) adalah lebih kurang sama dengan Ear (1). Misalnya masih menggunakan pemacu audio 11.6mm dan dilengkapi tiga mikrofon. Perbezaan yang banyak dilakukan pada TWS baharu ini nampaknya adalah pada perisian. Nothing kali ini fokus (Kata kerja) kepada profil audio yang diperibadikan agar setiap set TWS yang pengguna gunakan mempunyai kualiti audio yang menepati citarasa masing-masing.

Selain itu sokongan LHDC 5.0 turut disertakan untuk kemampuan mendengar muzik pada kadar bit lebih tinggi berbanding biasa. Nothing turut memperkenalkan sokongan pembatalan hingar aktif yang memerlukan pengguna melakukan ujian pendengaran. Perlindungan untuk Ear (2) kali ini adalah IP55 untuk fon telinga dan IP54 untuk kerangka pengecas.

Perkara lain yang saya sedari adalah kawalan setiap fon telinga kali ini adalah dengan picitan dan bukan lagi sentuhan. Kemudian Nothing turut mendakwa ketahanan bateri kali ini adalah lebih lama iaitu mencapai 38 jam dengan kerangka pengecasan.

REKAAN

Seperti spesifikasi rekaan Nothing Ear (2) juga menggunakan rekaan lebih kurang sama dengan Ear (1). Sekali pandang seakan tiada beza pun. Perubahan yang jelas kelihatan adalah pada kerangka pengecasan yang kini lebih jernih, komponen plastik putih di dalamnya tiada lagi corak dan susunan komponen dalam setiap fon telinga disusun semula.

Untuk kerangka pengecasan, engsel adalah lebih ketat menjadikan kualiti lebih premium. Nothing turut berjaya mengurangkan berat kerangka Ear (2) kerana kali ini lebih ringan. Walaupun begitu penutup masih mempunyai engsel yang ketat dan magnet yang kuat memberikan kepuasan apabila membuka dan menutupnya.

Rekaan juga adalah lebih rata pada kelilingnya dan tidak lagi ke arah melengkung. Cuma, binaan masih plastik yang masih memberi kerisauan ia akan cepat calar dan warna putih cerah ini mungkin akan cepat kotor. Selepas menggunakan Ear (1) sebelum ini yang menjadi calar selepas kurang satu minggu saya yakin perkara sama turut akan berlaku pada Ear (2).

Seterusnya untuk setiap fon telinga perbezaan paling jelas dengan Ear (1) adalah tulisan Nothing Ear (2) di dalam yang sedikit lebih besar. Kemudian mikrofon pada bahagian tangkai kini terkeluar dan bukan lagi di dalam dengan satu lubang kecil.

Setiap putik telinga pula masih sama. Cuma rekaan seperti AirPods Pro ini mungkin tidak sesuai dengan telinga semua orang. Misalnya rakan sekerja saya tidak menyukainya kerana kurang selesa sehingga menimbulkan rasa sakit selepas digunakan untuk tempoh yang singkat. Tetapi pada saya tiada masalah pun rekaan seperti ini cuma mungkin tidak begitu ketat yang menimbulkan perasaan risau fon telinga boleh jatuh tercicir pada bila-bila masa.

KUALITI AUDIO

Walaupun saya rasakan kualiti audio adalah lebih baik. Ear (2) masih tidak boleh menandingi OnePlus Buds Pro 2. Tetapi saya faham kerana harga pun murah RM270 berbanding dengannya. Berikut adalah penjelasan saya mengenai kualiti TWS ini.

BASS/LOWS

Ear (1) semasa awal pelancaran dan ketika saya ulas tidak mempunyai bass yang memuaskan. Tetapi ini berubah selepas beberapa belas kemas kini diedarkan. Pada Ear (2) bass yang dihasilkan mempunyai dentuman yang lebih kuat dan lebih seimbang. Ini memberikan saya satu pengalaman yang lebih menyeronokkan dan turut membuatkan saya ingin hentak kaki mengikut irama.

VOKAL/MIDS

Vokal pada Ear (2) memang jelas ada perbezaan yang banyak kerana mempunyai kualiti yang lebih tinggi. Kali ini suara penyanyi lelaki adalah lebih enak kerana lebih baik dan mempunyai butiran yang lebih banyak terperinci. Ini mungkin kerana dibantu oleh bass yang telah dioptimasikan. Akan tetapi suara penyanyi wanita walaupun merdu ia seakan di belakang kepala dan sedikit tenggelam untuk menikmati butiran yang saya inginkan.

NADA TINGGI/HIGH

Pada bahagian nada tinggi, Nothing masih menala dalam cara yang selamat agar tidak terlampau nyaring. Tetapi disebabkan mereka bergantung banyak kepada perisian, bahagian muzik yang menggunakan nada tinggi ada sedikit kesan hingar. Tidak dinafikan ia masih berkualiti, cuma butiran seakan telah melalui proses buatan digital yang cuba mimik audio analog.

PEMENTASAN DAN PENGASINGAN AUDIO

Wow, Wow, Wow. Ya. Pengasingan bunyi pada Nothing Ear 2 adalah sangat mantap. Muzik-muzik klasik seperti Bohemian Rhapsody membolehkan saya dengan setiap instrumen dengan jelas di setiap arah. Malah beberapa muzik moden seperti JVKE dengan lagu Golden Hour juga memberi pengalaman pendengaran yang mengasyikkan. Ini semua kerana sokongan LHDC 5.0 yang membolehkan audio berkualiti dimainkan dengan baik.

Cuma sayang sekali pementasan audio pada Ear (2) adalah sempit. Suara wanita yang tenggelam tadi akan kedengaran seakan di belakang kepala sementara suara lelaki pula seakan berada di tengah kepala mencari ruang untuk kebebasan. TWS ini tidak cukup lebar untuk penggunaan jangka masa panjang yang lebih baik. Perkara seperti ini tidak semua orang akan dapat rasakan, untuk saya yang sudah biasa dengan IEM dengan AMP/DAC ini adalah perkara yang penting yang tidak dapat saya nikmati.

ANC, MOD TEMBUS BUNYI, CIRI BAHARU

Kualiti pembatalan hingar aktif pada Ear (2) jauh bezanya dengan model lepas. Kali ini ia lebih berfungsi dan berdasarkan pengalaman ia seakan mirip dengan Sony XM5. Ini kerana mod ini memfokuskan kepada pembatalan bunyi frekuensi rendah seperti bunyi kipas, bunyi penyaman udara dan seangkatan dengannya. Manakala bunyi perbualan orang di sekeliling akan masih jelas kedengaran.

Untuk mod tembus bunyi saya masih rasakan tiada TWS yang masih boleh kalahkan HearThrough Jabra yang benar-benar berfungsi walaupun sedang mendengar muzik. Pada TWS ini mod tembus bunyi hanya berfungsi jika tidak mendengar muzik sahaja.

Untuk ciri baharu iaitu seperti ANC adaptif, ia berfungsi dengan baik. Cuma masih tidak dapat kalahkan TWS Sony siri XM lagi. Personalized ANC dan Personalzed Sound Profile yang memerlukan ujian pendengaran dilakukan agak menarik untuk digunakan. Adakah akan ada beza menetapkan ciri ini? Ada, tetapi tidak banyak dan anda mungkin tidak akan hairan pun akan ciri ini.

MIKROFON

TWS baharu Nothing ini turut masih menggunakan enam mikrofon MEM iaitu tiga pada setiap satu fon telinga. Mikrofon ini juga membantu untuk ciri ANC yang lebih baik. Tetapi Nothing mendakwa yang ciri kecerdasan buatan mereka kali ini adalah lebih pintar kerana boleh membatalkan hingar untuk panggilan telefon yang lebih jelas. Saya setuju dengan dakwaan mereka ini. Anda boleh dengar rakaman suara saya di bawah.

BATERI

Nothing Ear (2) turut mempunyai bateri yang boleh bertahan lebih lama. Kini boleh mencapai sehingga 36 jam dengan kerangka pengecas jika ANC tidak digunakan. Manakala dengan ANC adalah mencapai 22.5 jam. Pada fon telinga, bateri bertahan sehingga 6.3 jam tanpa ANC dan 4 jam jika diaktifkan. Pengecasan pantas turut disokong dengan 10 minit bertahan sehingga 8 jam dan menyokong pengecasan nirwayar 2.5W.

Dalam penggunaan saya selepas satu minggu kerangka masih mempunyai bateri 70%. Ini adalah dengan penggunaan satu hari sekitar satu jam sahaja. Saya boleh katakan saya dapat rasa bateri yang bertahan lebih lama ini. Ini adalah satu perkara yang amat saya suka kerana akan benar-benar memanfaatkan saya untuk penggunaan jangka masa panjang.

APLIKASI

Saya menggunakan Nothing Ear (2) ini dengan Nothing Phone (1) yang mempunyai aplikasi Nothing X terbina. Malah jika tidak menggunakan aplikasi ini kawalan asas terus pada talam notifikasi turut sedia disokong. Tetapi penggunaan aplikasi Nothing X kali ini saya rasakan adalah lebih menarik. Ini kerana lebih banyak fungsi telah disertakan.

Saya amat bersyukur kini lebih banyak pengeluar produk audio menawarkan ciri Personalized Sound Profile dan Ear Tip Fit Test. Ciri ini menguji kemampuan pendengaran pengguna yang mana membolehkan kita tahu dan belajar bagaimana untuk menghargai sesuatu muzik.

Aplikasi juga mudah digunakan dan tidak rumit. Kemampuan menetapkan kawalan picitan turut boleh dilakukan. Contoh yang saya turut gemar pada Ear (2) adalah kawalan aras suara yang tiada pada OnePlus Buds Pro 2. Saya rasakan kawalan picit juga adalah lebih efisien berbanding sentuhan pada Ear (1).

KESIMPULAN

Nothing Ear (2) adalah TWS yang sangat saya boleh cadangan kepada semua orang. Ini kerana tidak banyak TWS di pasaran Malaysia sekarang yang menawarkan rekaan cantik lutsinar yang estetik. Kemudian kualiti audio yang lebih memuaskan berbanding model pertama pasti akan membuatkan pengguna yang menghargai artis gembira kerana dapat menikmati audio berkualiti tinggi. Kualiti audio saya boleh katakan seakan Ear (Stick) tetapi versi jenis dalam telinga dengan sokongan ANC. Tidak lupa juga bateri yang kini bertahan lebih lama yang akan memanfaatkan pengguna.

Ketika artikel in ditulis saya telah menerima tiga kemas kini untuk menambah baik kualiti audio dan sambungan yang lebih stabil. Memang menjadi satu kebiasaan produk yang kami terima sebelum pelancaran akan menerima banyak kemas kini. Sekurang-kurangnya apabila pengguna membelinya nanti masalah yang berlaku pada Ear (1) tidak akan berulang kembali pada Ear (2). Nothing yang setakat ini konsisten memberikan kemas kini pada produk pasca pelancaran saya berharap ia dapat diteruskan.

Dengan harga jualan RM599, Nothing Ear (2) menawarkan pilihan kompetitif berbanding TWS lain di pasaran dengan harga setanding. Walaupun saya akan kekal menggunakan OnePlus Buds Pro 2 sebagai TWS harian, Ear (2) akan kekal berada di dalam beg saya sebagai TWS sandaran. Mereka yang berminat anda boleh lakukan pra-tempahan pada 23 Mac jam 12:00AM malam ini.


Pro

  • Rekaan lutsinar estetik yang cantik dan unik.
  • Binaan yang lebih kukuh dan premium.
  • Kualiti audio yang lebih baik.
  • Sokongan aplikasi yang banyak ciri menarik.
  • Harga yang kompetitif.
  • Bateri tahan lama.

Kontra

  • Bentuk fon telinga yang tidak serasi untuk semua jenis telinga.
  • ANC masih tidak membatalkan perbualan orang sekeliling.
  • Mod tembus bunyi yang mengecewakan.
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd