Cari @ Amanz

Antara kerisauan kami mengenai kereta pintar yang mula ditawarkan ialah sejauh manakah sokongan akan diberikan. Umum kita ketahui pada telefon pintar, sokongan kemas kini versi sistem operasi hanyalah sehingga lima tahun sahaja dan selepas itu tiada lagi tampalan sekuriti yang konsisten. Ini menimbulkan persoalan adalah kereta pintar lima tahun di masa hadapan akan terdedah kepada kerentanan sekuriti yang serius?

Bagi mereka yang ingin membeli kereta Volkswagen, syarikat ini mengesahkan sokongan perisian kereta akan diberikan sehingga 15 tahun. Ini disahkan oleh Dirk Hilgenberg, CEO CARIAD yang merupakan anak syarikat yang menguruskan perisian untuk Volkswagen Group dalam temubual bersama ArsTechnica. Menurut beliau setiap kereta dengan Android Automotive yang digunakan sekarang akan disokong sepanjang hayatnya yang bersamaan dengan 15 tahun.

Ini menjadikan kereta Volkwagen, “peranti pintar” Android dengan sokongan paling lama setakat ini. Rekod semasa dipegang oleh FairPhone 2 yang disokong selama tujuh tahun sebelum baru sahaja dihentikan baru-baru ini. Setakat ini hanya Volkswagen mengesahkan sokongan perisian kenderaan selama ini dengan syarikat lain tidak pernah memberikan jawapan yang jelas.

Bagi yang mengatakan 15 tahun ialah tempoh yang pendek, di beberapa negara Eropah kereta lama perlu dilupuskan kerana tidak lagi mematuhi piawaian pelepasan pencemaran gas. Sementara itu di Amerika Syarikat pula undang-undang menetapkan alat ganti hanya perlu dihasilkan sehingga 7 tahun selepas kenderaan tidak lagi dihasilkan. Pendek kata di kebanyakan negara maju tidak wujud istilah kenderaan yang akan disokong selama-lamanya.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd