China Akan Membantah Penjualan TikTok
Effi Saharudin
Amerika Syarikat dilaporkan memintas Bytedance menjual TikTok sekiranya mereka ingin terus beroperasi di negara tersebut. Alasan TikTok akan menjual data kepada China bagi tujuan pengintipan acap kali digunakan walaupun beberapa kali dinafikan oleh pihak TikTok.

Kerajaan China telah mengeluarkan kenyataan rasmi membantah sebaran bentuk penjualan TikTok. Jurucakap Kementerian Perdagangan China berkata penjualan syarikat dilihat mendatangkan risiko sekuriti kepada China dan akan mendatangkan impak negatif kepada pelaburan di Amerika Syarikat oleh negara-negara lain.
Ini adalah kali kedua China menyuarakan bantahan terhadap penjualan TikTok dengan kali pertama ia dilakukan ketika Amerika masih di bawah pentadbiran Trump tiga tahun lalu. Menurut China teknologi seperti algoritma yang dibangunkan di China tidak sewenang-wenangnya boleh dijual tanpa kebenaran kerajaan.
Alasan yang sama digunakan oleh Amerika Syarikat untuk menghalang penjualan teknologi 5G, teknologi penghasilan cip dan teknologi keceerdasan buatan kepada China sejak empat tahun kebelakangan ini. Perang teknologi antara A.S dan China semakin hangat dengan banyak pelanduk terperangkap di tengah-tengah.