Google melancarkan Bard beberapa minggu yang lalu untuk bersaing dengan ChatGPT. Setakat ini prestasi Bard kurang memuaskan dengan beberapa kali memberikan maklumat yang tidak tepat. The Information melaporkan bagi merapatkan jurang antara Bard dan ChatGPT, Google menggunakan data ChatGPT untuk melatih kecerdasan buatan (AI) mereka.
Di bawah inisiatif baharu yang dipanggil Gemini, Google memaksa pasukan Deepmind dan Google Brain untuk bekerjasama bagi mengalahkan OpenAI. Berdasarkan maklumat dalaman, Google didakwa menggunakan data ChatGPT untuk melatih tanpa kebenaran. Dalam jawapan yang diberikan kepada The Verge, Google menafikan dakwaan ini. Tetapi sebelum ini mereka mengaku Bard memplagiat kandungan daripada laman web.
Perang AI telah bermula dengan pada waktu OpenAI berada di hadapan menerusi penawaran ChatGPT dan GPT-4 mereka dibantu oleh perkakasan Microsoft. Google pastinya mengalami tekanan kerana selama ini mereka dilihat sebagai syarikat inovasi AI dengan ia mempopularkan penggunaannya pada teknologi kamera dan Assistant yang boleh melalukan panggilan telefon bagi pihak pengguna.
Sedang perang semakin hangat, Elon Musk dan Steve Wozniak pula menandatangani surat terbuka yang menggesa latihan ke atas AI ditangguh selama enam bulan untuk menilai impaknya terhadap tamadun manusia.