Cari @ Amanz

Apakah peranti terbaik raya 2023 dalam kategori mercu? Seperti kategori kelas pertengahan premium, mencari tiga yang terbaik adalah mencabar kerana semuanya dijual pada harga yang amat mahal. Tidak semua ciri yang disumbat ke dalam peranti akan digunakan. Ini memberikan cabaran kepada sidang editorial Amanz untuk mencari pemenangnya.

Tetapi selepas mengatur pernafasan kami merasakan tiga peranti di bawah adalah yang terbaik setakat ini pada tahun 2023. Sekiranya anda ingin melihat pemenang dalam dua kategori lain yang diterbitkan sebelum ini, sila ke pautan-pautan di bawah.


Kriteria Pemilihan

  • Skrin dengan kadar segar semula tinggi.
  • Dilengkapi cip kelas mercu.
  • Prestasi terbaik.
  • Kemampuan fotografi terbaik.
  • Menggunakan Android 13
  • Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia tahun 2023.

Tempat Ketiga – Honor Magic5 Pro

Honor Magic5 Pro memang ada magis kerana ia adalah alternatif terbaik bagi pengguna Huawei yang memerlukan sokongan 5G, Google Mobile Services dan peranti mercu yang premium. Skrin 6.81″ OLED peranti ini menyokong 120Hz dalam mod LTPO yang menjimatkan bateri. Dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 pula, ia berfungsi dengan lancar dan tanpa sebarang isu.

Prestasi kamera juga amat memuaskan dengan terdapat kemampuan melakukan zum sehingga 100X. Bateri 5100 mAh pada Magic5 Pro adalah yang terbesar pada peranti mercu tahun 2023 setakat ini. Harga jualannya juga adalah munasabah untuk pelbagai ciri tambahan yang diberikan. Sebagai contoh ia satu-satunya peranti dalam senarai ini yang mempunyai sistem imbasan wajah 3D.

Spesifikasi: 6.81” OLED QHD+ 120Hz LTPO, Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) (1X Cortex-X3 3.2GHz + 4X Cortex-A715 2.8GHz + 3X Cortex-A510 2.0 GHz), 12GB RAM, storan 512GB, 50+50+50+3D MP (Utama), 12+3DMP (Swafoto), 5100 mAh (66W), Android 13.

Harga: RM4299 (12/512GB)


Tempat Kedua – OnePlus 11

OnePlus 11 ialah peranti mercu dengan Snapdragon 8 Gen 2 yang mampu milik tahun ini. Mereka kembali kepada asal menawarkan peranti mercu pada harga yang lebih munasabah. Terdapat skrin 120HZ LTPO dan sistem kamera yang menyokong mod Hasselblad. Bagi yang mencari peranti mercu yang tidak akan mengoyakkan kulit, OnePlus 11 ialah pilihan yang bijak.

Perisian pada OnePlus 11 juga lancar menjadikan penggunaannya sangat mudah dengan terdapat pelbagai ciri tambahan yang menarik. Pengecasan 100W juga memastikan bateri boleh dicas dengan amat pantas. Ia sekadar di tangga ketiga kerana storan yang kecil dan kemampuan kalis air hanya IP64. Kami meletakkan OnePlus 11 di tempat kedua memintas Magic5 Pro kerana

Spesifikasi: 6.7” Fluid AMOLED QHD+ 120Hz LTPO, Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) (1X Cortex-X3 3.2GHz + 4X Cortex-A715 2.8GHz + 3X Cortex-A510 2.0 GHz), 8/16GB RAM, storan 128/256 GB, 50+48+32 MP (Utama), 16MP (Swafoto), 5000 mAh (100W), Android 13.

Harga: RM3299 (8/128GB), RM3599 (16/256GB)


Juara – Xiaomi 13 Pro

Dengan lensa Leica dan spesifikasi mercu, Xiaomi 13 Pro ialah peranti mercu pilihan Hari Raya 2023. Ia yang terbaik kerana kemampuan fotografi yang terbaik secara menyeluruh dibantu oleh lensa Leica dan sensor 1″ yang memastikan ketajaman gambar yang diambil.

Selain itu ia dipadankan dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 yang cukup berkuasa. Menjalankan pelbagai aplikasi amat lancar dan permua paling bergrafik tinggi juga tidak mendatangkan masalah. Ia adalah peranti yang hampir sempurna daripada Xiaomi dengan model 13 Ultra kelak sahaja mungkin boleh memintasnya sebagai yang terbaik setakat ini.

Spesifikasi: 6.73” OLED QHD+ 120Hz LTPO, Dolby Vision, Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) (1X Cortex-X3 3.2GHz + 4X Cortex-A715 2.8GHz + 3X Cortex-A510 2.0 GHz), 12GB RAM, storan 256/512GB, 50+50+50 MP (Utama), 32 MP (Swafoto), 4820 mAh (120W), Android 13.

Harga: RM4599 (12/256GB), RM5999 (12/512GB).


Baiklah ini ialah senarai peranti-peranti terbaik dalam kategori mercu. Adakah semuanya akan kembali dalam senarai peranti terbaik 2023 di penghujung tahun? Nantikan sahaja artikel ini kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd