Tahun ini Motorola akan melancarkan peranti Razr baharu yang dikatakan akan menggunakan nama Razr+ 2023. Peranti dengan skrin boleh-lipat ini menggunakan bentuk clamshell seakan Samsung Galaxy Z Flip dan Oppo Find N2 Flip tetapi menggunakan skrin luar yang lebih besar.
Baru-baru ini terdapat maklumat yang sebab Motorola mula menggunakan nama “+” pada peranti Razr mereka adalah kerana mereka ingin melancarkan satu peranti dengan spesifikasi lebih rendah dan mungkin pada harga mampu. Peranti ini adalah Razr Lite.
Spesifikasi dan butiran peranti ini masih tidak jelas. Tetapi OnLeaks dan MySmartPrice telah berkongsi imej pengolokan yang mendakwa rekaan sebenar Razr Lite. Skrin luar dilihat lebih kecil seakan Z Flip lama yang mungkin terhad untuk semak notifikasi sahaja. Bersama-sama dengan skrin ini adalah dua kamera utama.
Di dalam adalah skrin memanjang yang biasa kita lihat berserta lubang untuk kamera swafoto di tengah atas. Rekaan sisi peranti juga adalah melengkung seakan iPhone lama dengan antena jelas kelihatan. Sumber turut menegaskan yang imej pengolokan adalah berdasarkan rekaan tertiris dengan kualiti rendah dan prototaip peringkat awal. Jadi rekaan akhir mungkin akan berubah.
Cip pemprosesan, skrin, bateri dan harga semua masih dirahsiakan lagi. Tetapiadakah anda rasa sebuah Razr Lite ini dapat mengubah pasaran peranti skrin boleh-lipat dunia?