Elon Musk Ingin Melancarkan AI TruthGPT Sebagai Alternatif Kepada ChatGPT
Effi Saharudin
Elon Musk mengumumkan dalam temuramah bersama Tucker Carlson bahawa beliau akan melancarkan TruthGPT. Ia merupakan kecerdasan buatan (AI) LLM yang mempunyai kemampuan setanding dengan ChatGPT yang dibangunkan oleh OpenAI.

Menurut Musk, TruthGPT akan mementingkan “kebenaran” kerana AI lain seperti yang dibangunkan OpenAI dan Google dikatakan boleh menghasilkan kepalsuan. Ini adalah kerana OpenAI kini menerima pelaburan daripada Microsoft dan berfungsi untuk mendapatkan keuntungan. Berbeza dengan sasaran asal beliau semasa melabur ke dalam syarikat yang sama sebelum ini. Selepas percubaan mengambil alih OpenAI gagal, Musk menarik pelaburan yang membuatkan syarikat bekerjasama dengan Microsoft.
TruthGPT juga akan lebih selamat dan “tidak akan memusnahkan manusia” menurut Musk. Sejak dari awal Musk berkata negara yang mempunyai AI terbaik akan dapat menguasai dunia. Beliau turut percaya pembangunan AI tanpa kawalan boleh memusnahkan spesis manusia.
Tiada maklumat bilakah TruthGPT kan dilancarkan kepada umum pada waktu ini serta sama ada pembangunan telahpun dimulakan. Yang pasti ia pastinya berkaitan dengan syarikat X.AI. yang baru sahaja ditubuhkan beliau beberapa hari yang lalu.