Cip Exynos 2400 Dikatakan Akan Dilengkapi GPU 12 CU Berasaskan RDNA2
Effi Saharudin
Cip Eyxnos 2400 sedang dibangunkan oleh Samsung dengan ura-ura mengatakan ia akan digunakan pada Galaxy S24 tahun depan. Walaupun sedang dibangunkan, maklumat mengenai GPU yang bakal digunakan mula tertiris ke arena web. Terkini cip Exynos 2400 ini dipercayai akan mempunyai GPU yang empat kali ganda lebih berkuasa berbanding GPU pada Exynos 2200.

GPU Exynos 2400 adalah berasaskan RDNA2 dengan ia dilengkapi 12 Compute Units (CU). Sebagai perbandingan GPU Xclipse 920 pada Exynos 2200 mempunyai 3 CU. Seperti GPU terdahulu, kemampuan memaparkan grafik dengan Ray Tracing akan turut boleh dilakukan. Ura-ura sebelum ini turut mengatakan Exynos 2400 akan turut hadir dengan 10 teras CPU yang lebih banyak berbanding 8 pada SOC yang digunakan majoriti peranti Android sekarang.
Prestasi Exynos 2200 tahun lalu mengecewakan sehingga menyebabkan siri Galaxy S23 tahun ini tidak menggunakan langsung cip Exynos keluaran Samsung sendiri. Sungguhpun begitu Samsung meneruskan kerjasama dengan AMD untuk beberapa tahun lagi. Samsung perlu menawarkan cip yang berkuasa kerana jika ia tidak setanding dengan penawaran Qualcomm dan MediaTek, masa depan Exynos mungkin akan agak kelam.