Carian
Ramai Pengguna Snapchat Benci Akan Ciri My AI
April 25, 2023 Fahim Zahar

Bulan Februari lepas Snapchat telah memperkenalkan ciri My AI yang menggunakan teknologi ChatGPT. My AI adalah sebuah chatbot yang menjadi “kawan baik” pengguna di mana AI ini boleh memberi cadangan untuk membeli hadiah, bercuti di mana, makan apa dan banyak lagi.

Penggunaan My AI adalah melalui ruangan perbualan dalam aplikasi Snapchat dan disemat di bahagian paling atas sekali seakan kenalan yang paling penting. My AI bermula bulan ini sudah boleh diakses oleh semua pengguna.

Baru-baru ini ramai pengguna menyerang Snapchat dengan memberi rating 1 bintang di App Store kerana benci akan My AI. Pengguna seakan dipaksa menggunakan ciri ini dan turut terpaksa sentiasa melihat My AI di senarai paling atas perbualan.

Bukan itu sahaja, ciri ini secara automatik diaktifkan kepada ramai pengguna walaupun ada yang tidak ingin menggunakannya. Cara ingin membuang My AI dari senarai perbualan adalah dengan melanggan ke Snapchat+.

Dalam semakan saya, pengguna yang membenci ciri My AI bukan datang dari Malaysia tetapi dari negara luar. Adakah anda antara pengguna yang benci akan ciri ini atau anda suka menggunakan My AI sebagai teman tapi mesra?

Komen