Cari @ Amanz

Kerap kali dilihat telefon pintar jenama A diubah rekaan sedikit dan dijual menjadi jenama B. Ini dilakukan oleh Xiaomi dengan Redmi serta Oppo dengan OnePlus suatu ketika dahulu. Jarang sekali kami lihat ia dilakukan oleh pengeluar komputer riba. Tetapi boleh kami katakan IdeaPad Gaming 3i ialah komputer riba salin kulit kepada Lenovo Legion dengan tanda harga yang lebih murah.

Dari segi spesifikasi dan banyak elemen rekaan ia menyerupai Lenovo Legion 5i Pro yang kami ulas pada September lalu. Jadi adalah masih berbaloi membeli IdeaPad 3i pada tahun 2023 ataupun lebih baik membeli komputer riba gaming lain di pasaran sekarang?

Lenovo IdeaPad Gaming 3i
Skrin16″ WUXGA, (1920 x 1200 pixel)
IPS LCD, 165Hz, 350 nits
CPUIntel Core i7-12650H Gen-12
GPUNVIDIA GeForce RTX 3060 6GB GDDR6
RAM16 GB DDR4 3200 MHz
(2 x 8GB Dual Channel)
Muatan Dalamansehingga 1TB M.2 PCIe Gen4 
Kamera Utama1080p ThinkShutter
I/O2x USB-C 3.2 Gen 1
1x USB-C 3.2 Gen 2
1x RJ45
1x HDMI 2.0
Bateri71 Wh (4 Sel)
Pengecasan 230W
SIM/TelefoniTiada
WiFi802.11a/b/g/n/ac/6
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanTiada
Harga JualanRM5299 (Core-i5)
RM6284 (Core-i7)

SKRIN

Skrin besar 16″ dari jenis IPS LCD menyokong resolusi WUXGA dengan kadar segar semula sehingga 165Hz. Tiada sokongan NVIDIA G-SYNC ataupun HDR pada skrin. Ini adalah perbezaan pertama yang dapat dilihat kerana pada Legion 5i skrin yang digunakan mempunyai kesemua di atas serta resolusi yang lebih tinggi. Permukaan skrin adalah dari jenis pusam maka tiada isu silau sepanjang tempoh ulasan.

Tiada sokongan sesentuh tetapi ciri ini memang jarang sekali ditawarkan pada sebuah komputer gaming. Resolusi FHD sahaja juga bukan isu yang besar bagi kami kerana pada skrin 16″, sukar membezakannya dengan resolusi 1440P ataupun 4K. Serasilah dengan harga yang ditawarkan oleh Lenovo. Dari segi keterangan pula ia hanya mencapai 350 nits yang juga sekadar biasa sahaja. Ini bermakna tiada guna menonton kandungan atau permainan video HDR kerana ia tidak cukup terang untuk melihat perbezaan.

Sudut pandangan juga sederhana dengan perubahan warna dapat dilihat apabila skrin tidak dilihat pada sudut yang betul. Satu kelebihan IdeaPad ialah skrin boleh dibuka sehingga sekitar 170 darjah. Tidak sebaik model Yoga tetapi lebih baik berbanding Legion 5i yang boleh dibuka sehingga sekitar 110 darjah sahaja. Engsel ini walau bagaimanapun tidak begitu teguh kerana jika kami menaip dengan kuat skrin akan bergoyang.

Skrin dengan nisbah 16:10 adalah memuaskan untuk menonton kandungan video tetapi lebih serasi untuk mereka yang banyak menghasilkan kertas kerja. Dengan sokongan resolusi tinggi, imej kelihatan tajam dan tidak menyakitkan mata selepas sesi permainan video yang panjang.

REKABENTUK

Rekabentuk meminjam elemen Legion 5i dimana ia nampak agresif. Keseluruhan tubuh berwarna kelabu diperbuat daripada bahan plastik. Terasa kurang premium tetapi membantu mengurangkan berat. Kerana buatan plastik ini juga, tubuh Gaming 3i akan melentur jika ditekan. Tidaklah kronik tetapi ia boleh disedari jika jari menekan bahagian penutup dan kekunci dengan kuat.

Butang kuasa diletakkan di bahagian tengah dengan lampu LED menyala apabila komputer dihidupkan. Lokasi yang sama seperti komputer Legion. Tiada pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa atau pengimbas cap jar fizikal disertakan. Sokongan untuk Windows Hello menggunakan kamera web juga tiada.

Terdapat dua bukaan lohong penyedut udara untuk pengudaraan pada sisi kanan dan kiri. Di belakang pula lohong udara untuk udara panas kelihatan seperti kekisi pada kereta lumba prestasi tinggi lengkap dengan bilah berwarna biru neon. Pada asalnya kami ingatkan ia lampu RGB tetapi sebenarnya tidak. Nampak bergaya sebenarnya kerana ada sentuhan warna menarik dan tidak sekadar kelabu semuanya.

Sebuah USB-A 3.2 Gen 1 dan bicu audio untuk fon telinga terletak di sisi kiri. Di sisi kanan pula terdapat sebuah lagi USB-A 3.1 Gen 1. Dengan dua USB-A di sisi, mudah untuk memasang tetikus sama ada anda kidal ataupun tidak. Bagi yang memerlukan USB-C ia diletakkan di bahagian belakang tetapi sekadar USB 3.2 Gen 1 tanpa sokongan Thunderbolt 4. Turut di belakang ialah HDMI 2.0, RJ45 dan port kuasa Slim Tip yang biasanya digunakan oleh komputer keluaran Lenovo.

Walaupun rekaan nampak agresif ianya masih lagi elegan. Tidak nampak terlalu melampau dengan bicu-bicu tajam seakan robot Decepticon yang pernah popular setengah dekad yang lalu.

Pilihan I/O yang diberikan adalah agak terhad jika kami bandingkan dengan Legion 5i. Bagi sebuah komputer gaming mungkin port yang lebih banyak diberikan untuk memudahkan sambungan aksesori yang pelbagai. Untuk memudahkan akses kepada I/O di belakang, terdapat ikon yang jelas pada bahagian atas. Satu lagi elemen Legion 5i yang dipinjam oleh IdeaPad Gaming 3i.

Lebih banyak lubang udara diletakkan di bahagian bawah bagi memberikan sistem penyejukan yang efektif. Konfigurasi sistem penyejuk yang digunakan menarik udara dari sisi dan bawah sebelum dihembus ke belakang. Dengan ini tidak timbul udara panas membakar tangan pemain semasa menggunakan IdeaPad Gaming 3i. Sistem penyejukan ini juga berfungsi dengan agak senyap. Pada tetapan kuasa paling tinggi sekalipun deruman kipas tidak begitu kuat sehingga lebih lantang berbanding sistem speaker yang digunakan.

Bercakap mengenai speaker, dua speaker stereo diletakkan di bahagian bawah. Kami kurang menggemari sistem audio yang menembak ke bawah ini tetapi sahaja konfigurasi yang ditawarkan.

Kamera web diletakkan pada bezel atas skrin dan ia tidak mengganggu kerana berjaya disorokkan dengan baik. Tiada sokongan sistem pengecaman wajah Windows Hello dan juga tiada pengimbas cap jari. Dari segi sekuriti pengguna hanya perlu berpuas hati dengan sistem pin dan kata laluan. Bagi yang mementingkan privasi, butang fizikal ThinkShutter mematikan kamera web ini terletak di sisi kanan seperti yang kami katakan beberapa perenggan di atas.

PAPAN KEKUNCI

Papan kekunci adalah dari jenis Smiley yang lazim ditemukan pada produk keluaran Lenovo. Ianya selesa digunakan tetapi dari jenis membran yang membuatkan ia terasa sedikit lembut. Untuk menaip ia sangat selesa dan untuk sesi permainan juga pengalaman yang sama dapat dinikmati. Kekunci juga lengkap dengan NumPad dan anak panah empat arah. Sistem lampu yang diberikan pula adalah berwarna biru dengan ia boleh dimatikan jika diperlukan. Lampu juga boleh ditukar keterangannya ke dua tahap dengan menekan butang Fn+Space Bar secara serentak.

Dalam sesi permainan video pula ia masih kekunci yang baik kerana mengesan kesemua tekanan jari yang kami berikan. Pengesanan juga memuaskan tanpa kami menyedari kawalan yang diberikan tidak dikesan atau mempunyai lengah masa yang boleh disedari.

PAD SESENTUH

Pad sesentuh tidak begitu besar kerana ia lazim pada komputer riba gaming. Ia terasa agak lembut tetapi mengesan pergerakan jari, sentuhan dan klik dengan agak baik. Pada hemat kami ia bukanlah komponen terbaik pada komputer riba ini. Kami lebih biasa menggunakan komputer riba dengan pad sesentuh lebih besar. Tetapi kami menyedari pad sesentuh bukan komponen paling penting komputer gaming kerana pemilik lebih kerap menggunakan tetikus untuk kawalan permainan yang lebih jitu.

PRESTASI Dan PENGGUNAAN

Model yang diulas dilengkapi CPU Intel Core i7-12650H Gen-12 ditawarkan dengan ia dipadankan dengan memori sehingga 16GB RAM DDR4 dan storan 512GB M.2 2242 PCIe Gen4. Dua batang RAM sebesar 8GB digunakan bagi memberikan kemampuan dual channel yang menawarkan prestasi yang lebih baik. Lenovo mengubahnya berbanding konfigurasi asal sebatang RAM 16GB yang membuatkan prestasi menjadi hampir separuh. Dari segi storan bulan terdapat dua slot M2. Satu dari jenis 2242 dan satu lagi 2280 bagi memberikan saiz keseluruhan sehingga 2TB.

Kesemua RAM dan SSD boleh ditukar sendiri oleh pemilik tetapi harus diterangkan RAM yang disokong adalah DDR4 sahaja dan bukannya DDR5 yang lebih pantas. Ini adalah satu lagi contoh pengurangan kos bagi membezakan Gaming 3i dengan Legion 5i yang menyokong komponen yang berprestasi lebih tinggi.

Storan yang digunakan hanya mampu mencapai tahap membaca 3.352 GBps dan menulis pula sehingga 3.222 GBps. Ini bukanlah memori yang paling pantas pernah kami lihat. Pada Legion 5i misalnya kelajuan membaca mencecah 13.25 GBps dan menulis pula 10.34 GBps.

Dalam ujian Fire Strike Extreme dan Time Spy Extreme, markah yang dicatatkan adalah setanding dengan purata komputer riba gaming lain dengan spesifikasi setanding. Tetapi dengan kemunculan komputer riba gaming dengan siri RTX 4000 di pasaran sekarang, markah ini akan dapat dipintas dengan mudah. Berdasarkan ujian kami permainan seperti Cyberpunk 2077 boleh dimainkan pada tetapan sederhana, Atomic Heart pada tetapan tinggi dan GTA V juga pada tetapan tinggi. Asalkan pada tetapan 1080P majoriti permainan moden boleh dimainkan pada kadar bingkai melebihi 60FPS.

Melakukan kerja suntingan video juga boleh dilakukan oleh Gaming 3i kerana RTX 3060 dengan 6GB RAM yang disertakan mempunyai teras CUDA yang mempercepatkan proses mengekod video pada Adobe Premiere. Sistem penyejukan mampu mengurangkan suhu dengan baik tanpa kedengaran seperti sebuah enjin jet ingin terbang.

AUDIO

Pembesar suara stereo 2W menembak ke bawah tetapi hadir dengan sistem audio Nahimic Audio. Kelantangan speaker adalah memuaskan sahaja dengan ia tidak pergi terlalu tinggi. Ia cukup lantang untuk menutup bunyi kipas penyejuk yang berpusing ligat ketika sesi permainan video yang intensif. Untuk permainan video kami rasakan audio yang dilontar memuaskan tetapi untuk menstrim muzik bass tidak begitu kuat dan berkecamuk pada tetapan lebih tinggi. Dengan kata lain audio hanya sederhana.

Bateri

Bateri diiklankan boleh bertahan selama 7 jam dengan sekali caj dengan pengecasan pantas membolehkan ia mencapai tahap 50% dalam masa 30 minit. Tetapi hakikatnya dalam penggunaan kami, ia boleh bertahan lebih sedikit daripada 4 jam sahaja kerana kami gemar menetapkan skrin ke tahap keterangan yang sederhana tinggi.

Apabila digunakan untuk sesi permainan video pula, waktu penggunaan menjunam bawah 3 jam bergantung kepada tahap prestasi yang dipilih. Pengecas 230W yang disertakan adalah agak besar dan berat. Oleh itu pastikan anda mempunyai beg yang agak besar untuk membawa komputer riba ini dan pengecasnya sekali.

KESIMPULAN

Lenovo IdeaPad Gaming 3i bukanlah sebuah Legion 5i yang disalin kulit. Ia adalah alternatif yang menawarkan pengalaman gaming 1080P yang memuaskan pada tahun 2023 dengan rekaan cantik, papan kekunci yang masih serasi digunakan untuk kerja pada harga yang lebih mampu milik.

Terdapat kekurangan pada kualiti binaan, memori dan kad grafik yang sudah satu generasi di belakang. Kekurangan yang lebih kritikal ialah komputer riba dengan GPU NVIDIA GeForce RTX4060 sudah mula ditawarkan di Malaysia tetapi harga jualan yang setanding.

Misalnya Acer Predator Helios Neo 16 dengan Intel Core-i5 dan memori 16GB DDR5 dijual pada harga RM4899. Ideapad Gaming 3i dengan Intel Core-i5, 16G RAM DDR4 dan GeForce RTX3060 dijual pada harga RM5299. Maka sukar untuk menyarankan pembeliannya sekarang melainkan Lenovo memberikan potongan harga yang banyak dalam masa terdekat.

PRO dan Kelebihan
  • Prestasi yang amat memuaskan untuk gaming dan kerja.
  • Pilihan I/O yang mencukupi.
  • Papan kekunci yang sedap untuk menaip dan gaming.
  • Rekaan kemas tidak terlalu agresif.
  • Skrin pantas dengan kualiti visual yang menarik.
  • Sistem penyejukan yang tidak bising.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada sebarang pengimbas biometri disertakan.
  • Hayat bateri pendek.
  • Pad sesentuh agak lembik.
  • Speaker kurang bermaya
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd