Masa depan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS ) nampak kelam selepas Rusia berkata mereka akan menarik diri pada tahun 2024 selepas negara mereka dikenakan pelbagai sekatan oleh negara-negara Barat. Modul ISS Rusia yang dikendalikan oleh Agensi Angkasa Rusia (Roscosmos) adalah perlu untuk mengembalikan ISS ke orbit dari semasa ke semasa. Hari ini NASA mengumumkan Roscosmos bersetuju kekal di ISS sehingga 2028.
Perubahan hati oleh Rusia ini memastikan ISS akan beroperasi sehingga sekurang-kurangnya 2030 mengikut perancangan asal hayat stesen angkasa ini akan berakhir. Isu kos membina stesen sendiri dan keselamatan angkasawan mereka menjadi sebab mengapa kerjasama ISS diteruskan sehingga 2028 oleh Rusia.
Sejak beroperasi pada tahun 1998, ia dikendalikan secara kerjasama oleh NASA, Roscosmos, JAXA, ESA dan CSA. Selepas mengumumkan penarikan diri, Roscosmos menujukkan model stesen angkasa mereka sendiri yang mirip dengan stesen angkasa Tiangong yang dibina China.