Dikemaskini 12 Mei 2023 – Melalui Engadget, Google telah mengeluarkan kenyataan yang memang benar isu ini adalah daripada Android sendiri dan bukannya WhatsApp. Terdapat pepijat di mana Privacy Dashboard (papan pemuka privasi) menerima maklumat salah mengenai kebenaran akses mikrofon.
WhatsApp sejak beberapa minggu ini banyak menawarkan ciri dan fungsi menarik seperti membenarkan WhatsApp akaun sama digunakan pada empat telefon berbeza, mempunyai semakan privasi atau baru-baru ini WhatsApp Web yang kini menyokong ciri suntingan mesej.
Terkini ada pengguna mendakwa yang WhatsApp telah mengakses mikrofon peranti tanpa kebenaran. Melalui papan pemuka privasi Android 13 WhatsApp disenaraikan mengakses mikrofon pada setiap beberapa minit ke setiap sekitar setengah jam.

Menurut WhatsApp perkara sama berlaku pada peranti Pixel seorang jurutera Twitter. Selepas semakan WhatsApp mendakwa yang isu ini adalah pepijat pada Android sendiri dan bukan dari mereka. Turut ditekankan yang tetapan mikrofon adalah di bawah kawalan pengguna sepenuhnya.
Mikrofon peranti turut hanya akan diakses oleh WhatsApp jika pengguna melakukan panggilan suara, panggilan video, rakaman video, ambil gambar dan atau mesej suara. Kemudian setiap mesej dan kaedah komunikasi dalam WhatsApp adalah disulitkan sepenuhnya hujung ke hujung.
Isu pada peranti Android ini dikatakan adalah papan pemuka privasi mungkin salah mengedarkan maklumat mengenai akses kebenaran.