Carian
Google Gemini Yang Lebih Berkuasa Daripada PaLM 2 Sedang Dibangunkan
May 11, 2023 Effi Saharudin

Di Google I/O, Google memperkenalkan generasi baharu model bahasa raya (LLM) mereka, iaitu PaLM 2 (Pathways Language Model 2). Ia kini digunakan sebagai asas kepada kecerdasan buatan (AI) Bard yang boleh diakses pengguna global hari ini. Kemampuan PaLM 2 adalah amat menarik kerana boleh menghasilkan kod pengaturcaraan, saranan membaiki kod, menghasilkan teks dan banyak lagi.

Walaupun PaLM 2 baru sahaja diumumkan, CEO Google Sundar Pichai mengumumkan pembangunan Google Gemini telah dimulakan. LLM ini adalah lebih berkuasa dengan kemampuan multi modal. Ia masih lagi sedang menjalani proses latihan di Google. Selepas menjalani proses ujian keselamatan, akses kepada Gemini akan diberikan. Masih terlalu awal untuk mengetahui apakah kemampuan baharu Gemini berbanding PaLM 2. Google hanya mengatakan data awal memberikan petunjuk yang positif.

Gemini dibina semula dari awal menggunakan kepakaran pasukan di Google Deepmind yang telah menjalani penstrukturan semula baru-baru ini. Pembangunan AI kini menjadi tumpuan Google dengan kesemua produk yang diumumkan pagi ini mempunyai integrasi AI yang menyeluruh.

Komen