Di acara Google I/O 2023 awal pagi tadi Google turut mengumumkan ketibaan Wear OS 4. Agak mengecewakan yang versi baharu diumumkan sedangkan Wear OS 3 pun masih belum diedarkan secara meluas walaupun sudah dua tahun sistem operasi ini dilancarkan.
Menurut Google Wear OS 4 buat masa ini hanya hadir dalam bentuk pelagak untuk diuji pembangun dan hanya akan tiba ke pengguna sekitar tahun ini. Ini besar kemungkinan khusus untuk pengguna Pixel Watch. Wear OS 4 dikatakan akan memfokuskan kepada ketahanan bateri dan akhirnya menyokong melalukan sandaran dan pemulihan untuk mudah jam digunakan pada peranti berbeza.
Selain Wear OS 4 Google turut mengumumkan penambahbaikan kepada Wear OS sedia ada seperti akan menyokong Gmail dan Google Calendar agar pengguna tidak lagi perlu bergantung kepada notifikasi sahaja untuk berinteraksi. Google Home turut akand iintegrasikan terus dan WhatsApp akan tiba dalam bentuk stabil tidak lama lagi. Spotify DJ juga akan mempunyai tile tersendiri pada jam Wear OS.
Buat masa ini Google masih tidak memberitahu apakah spesikasi jam dan jam mana akan menerima kemaskini Wear OS 4 dan ciri-ciri baharu yang diumumkan. Tetapi ada baiknya jangan letak harapan tinggi pada jam anda pakai sekarang akan menerima kemaskini ini. TicWatch Pro 3, Pro 3 Ultra dan TicWatch E sudah menantikan kemaskini hampir setahun dan masih ditunda.