Carian
Langganan YouTube Premium Meningkat RM7 Kepada RM33.90 Sebulan
May 12, 2023 Fahim Zahar

YouTube Premium dan YouTube Music telah tiba ke pasaran Malaysia sejak 2019. Ia menawarkan akses video tanpa iklan, main video di latar belakang dan menyokong penstriman 1080p pada kadar bit tinggi. Harga langganan bulanan adalah serendah RM14.90 untuk YouTube Music dan RM17.90 untuk individu.

Selain itu, YouTube Premium turut mempunyai pelan keluarga yang berharga RM22.90 sebulan. Pelan ini boleh digunakan untuk enam akaun berbeza menjadikan satu akaun hanya membayar sekitar RM3.80 sebulan.

Kemudian Google pernah meningkatkan harga kepada RM26.90. Terkini harga telah dinaikkan lagi khusus untuk pelan keluarga sahaja. Saya menerima maklumat ini melalui emel yang YouTube hantar menyatakan harga langganan bermula Jun nanti adalah RM33.90. Ini adalah peningkatan sebanyak RM7. Menjadikan jumlah peningkatan harga sejak dilancarkan adalah sebanyak RM11.

Segala manfaat dan akses istimewa masih dikekalkan cuma pengguna kini perlu bayar lebih sahaja. Dengan YouTube telah mula menghalang penggunaan AdBlock ini adalah masa terbaik untuk melanggan. Jika anda ambil pelan keluarga dan kongsi dengan lima orang anda hanya membayar RM5.65 sebulan.

Komen