Huawei P60 Pro dilancarkan di Malaysia semalam pada harga RM4699. Dalam ulasan yang ditulis oleh Maya, peranti ini dipuji kerana mempunyai kemampuan fotografi yang mengagumkan dan prestasi bateri yang memuaskan. Bagi mereka yang tidak mempedulikan ekosistem Google, P60 Pro ialah peranti yang menarik untuk dimiliki.
Bagi kami pula perkara paling unik mengenai P60 Pro terletak pada pengecas 88W Huawei SuperCharge yang diberikan dengan setiap pembelian. Ianya paling unik pernah ditawarkan oleh pengeluar peranti pintar dunia.

Setiap pengecas 88W Huawei SuperCharge mempunyai dua port – satu berkepala USB-C dan satu lagi berkepala USB-A. Secara lazimnya pengecas yang diberikan hanya hadir dengan satu port USB-C atau USB-A sahaja. Apa yang dilakukan oleh Huawei ini menyelesaikan satu isu yang sudah beberapa tahun kami alami iaitu tersalah membawa kabel untuk pengecas.
Tetapi penawaran Huawei masih belum sempurna kerana pengecas ini direka untuk mengecas satu peranti sahaja. Kedua-dua port tidak boleh digunakan serentak. Ini mungkin disengajakan bagi mengelakkan isu pemanasan. Beberapa pengecas dengan multi-port yang pernah kami ulas sebelum ini mempunyai tubuh lebih besar untuk menyebarkan haba secara lebih efisien.

Huawei mungkin bukan lagi antara lima pengeluar telefon pintar terbesar dunia sekarang. Tetapi mereka mempopularkan penggunaan lensa monokrom, kerjasama dengan syarikat kamera popular dan mod malam yang mantap. Diharap trend pengecas multi-kepala Huawei ini akan turut menjadi ikutan pengeluar lain.