Cari @ Amanz

Siapa tidak gentar apabila Google mengumumkan kehebatan Bard pada acara Google I/O 2023? Bard yang merupakan pesaing kepada ChatGPT kelak akan diintegrasikan dalam hampir kesemua perkhidmatan Google. Sedangkan perkhidmatan kecerdasan buatan lain masih lagi sekadar menjawab soalan dan membantu pengguna mencari maklumat.

Bard juga akan dibawa ke peranti Pixel dengan khabar angin akan ditawarkan melalui widget khas. Terkini Mircrosoft yang tidak ingin ketinggalan turut memperkenalkan widget Bing baharu untuk iOS dan Android. Widget ini memberi akses pantas kepada Bing AI dan pengguna turut boleh terus mengawal menggunakan arahan suara.

Bukan itu sahaja dengan kemaskini baharu Bing ini pengguna turut boleh menggunakan aplikasi untuk berbual dengan Bing. Pengguna juga boleh sambung berbual untuk Bing teruskan memberi maklumat dan tidak perlu mula dari mula.

Dengan pelayar web terbina dalam Bing, pengguna turut boleh menggunakan kecerdasan buatan untuk meringkaskan artikel. Selain itu jika membuka laman web resipi pengguna boleh tambah mencari minuman atau makanan ringan yang sesuai dimakan bersama dengan resipi tadi. Teks pada laman web turut boleh dipilih dan dijelaskan oleh Bing jika tidak difahami pengguna.

Akhir sekali ciri yang sebelum ini terhad kepada pengguna beta akan diedarkan kepada orang ramai. Papan kekunci Swiftkey akan mempunyai integrasi Bing yang mana boleh membalas mesej untuk pengguna dengan tona bahasa yang lucu atau berjenaka. Selain itu ciri bantu menuliskan emel turut disertakan. Ini adalah ciri sama dengan Google Message melalui ciri Magic Compose cuma ia terbina pada aplikasi pemesejan bukannya papan kekunci.

Kemaskini ini akan diedarkan kepada orang ramai dalam minggu-minggu akan datang. Sama-sama kita nantikan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd