Cari @ Amanz

Neuralink akhirya menerima kebenaran daripada Agensi Makanan dan Dadah Kebangsaan (FDA) Amerika Syarikat untuk memulakan ujian klinik implan otak pada manusia. Syarikat milik Elon Musk ini mengumumkan implan otak yang menurut mereka membolehkan antaramuka antara otak manusia dan komputer secara terus.

Dengan wujudnya implan pada otak, insan lumpuh boleh berjalan semula dengan isyarat pada otak dihantar terus kepada kaki walaupun tanpa sambungan saraf tunjang. Ia turut dilihat membolehkan insan berinteraksi dengan komputer tanpa peranti fizikal dan hanya menggunakan gelombang otak.

Kebenaran untuk memulakan ujian klinikal manusia diberikan selepas ia dilaporkan telah ditangguh kerana beberapa isu yang muncul pada ujian pada primat dan haiwan makmal sebelum ini. Isu mengenai keselamatan bateri yang dipasang pada otak juga menyebabkan kelulusan tidak diberikan.

Teknologi implan otak tidak eksklusif kepada Neuralink. Firma Synchron sudah memulakan ujian pada manusia untuk implan Stendrode mengawal peranti tahun lalu. Implan otak École Polytechnique Fédérale de Lausanne (EPFL) dari Switzerland pula membolehkan beberapa insan lumpuh kembali berjalan juga tahun lalu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd