Carian
Samsung Dilaporkan Ingin Menghasilkan Cip XR Kendiri
May 31, 2023 Effi Saharudin

Suatu ketika dahulu Samsung mempunyai beberapa produk set kepala realiti maya (VR) dan juga realiti terimbuh (AR) di bawah keluarga Odyssey. Tetapi usaha ini dihentikan beberapa tahun yang lalu kerana kurangnya sambutan dari pengguna. Tetapi awal tahun ini, Samsung mengesahkan mereka bekerjasama dengan Google dan Snapdragon untuk membangunkan set kepala realiti diperluas (XR).

Menurut laporan Korean Economic Daily, Samsung juga ingin menghasilkan cip XR kendiri dalam masa terdekat. Antara yang sedang diperhalusi ialah sama ada membangunkan sebuah cip XR baharu ataupun mengubahsuai cip Exynos sedia ada. Kesemua perancangan ini masih di peringkat awal menurut sumber dengan maklumat lebih terperinci tidak didedahkan.

Qualcomm adalah syarikat dengan pegangan pasaran cip XR terbesar pada waktu ini. Cip Snapdragon AR2 Gen 1 mereka misalnya digunakan pada peranti seperti Meta Quest 3 dengan kerjasama dengan Meta telah ditandatangani selama beberapa tahun. Perniagaan cip Samsung sedang mengalami kerugian kerana lambakan stok, kurangnya permintaan untuk cip Exynos dan situasi ekonomi dunia pasca pandemik.

Komen