Cari @ Amanz

Meta Quest 3 diumumkan oleh Meta semalam sehari selepas Mark Zuckerberg mengacah pelancaran “sesuatu yang menarik” alan berlaku. Ia sekadar pengumuman yang menunjukkan rekaan set kepala realiti terimbuh (AR) terkini tanpa sebarang maklumat terperinci mengenai spesifikasi.

Pertama sekali Meta Quest 3 kini 40% lebih nipis menerusi teknologi lensa lempeng. Ini sekaligus menjadikannya lebih ringan bagi menawarkan pemakaian yang lebih selesa untuk tempoh lebih lama. Resolusi skrin juga lebih tinggi tetapi sejauh mana ia lebih tinggi tidak juga dikongsi oleh Meta.

Seterusnya ia menggunakan cip Snapdragon XR misteri yang lebih berkuasa tetapi besar kemungkinan Snapdragon AR2 Gen 1 yang turut digunakan oleh Oppo MR Glass yang dilancarkan semalam. Perubahan paling ketara ialah alat kawalan Touch Plus menyokong sistem haptik TruTouch yang lebih imersif serta tidak mempunyai gegelung bulat yang biasanya digunakan untuk menjejak pergerakan.

Terdapat barisan kamera di bahagian hadapan Quest 3 yang membolehkan ia menjejak 10 jari dan pergerakan tangan. Maka permainan VR boleh dimainkan tanpa alat kawalan fizikal. Kesemua lebih 500 aplikasi Quest 2 juga boleh dimainkan Quest 3. Mod tembus berwarna sepenuhnya juga turut boleh digunakan. Meta Quest 3 akan dijual pada musim luruh pada harga $500 (~RM2306) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd