Carian
Ulasan Vivo X Flip – Sentuhan Premium Dan Moden Dalam Satu
June 12, 2023 Amy Maizuraa

Pasaran peranti dengan skrin boleh lipat sejenis clamshell secara umumnya dilihat semakin matang dengan penglibatan lebih banyak pengeluar. Antaranya seperti Vivo X Flip yang mana ketersediaan untuk pasaran tempatan telah disahkan oleh Vivo. Namun persoalan mula timbul mengenai tarikh pelancaran khusus yang masih kekal misteri.

Kami bagaimanapun rasa bertuah apabila diberi akses awal bagi melihat dengan lebih dekat mengenai ciri dan fungsi yang ditawarkan. Apakah kelebihan peranti ini berbanding yang lain? Adakah keputusan Vivo untuk menceburi segmen ini boleh dianggap bijak? Seterusnya, ia menjadi antara peranti yang menarik untuk dimiliki? Ini artikel ulasan saya untuk Vivo X Flip selepas hampir dua minggu penggunaan.


SPESIFIKASI

Vivo X Flip
SkrinLuar – 3″ AMOLED, 682 × 422 piksel, 60Hz
Dalam – 6.74″ AMOLED FHD+, 120Hz, 10.7 bilion warna
PemprosesQualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 (4 nm)
Cip1 x 3.0 GHz Cortex-X2
3 x 2.5 GHz Cortex-A710
4 x 1.80 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM12GB LPDDR5 (+8GB RAM)
Muatan Dalaman512 GB UFS 3.1
Kamera Utama50MP, f/1.8, OIS, Zeiss (Lebar)
12MP, f/2.2 (Ultra-lebar)
Kamera Swafoto32 MP, f/2.5, (Lebar)
Bateri4,400 mAh
Pengecasan berwayar 44W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Harga Jualan Bermula RMB 5,999 (~RM3,869)

REKABENTUK

Sekali lagi saya mulakan ulasan dengan penafian bahawa pertama kali saya diberi tanggungjawab membuat ulasan untuk peranti segmen sebegini. Justeru setiap pendapat yang dikemukakan adalah berasaskan pengalaman dan sudah semestinya tidak semua akan bersetuju khususnya mereka yang memang sedia menggunakan peranti sebegini untuk tempoh yang lebih lama.

Saya berpendapat, Vivo X Flip boleh diklasifikasikan sebagai sebuah peranti yang cantik khususnya bagi pilihan warna Rhombic Purple. Hal ini turut disokong oleh rakan-rakan terdekat yang juga mempunyai pendapat yang sama. Ia menampilkan elemen yang premium pada kemasan luar menerusi gabungan tubuh kulit vegan dan bingkai aloi aluminium yang dibulatkan.

Meskipun sekadar menggunakan tekstur bermotifkan garisan yang dianggap sebagai unsur seni paling asas namun masih menarik kerana berjaya membentuk corak sesuatu objek. Sebagai pilihan Vivo X Flip juga didatangkan dalam warna Silk Gold dan Diamond Black yang dipercayai mempunyai tubuh dengan kemasan berkilat.

Apa yang saya maksudkan tadi adalah berkaitan dengan kemasan semata-mata. Namun lain pula ceritanya dengan reka bentuk utama yang secara umumnya bukanlah suatu konsep baharu. Malahan telah turut dipopularkan oleh beberapa jenama seperti Samsung, Motorola, Oppo dan Huawei.

Begitu juga dengan pemilihan warna ungu tadi yang secara umumnya memang cantik, namun turut sedia digunakan oleh sebahagian pengeluar lain. Hal ini berlaku mungkin atas faktor dapat memberikan kesan anggun dan tidak membosankan. Manakala bagi melihat perbezaan pula sudah semestinya terletak pada bahagian skrin dalam dan luar yang akan saya ceritakan lanjut menerusi segmen seterusnya.

Bingkai aloi aluminium yang digunakan juga tegap membuatkan peranti amat selesa di dalam tangan. Saya juga difahamkan terdapat lapisan nano-coating digunakan di sini bertujuan menjaga nilai kosmetik pada peranti.

Ini bermakna peranti akan bebas daripada calar dan kotoran meskipun digunakan tanpa kerangka. Namun seperti biasa, saya tetap menggunakan peranti ini bersama kerangka kerana khuatir insiden yang tidak diingini berlaku. Tambahan pula peranti yang digunakan hanya unit pinjaman sahaja.

Pujian juga saya berikan kepada Vivo kerana menggunakan engsel yang mampu ditutup rapat tanpa ruang besar d iantara skrin. Sekaligus berjaya membuatkan peranti menjadi lebih kompak dan nipis apabila dilipat. Peranti juga boleh dibuka dengan mudah pada mana-mana sudut, yang mana saya memandangnya sebagai suatu hal yang cukup positif.

Tambah vivo, skrin peranti juga mampu bertahan sehingga 500,000 lipatan. Bukan apa, kebiasaannya, bahagian inilah yang sering dibahaskan oleh Effi dan Fahim di dalam artikel ulasan mereka apabila melibatkan peranti dengan skrin boleh lipat. Namun seperkara yang saya perasan engsel peranti mengeluarkan bunyi agak aneh ketika digunakan.

Menerusi Vivo X Flip juga sistem dwi-kamera yang digunakan disusun dengan kemas dalam sebuah bonggol kamera berbentuk bulat. Melaluinya sensor lebar sebesar 50MP dengan OIS digunakan, di samping turut memuatkan sensor 12MP untuk ultra-lebar.

Terdapat juga penjenamaan Zeiss dan T* padanya yang secara jelas menunjukkan Vivo sekali lagi bekerjasama dengan syarikat berkenaan untuk kebolehan kamera pada peranti. LED Flash dalam bentuk memanjang turut diberikan namun diletakkan agak jauh daripada bonggol kamera.

Pada sisi kanan terdapat butang laras audio dan kuasa dengan pengimbas cap jari terbina. Kedua-dua butang ini sedap ditekan dan tindak balas juga baik. Bukan itu sahaja, saya juga memuji butang laras audio yang secara bijak boleh menyesuaikan penggunaan bergantung pada keadaan skrin. Maksud saya, tidak kira sama ada skrin dalam keadaan terbuka mahupun tertutup, ia boleh diakses seperti biasa tanpa menimbulkan kekeliruan.

Seterusnya, proses imbasan cap jari juga amat pantas kecuali untuk jari yang basah, dalam masa sama ia juga tidak perlu ditekan dengan kuat meskipun sewaktu menggunakan kerangka. Selain itu, sistem imbasan wajah turut diberikan dan boleh digunakan dengan baik dan pantas tanpa isu kegagalan menyahkunci dengan syarat dalam persekitaran dengan pencahayaan yang baik.

Sisi kiri tidak menempatkan apa-apa, kemudian terdapat slot untuk SIM pada bahagian bawah yang diletakkan bersama port USB-C dan pembesar suara. Dwi-SIM nano boleh digunakan serentak tetapi tiada sokongan untuk kad mikroSD.

Bagaimanapun penawaran memori juga cukup besar dengan 12GB RAM yang juga menyokong RAM secara maya sebesar 8GB RAM terbina. Ini menjadikan jumlah RAM yang boleh digunakan pada peranti adalah sehingga 20GB, di samping storan pula sebesar 512GB.

Sistem pembesar suara pula sejenis mono yang hanya diletakkan pada bahagian bawah yang boleh dianggap sebagai kelemahan memandangkan kebanyakan pesaing terdekat yang dibekalkan sistem audio stereo. Penggunaan yang baik boleh dinikmati sewaktu mendengar muzik tetapi belum di tahap yang memuaskan. Apabila audio dimainkan dengan kelantangan maksimum, lontaran bunyi yang dihasilkan kedengaran bingit.

Kelemahan seterusnya mula disedari sewaktu digunakan untuk panggilan video kerana kualiti audio menjadi kurang memuaskan dan perlahan. Peranti juga tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis air serta debu sama seperti yang berlaku pada Oppo Find N2 Flip.


SKRIN DALAM DAN LUAR

Skrin dalam 6.74″ LTPO AMOLED yang digunakan adalah lebih kurang sama besarnya dengan Samsung Galaxy Z Flip4. Ia bukan sahaja menawarkan kadar segar semula tinggi 120Hz, malahan kandungan resolusi HD penuh boleh distrim kerana peranti dilengkapi sistem DRM Widevine L1. Resolusi maksimum pula sehingga FHD+ dengan keterangan maksimum 407 ppi yang menjadi skrin cukup terang dan cantik untuk digunakan. Penghasilan semula warna yang sekata juga memberi nilai tambah pada peranti.

Namun berbeza ceritanya dengan penggunaan di luar yang mula menimbulkan rasa kurang selesa, khususnya di bawah matahari yang terik. Saya mendapati tahap keterangan skrin akan mula berkurang. Tetapi tidaklah sehingga ke tahap yang tidak boleh dibaca langsung, sebaliknya teks, nombor, ikon dan nombor masih kelihatan. Cumanya agak samar-samar yang memerlukan saya mencari tempat berteduh sebentar.

Skrin juga dilindungi dengan rekaan bezel agak besar tetapi sekata di keempat-empat sisi. Walau bagaimanapun saya bersetuju dengan pendapat Effi menerusi ulasan Oppo Find N2 Flip, ia masih boleh dimaafkan untuk sebuah peranti sebegini memandangkan skrin tidak mempunyai lapisan kaca yang tahan lasak. Ia secara tidak langsung sebenarnya akan melindungi skrin dari tercalar atau terhentak sewaktu digunakan.

Masih terdapat dua kesan lipatan pada skrin, namun ia tidak akan disedari dalam majoriti situasi melainkan disentuh dengan jari. Saya juga difahamkan bahawa ia lebih baik berbanding Huawei P50 Pocket yang menghasilkan sehingga tiga kesan lipatan meskipun baru digunakan dalam tempoh yang pendek. Turut melengkapi skrin adalah sebuah lubang kamera yang bersaiz kecil diletakkan pada bahagian tengah.

Skrin luar AMOLED 3″ adalah lebih besar berbanding 1.4″ pada Samsung Galaxy Z Flip4. Bagaimanapun sedikit kecil berbanding Oppo Find N2 Flip yang mempunyai skrin luar 3.26″. Perbezaan sainya agak kecil namun telah menimbulkan perbincangan ringkas di antara saya dan Effi yang kemudiannya masing-masing berpendapat skrin luar pada Vivo X Flip adalah lebih besar berbanding Find N2 Flip. Rasanya tidak perlu dibahas lebih panjang, tetapi apa yang pasti skrin luar peranti ini tidak mempunyai kadar segar semula yang tinggi.

Seperti peranti clamshell yang lain, skrin luar ini boleh memaparkan pelbagai perkara seperti notifikasi, masa, tarikh dan widget. Dalam pada itu, ia juga boleh digunakan untuk membuat panggilan keluar tetapi proses menjawab memerlukan peranti dibuka sepenuhnya. Ia juga boleh digunakan untuk membaca setiap notifikasi atau mesej diterima tanpa kebolehan membalas.


PERISIAN DAN PENGGUNAAN

Sistem operasi OriginOS 3.0 berasaskan Android 13 digunakan pada peranti. Ia merupakan sistem operasi kendiri Vivo yang khusus untuk pasaran China pada waktu ini dan sudah semestinya terdapat beberapa kekurangan yang perlu saya nyatakan. Misalnya seperti peranti sepenuhnya dikuasai dengan bahasa cina pada awal penggunaannya.

Seterusnya tiada sokongan Google Play Store disediakan tetapi boleh dipasang secara sideload tanpa sebarang isu. Lambakan aplikasi gendut yang mengkhususkan pengguna di China semata juga berlaku. Ini mungkin tidak mengejutkan memandangkan peranti menyokong ROM China.

Walau bagaimanapun ia masih seronok digunakan dengan gabungan ikon yang minimalis dan ceria, dalam pada itu pelbagai ciri menarik turut ditawarkan bersama. Jika nak dibandingkan dengan FunTouchOS, ianya lebih kemas, sistematik dan susun atur di bahagian tetapan lebih teratur. Pengalaman penggunaan juga lancar tanpa sebarang isu. Terima kasih kepada skrin 120Hz yang membuatkan peranti terasa cukup responsif ketika digunakan dengan tiadanya isu lengah masa yang dapat kami lihat dengan mata kasar.

Dakwaan Vivo yang mengatakan sistem operasi baharu ini mampu memuatkan sehingga 34 aplikasi di latar belakang tanpa proses segar semula juga adalah berasas. Sebabnya saya boleh menjalankan mencapai 30 aplikasi di latar belakang dengan baik tanpa masalah kegagalan berfungsi.

Seterusnya peranti juga menyokong ciri menambah memori secara maya Memory Fusion 8GB RAM terbina tanpa boleh diubah. Terdapat juga ciri Flexform Mode yang membolehkan peranti digunakan meskipun tubuh dilipat pada sudut 90 darjah. Dengan ini pengalaman merakam gambar dan video menggunakan kamera swafoto menjadi lebih mudah tanpa bantuan alat tambahan.

Menariknya lagi apabila sebarang artikel boleh dibaca pada bahagian atas skrin dengan bahagian bawah pula mempunyai bahagian pad kekunci bersama anak panah bagi tujuan kawalan. Seperti peranti Oppo, di sini juga saya boleh temui ciri Cover Screen Style yang bukan sahaja boleh dikostumasi dalam bentuk animasi yang sangat comel. Malahan turut boleh dijadikan sebagai viewfinder kamera. Ciri-ciri lain yang saya rasakan menarik adalah :-

  • Edge Lighting – Skrin menyala pada bahagian sisi setiap kali notifikasi diterima.
  • Kids Mode – Menukar antaramuka supaya lebih mesra kanak-kanak dan menghadkan aplikasi yang boleh diakses oleh mereka.
  • Easy Touch – Mengakses aplikasi kegemaran dengan pantas menerusi tab sisi yang dipaparkan pada setiap skrin peranti bersama ikon ceria.
  • Flexible Windows – Melancarkan dua aplikasi serentak pada skrin atau mengapungkan lebih daripada satu aplikasi di skrin menggunakan multi-tingkap, termasuk YouTube.
  • Always On Display –

Meskipun secara umumnya nampak menarik tetapi saya sedari ada juga masalah yang berlaku. Antaranya notifikasi untuk mesej sebahagian besar aplikasi termasuklah WhatsApp dan Instagram didapati kerap kali gagal muncul. Lebih mengeruhkan keadaan apabila ia langsung tidak dapat dikesan sehinggalah saya membuka aplikasi barulah mesej diterima seperti biasa.

Masalah yang berlaku sering mengakibatkan saya kadang kala terlepas beberapa mesej penting daripada kenalan. Pernah juga berlaku suatu keadaan di mana notifikasi pop-up secara tiba-tiba sewaktu sedang bermain permua meskipun sudah dihalang menerusi tetapan.

Seperkara lagi, saya juga perasan berlakunya pembaziran ruang untuk beberapa bahagian. Pada awal penggunaan saya sebenarnya agak tertanya apakah fungsi untuk ruangan kosong pada bahagian atas panel pemberitahuan. Saya mengesyaki mungkin ia dijadikan sebagai ruang untuk pemberitahuan notifikasi atau sewaktu dengannya.

Tetapi silap dan sememangnya dibiarkan kosong, sementara itu tetapan yang lain pula boleh diakses di bahagian bawah. Tetapi terpulang kepada pendirian dan penerimaan masing-masing. Bagi sesetengah orang hal ini mungkin lebih memudahkan penggunaan sebelah tangan memandangkan Vivo X Flip mempunyai skrin yang panjang sewaktu dibentangkan.

Perkara yang sama turut berlaku pada aplikasi kamera dalam sokongan Flex Mode. Anda akan perasan terdapatnya ruang kosong di antara viewfinder kamera dan tetapan. Tetapi kewujudannya tidaklah sepenuhnya dikatakan buruk kerana dalam sesetengah keadaan ia boleh berfungsi sebagai pad sesentuh berserta anak panah disertakan sewaktu digunakan untuk membaca artikel atau menonton video dalam sokongan Flex Mode.


PENANDA ARAS – SNAPDRAGON 8+ GEN 1

Snapdragon 8+ Gen 1 bukanlah cip pemprosesan baharu tetapi masih cukup berkuasa untuk digunakan pada ketika ini. Ia juga cip yang sama digunakan pada peranti Galaxy Z Flip4 yang turut boleh menjadi pesaing kepada Dimensity 9000+ pada Find N2 Flip sebelum ini. Justeru saya telah meletakkan kedua-dua peranti berkenaan sebagai perbandingan dalam menjalankan beberapa ujian penanda aras. Berikut adalah hasilnya:

Geekbench 6

  • Vivo X Flip – 1666/3793
  • Oppo Find N2 Flip – 1028/3088
  • Samsung Galaxy Z Flip4 – 1301/3822

Antutu 3D

  • Vivo X Flip – 872,906
  • Oppo Find N2 Flip – 756,646
  • Samsung Galaxy Z Flip4 – 980,346

Wild Life Extreme

  • Vivo X Flip – 2,154
  • Oppo Find N2 Flip – 2617
  • Samsung Galaxy Z Flip4 – 2798

Prestasi dalam dunia nyata secara umumnya memuaskan. Tatalan cukup lancar dan aplikasi boleh dibuka dan ditukar diantara satu sama lain dengan pantas. Boleh dikatakan pengalaman yang baik ini juga disumbang oleh keupayaan skrin 120Hz yang responsif. Bermain permua juga terasa baik dalam kebanyakan tetapan. Dalam pada itu peralihan haba juga baik dengan peranti sekadar suam sahaja selepas beberapa sesi permainan.

Sebagai tambahan, saya juga berkongsi lanjut mengenai tetapan khusus permainan MLBB yang boleh dimainkan dengan grafik Ultra dan kadar bingkai High. Sementara itu PUBG pula menyediakan tetapan tertinggi sehingga grafik HDR dengan kadar bingkai Ultra. Ia juga boleh dimainkan dengan kadar bingkai mencapai Extreme tetapi dengan syarat grafik pula sekadar di tahap Smooth.


TELEFONI DAN GPS

Rangkaian 5G boleh dinikmati dengan baik di dalam ataupun luar rumah bergantung pada tempat. Panggilan telefon juga boleh dibuat dengan jelas namun kerap terputus-putus dalam sesetengah keadaan misalnya bangunan yang tinggi. Seterusnya sambungan kepada perkhidmatan selular serta WiFi juga amat memuaskan.

Prestasi GPS bagaimanapun sekadar sederhana dan tidak konsisten. Ini disebabkan oleh kegagalan GPS menjejak dan mengunci lokasi dalam sesetengah keadaan, selain turut mengambil masa yang panjang untuk membetulkan semula kedudukan sebenar kenderaan dijejak meskipun di tengah-tengah bandar.


TETAPAN KAMERA

Sistem kamera yang digunakan terdiri dengan sensor lebar dan ultra-lebar. Pilihan tangkapan gambar pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 4:3, 16:9 dan penuh. Kebolehan zum adalah sehingga 2X optikal dan 20X digital. Rakaman video maksimum pula boleh dirakam sehingga 4K/60FPS dengan tiga pilihan penstabilan terbina. Ianya terdiri dengan standard yang juga membenarkan rakaman dizum sehingga 10X. Diikuti pula dengan Ultra tanpa kebolehan dizum dan Horizon Leveling yang amat berguna untuk rakaman yang melibatkan gegaran melampau.

Antaramuka aplikasi kamera adalah serupa dengan peranti Vivo yang menyokong FunTouchOS menjadikannya mudah digunakan tanpa masalah. Cumanya ciri dan fungsi kamera terbina bergantung pada peranti itu sendiri yang terdiri dengan Sports, Night, Portrait, Photo, Video, 50MP, Pano, UltraHD Document, Slo-mo, Time-lapse, Long exposure, Astro, Pro, AR Stickers, Jovi Lens, Dual View, Live Photo dan AI Group Portrait. Rakaman video yang menarik juga boleh dirakam dengan mudah menerusi fungsi Micro Movie. Ia berfungsi seakan CapCut dengan penuras terbina yang setengah daripadanya perlu dimuat turun terlebih dahulu.

Seterusnya, ciri AI Potrait Framing yang membolehkan kamera mengesan subjek benar-benar berada dalam bingkai, lalu tangkapan akan dilakukan secara automatik. Kamera juga menyokong AI, HDR dan Zeiss terbina bagi membolehkan gambar diambil dengan imbangan cahaya baik. Pada masa sama kebolehan ini turut boleh dimatikan secara manual menerusi bar tetapan di bahagian atas.

Aplikasi kamera juga memboleh skrin luar digunakan sebagai viewfinder kamera swafoto dan saiznya yang besar telah memudahkan penggunaan. Tambahan fungsi seakan magnifier atau cermin pembesar juga boleh ditemui dengan menekan butang khusus bagi tujuan tangkapan lebih terperinci.

Secara umumnya kualiti gambar yang diambil menggunakan kamera utama dilihat cukup memuaskan dalam kebanyakan situasi khususnya dalam pencahayaan yang cukup. Penghasilan semula imej nampak tajam dan terang, seterusnya warna juga hidup tanpa isu yang dedahan berlebihan. Perincian pada imej juga berjaya dijaga dengan baik bersama masalah hingar yang minimum meskipun dipotong pada mana-mana bahagian.

Sama ada menggunakan Zeiss Mode atau sebaliknya, boleh dikatakan tiada perbezaan ketara yang berlaku dari segi prestasi. Kualiti gambar memberikan hasil memuaskan dengan butiran yang terjaga. Masih tajam dan terang, cuma warna pada imej menjadi lebih tepu berbanding biasa.

Hasil gambar ultra-lebar juga memuaskan tanpa perbezaan warna yang berlaku dengan ketara. Sekali lagi saya ulang, perbezaan itu ada tetapi tidak ketara melainkan diteliti dengan baik, di mana hasil imej nampak sedikit kebiru-biruan berbanding sensor lebat yang menampakkan kekuningan.

Kebolehan zum gambar di antara 1X dan 2X boleh sahaja diambil dengan mudah menerusi ikon disediakan. Gambar yang senonoh bagaimanapun hanyalah sehingga 5X zum, kemudian tangkapan melebihi 10X zum mula menampakkan hasil yang kabur dan pecah.

Seterusnya sedikit reaksi kurang senang untuk ciri AI Framing terbina pada peranti yang pada pandangan peribadi saya bukanlah sesuatu yang memudahkan tetapi sebaliknya. Fungsi utamanya adalah mengesan dam memastikan subjek berapa dalam bingkai yang betul kemudian membuat tangkapan secara automatik.

Walaupun ini kedengaran menarik dan memudahkan, namun realitinya tidak kerana membuatkan anda tidak bersedia dan gambar akhir kurang memuaskan. Tetapi seperti biasa berbalik pada penggunaan masing-masing kerana yang menulis ini ada pendapat, yang membacanya juga ada pendapat.

Peranti juga secara bijak boleh mengesan suasana malam seterusnya memberi cadangan untuk mengaktifkan Night Mode terbina. Bagaimanapun hasil yang memuaskan dan semula jadi hanya boleh dilihat menerusi tangkapan kamera standard. Sementara itu gambar yang diambil menggunakan Night Mode kurang tepat sehingga menghasilkan gambar yang menipu mata.

Seterusnya peranti juga mempunyai keupayaan portrait yang juga menarik dengan pelbagai penuras terbina menerusi sokongan kamera Zeiss. Namun hasilnya dilihat tidak konsisten yang menampakkan kegagalan peranti membezakan subjek dan latar belakang dengan ketara – baik digunakan dalam pencahayaan rendah mahupun terang.


KETAHANAN BATERI

Bateri sebesar 4,400mAh adalah lebih besar berbanding 4,300mAh pada Find N2 Flip dan 3,700mAh pada Galaxy Z Flip4. Secara purata peranti mampu bertahan melebihi sehari pada penggunaan biasa bersama skrin 120Hz yang diaktifkan sepanjang masa. Ia juga boleh bertahan sehingga 12 jam lamanya untuk penggunaan yang sederhana, kemudian menjunam diantara 9 hingga 6 jam apabila digunakan dengan lebih kerap dengan skrin 120Hz.

Untuk pengecasan semula, peranti menyokong sistem pengecasan pantas 44W tanpa kebolehan mengecas secara nirwayar dan kepala pengecas disediakan sekali di dalam kotak bersama kabel USB-C berwarna putih.


PESAING

Vivo X FlipOppo Find N2 FlipSamsung Galaxy Z Flip4
Dalam – 6.74″ AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+

Luar – 3″ AMOLED
Dalam – 6.8″ AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+

Luar – 3.26″ AMOLED
Dalam – 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+

Luar – 1.9″ Super AMOLED
Snapdragon 8 +Gen 1
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Dimensity 9000+ (4nm)
1 X 3.2 GHz Cortex X2
3 X 2.85 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8 +Gen 1
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Adreno 740Mali-G710 MC10Adreno 740
12GB LPDDR58GB LPDDR58GB LPDRR5
256 UFS 3.1256 UFS 3.1256/512/1000 GB UFS 3.1
Kamera Utama
50MP, f/1.8, OIS, Zeiss (Lebar)
12MP, f/2.2 (Ultra-lebar)
4K 60p
Kamera Utama
50MP f/1.8, (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
4K 60p
Kamera Utama
12MP, f/1.8 (utama), OIS
12MP f/2.2 (sudut ultra-lebar)
4K 60p
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.4
Kamera Hadapan
10-Megapixel f/2.4
Tidak kalis airTidak kalis airIPX8
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio MonoAudio StereoAudio Stereo
4400 mAh (Berwayar 44W)4300 mAh (Berwayar 44W)3700 mAh (Berwayar 25W)
Bermula RMB5,999 (~RM3,869)RM 3999 (8/256GB)Bermula RM4099 (8/128 GB)

APA DI DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di China.

  • 1x Vivo X Flip.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas 44W.
  • 1x Manual Pengguna.
  • 1x Kerangka Silikon.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Siapa sangka cubaan pertama membuahkan hasil yang tidak terduga. Vivo X Flip adalah peranti yang jelas mengagumkan dengan banyak perkara yang menarik meskipun masih belum benar-benar sempurna. Ia mendapat sentuhan gaya lebih premium yang mampu menambat hati bukan sahaja wanita, malahan lelaki. Sokongan skrin yang baik, pemprosesan masih berkuasa, memori mencukupi, bateri tahan lama dan kemampuan kamera di tahap memuaskan juga telah menambah kehebatan peranti ini.

Namun kesemua ini tidak bermakna peranti langsung tidak mempunyai kelemahan. Sekiranya Vivo memberikan sistem audio stereo rasanya lebih baik untuk pengalaman lebih imersif. Kemudian tiadanya sebarang penarafan kalis air pada peranti juga memerlukan pengguna sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan kerosakan yang tidak diingini. Bukan itu sahaja, isu perisian tidak konsisten juga diharapkan mampu diperbaiki menerusi kemas kini seterusnya.


PRO

  • Skrin 120Hz HDR10+.
  • Skrin luar besar untuk pelbagai kegunaan.
  • Prestasi lancar dan memuaskan.
  • Kamera utama OIS dan Zeiss.
  • Bateri tahan lama.

KONTRA

  • Tiada sebarang piawaian kalis air.
  • Pengimbas cap jari yang tidak konsisten.
  • Perisian tidak konsisten.
  • GPS gagal mengunci lokasi dengan baik.
Komen