Carian
Siri Motorola Razr 40 Ultra Mungkin Dilancarkan Di Malaysia
June 16, 2023 Effi Saharudin

Motorola Razr 40 Ultra dan Razr 40 baru sahaja dilancarkan beberapa minggu lalu dengan ia menerima pujian di kalangan pengguna awal. Seperti biasa di Malaysia ketersediaan peranti terkini Motorola adalah amat bergantung kepada keputusan Lenovo. Semasa majlis pelancaran beberapa komputer riba Lenovo pagi ini, kami berjaya mendapatkan kepastian mengenai sama ada Razr 40 Ultra atau Razr 40 akan ke Malaysia.

Varinderjit Singh, pengurus besar Lenovo Malaysia mengesahkan syarikat masih sedang mempertimbangkan kemasukan telefon skrin boleh lipat ini ke pasaran tempatan. Beliau menerangkan tidak seperti pasaran komputer riba yang didominasi Lenovo, pasaran telefon pintar adalah lebih mencabar kerana mereka bukan antara pengeluar dengan pasaran terbesar.

Tiada kata putus buat masa ini tetapi dengan Lenovo terbuka kepada idea memasarkannya di Malaysia ia sekurang-kurangnya memberikan harapan kepada mereka yang mungkin ingin peranti skrin boleh-lipat kompak yang bukan keluaran Samsung, Oppo atau Huawei.

Komen