Selama bekerja di Amanz, menguji produk audio telah menjadi kebiasaan. Baru-baru ini saya mencuba pula Jabra Evolve2 65 Flex iaitu set fon kepala yang ditujukan kepada pengguna perusahaan yang bekerja secara hibrid yang banyak melibatkan panggilan telefon dan juga sesi telesidang.
Harga jualan Evolve2 65 Flex ini adalah RM1850 yang tinggi untuk sepasang fon kepala yang dibina dengan plastik dan tanpa sokongan audio resolusi tinggi seperti LDAC . Selepas menggunakan set fon kepada ini untuk sebulan barulah saya faham kenapa harganya mahal. Dalam artikel ulasan ini akan saya jelaskan sebab apa dan kenapa ia berbaloi untuk mereka yang bekerja secara hibrid.
SPESIFIKASI
Jabra Evolve2 65 Flex | |
---|---|
Jenis | Set fon kepala nirwayar Cawan telinga Jabra Air Comfort |
Pemacu Audio | 28mm HearThrough, Hybrid ANC PeakStop, Jabra SafeTone EU Noise at Work, G61 |
Mikrofon | 2 Analog MEMS / 4 Digital MEMS |
Ciri Bekerja | 360° Busylight Diiktiraf Teams, Zoom, Meet |
Bateri | Ketahanan mencapai 32 jam |
Tambatan | Bluetooth 5.2 Google Fast Pair |
Codec | AAC |
Pengecasan | USB-C Pengecasan nirwayar |
Sokongan aplikasi | Jabra Sound+ (Android, iOS) Jabra Direct (Windows/macOS) |
Kawalan | Butang fizikal |
Kemampuan kalis air | Tiada |
Harga Jualan | RM1850 |
Jabra Evolve2 65 Flex mempunyai spesifikasi yang biasa sahaja untuk set fon kepala. Pemacu audio yang digunakan adalah 28mm yang agak kecil berbanding set fon kepala lain dalam pasaran, menyokong mod tembus bunyi HearThrough ikonik mereka, pembatalan hingar hibrid dan turut diiktiraf dengan piawaian perlindungan dari bunyi bising.
Set fon kepala ini turut telah diiktiraf untuk digunakan dengan aplikasi Zoom, Microsoft Teams, Google Meet, Alcatel-Lucent, Avaya, Cisco dan banyak lagi. Ciri unik yang ditawarkan termasuk lampu LED merah sebagai indikator pengguna sedang sibuk dan tidak ingin diganggu.
Kekuatan Evolve2 65 Flex adalah mikrofon 2x analog MEMS dan 4x digital MEMS bagi menjamin kualiti audio terbaik dan jelas sepanjang penggunaan. Mikrofon pula jenis batang yang boleh diturunkan untuk digunakan dan dinaikkan untuk dibisukan. Sambungan turut fleksibel dengan pilihan secara Google Fast Pair pada peranti Android/ChromeOS, USB-A, USB-C dan juga Bluetooth.
REKAAN DAN PENGGUNAAN
Disebabkan Evolve2 65 Flex adalah set fon kepala untuk perusahaan rekaan yang digunakan adalah klasik. Tiada apa-apa yang unik seperti pada aksesori audio untuk pengguna umum. Binaan adalah daripada plastik, cukup fleksibel, rasa kukuh dan sangat ringan. Saiz juga mudah dilaras dan secara keseluruhan ia sesuai untuk semua orang.
Cawan kepala adalah jenis boleh berputar dan set fon kepala itu sendiri boleh dilipat untuk mudah disimpan. Ia turut menggunakan teknologi Jabra Air Comfort yang menjamin keselesaan berpanjangan tanpa rasa penat, lemas, atau berpeluh. Cekak kepala juga cukup lembut dan sangat selesa apabila dipakai.
Paling penting adalah rambut tidak rosak walaupun selepas berjam menggunakannya. Ini berbeza dengan pengalaman saya dengan set fon kepala Razer Barracuda Pro, Apple AirPods Max atau Sony WH-1000XM5 yang selepas dua jam pasti saya ingin tanggalkan dari kepala.
Di sebelah cawan telinga kanan terdapat empat butang fizikal untuk menyeru pembantu maya, melaras kekuatan audio, butang jeda/main media dan pada permukaan pula adalah untuk pengecasan nirwayar. Di cawan telinga kiri pula terdapat satu butang untuk menukar antara mod ANC dan mod tembus bunyi, port USB-C, butang kuasa merangkap butang Bluetooth dan pada permukaan terdapat butang Microsoft Teams yang apabila ditekan lampu LED akan berubah ke warna ungu.
KUALITI AUDIO
Evolve2 65 Flex adalah set fon kepala untuk bekerja dan bukannya untuk bersuka ria. Jadi apabila digunakan untuk Netflix, YouTube, Apple Music atau Spotify akan memberikan pengalaman yang tidak begitu memuaskan. Ini tidak bermakna ia tidak enak. Misalnya pada bass ia masih mempunyai dentuman yang baik, cukup kuat untuk pemacu audio 28mm tetapi agak terkawal. Ia turut berguna untuk nofitikasi kerana set fon kepala ini mengeluarkan bunyi dentuman yang kuat yang pasti tidak akan lalai ketika bekerja.
Untuk vokal sudah semestinya Evolve2 65 Flex antara yang terbaik. Setiap suara tidak kira lelaki atau wanita sangat jelas didengari dan cukup lantang. Saya terkejut apabila menggunakannya bersama Zoom, Teams dan Meet kerana tidak pernah menguji set fon kepala dengan kemampuan vokal seperti ini. Untuk highs atau nada tinggi ia sangat membantu menjadikan vokal tadi kedengaran lebih jelas. Ia memfokuskan kepada nada seru bagi memastikan setiap perbualan itu lancar dan tiada gangguan.
APLIKASI DAN KAWALAN
Kawalan utama adalah dengan butang fizikal terbina yang mana sangat sedap ditekan dan cukup responsif. Pada hemat saya untuk penggunaan ketika bekerja butang fizikal adalah kaedah paling efisien. Lagi-lagi setiap butang timbul, boleh dirasa dengan jari dan boleh ditekan dengan pantas. Sementara kawalan jenis sentuhan atau picitan kadangkala mengambil masa untuk membiasakan diri dan boleh kerap tersalah tekan.
Set fon kepala ini turut boleh dikawal dan ditetapkan dengan dua aplikasi berbeza iaitu Jabra Direct pada Windows/macOS atau Jabra Sound+ pada Android/iOS. Sound+ adalah aplikasi yang biasa digunakan untuk semua aksesori audio Jabra seperti yang pernah saya uji pada Jabra Elite 7 Pro. Sementara Direct pula sama dengan aplikasi mengawal aksesori bekerja hibrid mereka seperti Jabra PanaCast 20.
Pilihan kawalan dan tetapan tidak banyak berbanding dengan aksesori audio mereka yang biasa. Misalnya butang-butang tidak boleh diubah dan aplikasi memberikan banyak panduan untuk penggunaan bersama perkhidmatan telesidang.
BATERI
Ketahanan bateri pada Evolve2 65 Flex adalah cukup baik. Dakwaan bertahan mencapai 30 jam itu benar sepanjang tempoh ulasan. Cuma apa yang mengecewakan adalah pada masa pengecasan yang memakan masa mencapai dua jam walaupun secara berwayar. Akan tetapi selepas 30 minit pengecasan peratusan bateri boleh mencapai sehingga 45% yang cukup untuk penggunaan seharian.
Menjadikan set fon kepala ini unik adalah ia mempunyai ciri pengecasan nirwayar seperti kebanyakan TWS di pasaran. Setiap pembelian turut didatangkan dengan pad pengecas nirwayar untuk mudah dicas selepas bekerja.
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Sepasang Jabra Evolve2 65 Flex.
- 1x Kantung fabrik.
- 1x Dongel USB-A.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pad pengecasan nirwayar.
- 1x Manual.
KESIMPULAN
Menurut Jabra set fon kepala mereka ini adalah untuk pengguna perusahaan yang bekerja secara hibrid. Selepas menggunakannya untuk sebulan saya masih tidak faham kenapa ia spesifik untuk mereka yang bekerja hibrid? Benar ia selesa untuk penggunaan jangka masa panjang, mikrofon berkualiti, mesra pelbagai perkhidmatan telesidang serta mudah di bawa ke mana sahaja dengan binaan ringan dan fleksibel.
Harga yang terlampau mahal ini pada hemat saya lebih baik dibelanjakan pada set fon kepala seperti Sony WH-1000XM4 yang masih dijual, boleh dilipat dan telah terbukti berkualiti. Bukankah jika untuk bekerja secara hibrid produk itu sepatutnya fleksibel untuk bekerja dan juga hiburan di masa lapang?
Saya tidak boleh mencadangkan set fon kepala ini kepada orang ramai. Tetapi jika ia diberikan oleh syarikat saya tidak ada masalah untuk menggunakannya cuma saya tidak akan beli sendiri.
Pro
- Binaan yang ringan dan kukuh.
- Cawan telinga Jabra Air Comfort yang sangat selesa.
- Mikrofon yang sangat berkualiti.
- Bateri tahan lama dengan pengecasan nirwayar.
- Diiktiraf dengan banyak perkhidmatan telesidang.
Kontra
- Masa pengecasan yang lama.
- Terhad untuk bekerja dan bukan untuk bersuka ria.
- Harga yang sangat mahal.