Carian
Pandang Pertama Xiaomi 13 Ultra – Adakah Ini Peranti Paling Sempurna 2023?
June 22, 2023 Fahim Zahar

Xiaomi 13 Ultra telah pun dilancarkan di Malaysia semalam dengan tanda harga RM5199. Ini adalah harga jualan yang sama dengan Xiaomi 13 Pro. Selepas menggunakan peranti ini untuk sekitar 24 jam saya berani katakan sekali lagi Xiaomi telah hadir dengan telefon pintar yang hampir sempurna. Persoalannya patutkah anda membeli 13 Ultra atau 13 Pro sahaja sudah memadai?


SPESIFIKASI

Xiaomi 13 Ultra
Skrin6.73-inci AMOLED LTPO, 3200×1440,
120Hz, HDR10+, Dolby Vision, 2600 nits
PemprosesSnapdragon 8 Gen 2 (4nm)
Cip1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM12 GB LPDDR5X
7 GB Memori Maya
Muatan Dalaman512 GB UFS 4.0
Kamera Utama50 MP (Sudut Lebar), f/1.9-f/4.0 (apertur boleh-ubah),
HyperOIS
50 MP (Ultra Sudut lebar), f/1.8, makro 5sm,
50 MP (Telefoto), f/1.8, OIS, 3.2x zum optikal
50 MP (Super Telefoto), f/3.0, OIS, 5x zum optikal

Leica Authentic Look, Leica Vibrant Look
Dolby Vision, 4K 60fps, 8K 24fps, 10-bit LOG
Lensa LEICA VARIO-SUMMICRON
Kamera Depan32 MP, f/2.0, EIS, HDR
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 90W
Pengecacan nirwayar 50W
Pengecasan nirwayar berbalik 10W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanCap jari bawah skrin
Harga JualanRM5199 (12/512 GB)

SKRIN

Xiaomi 13 Ultra menggunakan skrin 6.73″ AMOLED LTPO dengan kadar segar semula 120Hz adaptif. Resolusi adalah WQHD+ yang cukup cantik, jelas dan mempunyai warna yang menyerlah. Skrin turut boleh memaparkan kandungan Dolby Vision dan kegemaran saya adalah tahap kecerahan yang boleh mencapai sehingga 2600 nits dengan mod Sunlight.

Skrin adalah dari jenis melengkung pada bahagian sisi dengan saiz bezelnya pula sekata pada keempat-empat sudut. Setiap sentuhan dapat dikesan dengan jitu dan apabila tatalan yang pantas dilakukan animasi nampak jelas. Tiada isu animasi kelihatan tersekat-sekat ataupun isu ghosting yang berlaku pada skrin 120Hz yang lebih murah.

Skrin hebat pada peranti ini bukan sahaja sesuai digunakan untuk menikmati kandungan seperti menstrim video tetapi juga untuk permua yang memerlukan kadar bingkai tinggi. Sepanjang lima tahun bekerja di Amanz, 13 Ultra pada mata saya adalah skrin kedua terbaik pernah saya gunakan selepas Sony Xperia 1 IV yang menyokong resolusi 4K.

REKAAN

Jika anda mengikuti perkembangan kamera Leica, 13 Ultra menggunakan rekaan yang lebih kurang sama dengan kamera-kamera mereka iaitu bonggol kamera gergasi yang mimik lensa serta panel belakang dengan kulit palsu seperti tubuh Leica M11 Monochrom. Bukan itu sahaja, kerangka pelindung yang diberikan dalam kotak turut mempunyai tekstur seakan Leica Q3 yang memberi cengkaman tambahan. Kemasan seakan kulit ini sama seperti yang juga digunakan pada Vivo X Fold2 dan Oppo Find N2 yang telah diulas di laman ini.

Di panel belakang Xiaomi turut menggunakan rekaan yang sedikit beralun dari bawah peranti ke bahagian atas. Xiaomi menyatakan 13 Ultra menggunakan rekaan tiga-lapis yang unik iaitu lapisan pertama bingkai aluminium 4.4x lebih tahan lasak berbanding model lalu, kedua panel kulit palsu dan ketiga bonggol kamera gergasi. Selain itu peranti ini turut melepasi piawaian kalis air serta debu IP68.

Di atas peranti terdapat dua lubang mikrofon, pemancar infra merah untuk menjadikan peranti sebagai alat kawalan jauh dan kekisi speaker. Di bawah pula terdapat satu lagi lubang mikrofon, slot kad SIM, port USB-C dan kekisi speaker kedua untuk sokongan stereo Dolby Atmos. Di belakang peranti bonggol kamera gergasi ini memuatkan empat sensor, dua lampu LED flash berasingan dan satu lagi lubang mikrofon.

Sisi kiri peranti tiada apa-apa, tetapi di sisi kanan ada butang laras audio dan butang kuasa. Skrin hadapan pula menggunakan rekaan melengkung 3D dengan lubang di tengah atas untuk kamera swafoto.

Secara keseluruhan Xiaomi 13 Ultra adalah sebuah peranti yang nampak cantik kerana rekaan yang mempunyai identiti tersendiri membezakan diri dengan peranti pesaing. 13 Ultra juga adalah lebih ringan berbanding iPhone 13 Pro. Walaupun begitu peranti ini masih terasa premium dan mewah. Pada masa yang sama peranti yang tebal ini turut mudah dikendalikan.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Xiaomi 13 Ultra masih lagi menjalankan MIUI 14 berasaskan Android 13 yang sama dengan Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro. Maka saya akan memfokuskan pengalaman penggunaan peranti kepada prestasi dan kamera sahaja dalam artikel pandang pertama ini. Pada masa yang sama saya akan kongsi mengenai satu ciri yang membuatkan saya jatuh cinta kepada 13 Ultra.

Pada perisian pula seperti yang saya katakan tadi MIUI 14 pada Xiaomi 13 Ultra memberi pengalaman penggunaan yang lebih kurang sama dengan peranti mercu Xiaomi lain. Walaupun begitu masih ada beberapa ciri dan fungsi yang menarik seperti;

  • Pengimbas cap jari bawah skrin yang boleh mengimbas nadi.
  • Memory Extension menamabah memori secara maya sehingga 7GB menjadikan jumlah RAM keseluruhan mencecah 19GB.
  • Papan pemuka sekuriti privasi tersendiri yang berbeza dengan versi Android stok.
  • Immersive sound audio stereo yang lebih luas mimik ciri audio spatial tanpa menggunakan aksesori audio.
  • Detect gaze yang memastikan skrin peranti tidak dikunci apabila kamera swafoto mengesan mata pengguna sedang melihat.
  • App vault yang kini menjadi aplikasi berasingan sebagai alternatif kepada laman Google Discover di skrin utama.

KAMERA

Kamera utama peranti ini menggunakan sensor 1″ 50MP IMX989 Leica yang dibina bersama-sama Xiaomi dan Sony. Ia menyokong apertur boleh-ubah dari f/1.9 ke f/4.0 untuk menangkap gambar dengan kesan bokeh berbeza. Satu untuk mod potret semula jadi dan satu lagi dengan kesan bokeh di belakang yang masih menampakkan butiran dan warna yang cantik.

Sokongan HyperOIS turut dikekalkan bagi memastikan gambar kekal fokus, tidak bergegar serta membantu mengambil gambar yang tajam di waktu malam. Di bawah adalah sampel gambar dengan dua apertur berbeza;

Apertur f/1.9
Apertur f/4.0
Mod malam auto

Seterusnya adalah kemampuan zum. Di makmal Amanz kamera zum terbaik setakat ini masih dipegang oleh Samsung kerana algoritma Space Zoom yang telah dilatih sejak Galaxy S20 Ultra lagi. 13 Ultra cuba menawarkan ciri lebih kurang sama dengan zum digital mencapai 120x.

Untuk menjayakannya dua sensor 50MP IMX858 digunakan. Satu adalah f/1.8, OIS yang menyokong zum optikal 3.2x dan satu lagi f/3.0, OIS dengan zum optikal 5x. Untuk sebuah peranti keluaran Xiaomi, 13 Ultra adalah yang terbaik setakat ini untuk kemampaun zum jarak jauh. Dalam aplikasi kamera turut ada ciri seakan Samsung di mana zum sehingga 120x akan tingkap viewfinder kecil yang boleh mengunci fokus agar gambar yang diambil tidak bergegar.

Telefoto 3.2x zum optikal
Periskop telefoto 5.0x zum optikal
Zum digital 120x

Kamera terakhir di belakang turut menggunakan sensor 50MP yang sama dipadankan kepada lensa sudut ultra-lebar dan juga makro 5sm namun Ia tidak dilengkapi OIS . Mod ini turut masih memelihara butiran yang baik dan mempunyai profil warna lebih kurang sama dengan sensor-sensor lain. Peralihan antara setiap sensor juga lancar menjadikan pengalaman penggunaan kamera tidak rasa janggal.

Sudut ultra-lebar 0.6x
Makro 5sm

Kamera swafoto 32MP adalah lebih kurang sama dengan apa yang telah saya uji pada Xiaomi 13 dan Effi pada Xiaomi 13 Pro. Profil warna Leica Authentic dan Leica Vibrant turut boleh dipilih sebelum ambil mana-mana gambar mengikut citarasa masing-masing. Begitu juga dengan mod potret Master Lens yang mimik lensa kamera Leica berbeza seperti 35mm, 50mm, 90mm dan 75mm yang masih dikekalkan seperti sebelum ini. Saya akan uji lebih lagi mod ini dalam ulasan untuk melihat ada atau tidak perbezaan dengan 13 dan 13 Pro.

Xiaomi 13 Ultra turut menyokong rakaman video 8K 24fps, 4K Dolby Vision, rakaman format 10-bit LOG dan boleh menyambungkan peranti ke empat kamera dan empat monitor untuk tujuan pemantauan oleh pengguna profesional secara nirwayar.

Master Lens 35mm & 50mm

BATERI DAN PENGECASAN

Ciri baharu kegemaran saya yang tiada pada peranti Xiaomi lain adalah mod Hibernasi. Saya tidak jumpa tetapan ciri ini jadi saya menjangkakan ia berfungsi secara automatik. Mod ini membenarkan peranti digunakan selama satu jam lagi walaupun bateri tinggal 1%. Ini amat membantu apabila tiada powerbank atau akses kepada pengecas dalam situasi kecemasan.

Bateri yang disertakan ialah sebesar 5000 mAh yang kini seakan menjadi standard pada peranti mercu Android 2023. Peranti ini menyokong pengecasan pantas 90W secara berwayar yang boleh mengecas peranti sehingga penuh dalam masa 34 minit. Selain turut menyokong pengecasan nirwayar pantas 50W dan turut boleh mengecas aksesori seperti TWS melalui pengecasan nirwayar berbalik 10W.

PRESTASI DAN PENANDA ARAS

Prestasi peranti cukup pantas dan lancar. Cip Snapdragon 8 Gen 2 belum pernah mengecewakan saya lagi setakat ini baik digunakan untuk kerja ataupun hiburan. Saya sekadar sempat menguji 13 Ultra dengan permua Marvel SNAP sahaja dan belum lagi mencuba permua grafik tinggi seperti PUBG Mobile atau COD Mobile. Saya yakin 13 Ultra tiada masalah untuk gaming kerana memori yang besar dan mempunyai sistem penyejukan cecair Loop LiquidCool.

Peranti walau bagaimanapun masih menjadi terlalu panas selepas sesi Marvel SNAP yang agak lama. Ia hanya sedikit memanas apabila menggunakan aplikasi kamera untuk mengambil gambaer selama beberapa minit. Bonggol kamera gergasi pula menghalang saya menggunakan sistem kipas penyejuk seperti yang ditawarkan oleh Black Shark di Malaysia.

Untuk ujian penanda aras Xiaomi 13 Ultra mencatatkan skor yang sudah boleh dijangka untuk sebuah peranti mercu dengan memori 12GB RAM LPDDR5X + 7GB memori maya dan storan dalaman 512GB UFS 4.0. Saya melakukan ujian penanda aras dengan Geekbench 6 dan AnTuTu 3D sahaja kerana peranti MIUI tidak menyokong 3DMark.

Geekbench 6

  • Xiaomi 13 Ultra – 2015/5457
  • Honor Magic5 Pro – 1925/4852
  • Xiaomi 13 Pro – 1868/5272
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1922/5017
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317

AnTuTu 3D

  • Xiaomi 13 Ultra – 1,527,588
  • Honor Magic5 Pro – 1,090,731
  • Xiaomi 13 Pro – 1,252,296
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1,171,384
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

Geekbench 6 adalah yang paling tinggi setakat ini untuk peranti Android dan menghampiri skor iPhone 14 Pro Max. Begitu juga dengan AnTuTu 3D yang mencatatkan skor tertinggi bagi peranti yang dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 2.

APA ADA DALAM KOTAK?

Berikut adalah senarai apa yang ada dalam kotak dengan setiap pembelian Xiaomi 13 Ultra;

  • 1x Xiaomi 13 Ultra.
  • 1x Kerangka pelindung plastik keras.
  • 1x Pengecas 90W.
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Set buku panduan dan keselamatan.

KESIMPULAN

Selepas menggunakan peranti ini untuk satu hari saya boleh katakan ini adalah peranti mercu kegemaran saya setakat ini. Skrin yang sangat cantik, terang, tiada masalah untuk digunakan di bawah cahaya matahari yang terik dan terasa cukup pantas. Kemudian prestasi yang memuaskan dengan saiz bateri yang besar disokong pengecasan ultra pantas. Kamera pula mempunyai kualiti yang layak menggunakan penjenamaan Leica dalam penggunaan yang singkat setakat ini.

Walau bagaimanapun saya akan menguji peranti ini untuk tempoh satu minggu lagi untuk melihat adakah RM5199 berbaloi untuk diri saya atau juga untuk anda. Teruskan ikuti Amanz untuk ulasan penuh dan nantikan adakah peranti ini akan menjadi peranti harian saya?

Pro

  • Skrin yang cantik dan sangat terang.
  • Prestasi yang pantas, lancar dan memuaskan.
  • Kemampuan kamera yang menjadikan pengguna biasa sebagai jurukamera profesional.
  • Rekaan dan binaan peranti yang cantik dan premium.
  • Kapasiti bateri yang besar dengan sokongan pengecasan pantas.

Kontra

  • Profil warna lebih kurang sama dengan Xiaomi 13 yang lebih murah.
  • Harga yang agak mahal.
Komen