Selepas Motorola Razr 40 Ultra dilancarkan dan rekaan Samsung Galaxy Z Flip5 tertiris, rekaan Oppo Find N2 Flip kelihatan biasa sahaja kerana skrin luar yang kecil. Dukacita dimaklumkan rekaan ini mungkin akan kekal dengan N3 Flip.
Baru-baru ini 91Mobiles telah berkongsi rekaan yang didakwa adalah Oppo Find N3 Flip. Ia kelihatan masih sama dengan N2 Flip kecuali pada sistem tri-kamera di bahagian belakang. Butiran spesifikasi lain masih belum diketahui tetapi dikatakan majoriti mungkin kekal sama dengan model sedia ada.
Untuk kamera sumber melaporkan ia mungkin akan menggunakan konfigurasi mirip Oppo Reno 10 Pro yang menggabungkan sensor 50+32+8 MP.
Oppo Find N2 Flip hadir dengan skrin 6.8″ AMOLED FHD+ 120Hz, skrin luar 3.26″ AMOLED HD+, dijana Dimensity 9000+, memori dan storan 8/256 GB serta bateri 4300mAh. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai Find N3 Flip yang dijangka akan dilancarkan di China terlebih dahulu.