Google dilaporkan telah membatalkan pembangunan cermin mata pintar mereka awal tahun ini selepas melepaskan ribuan kakitangan dalam usaha mengurangkan kos menurut laporan Business Insider. Cermin mata pintar Google dipercayai mempunyai kemampuan realiti terimbuh (AR) mirip yang disokong oleh cermin mata Ray-Ban Stories dan adalah penambahbaikan kepada kaca mata AR dengan sokongan alih bahasa yang diperlihatkan tahun lalu.
Pembangunan perkakasan rekaan sendiri digantung tetapi Google kini menumpukan perhatian kepada pembangunan perisian Android “XR” untuk set kepala dan Android “micro XR” untuk kaca pintar. Google telahpun mengesahkan kerjasama dengan Samsung dan Qualcomm untuk membangunkan set kepala AR mereka awal tahun ini dengan maklumat lebih lanjut mengenainya akan dikongsi dalam masa beberapa bulan lagi.
Kerjasama ini dilihat sebagai jawapan kepada Apple yang melancarkan Vision Pro mereka baru-baru ini dengan ia akan dijual awal tahun depan. Masih tiada maklumat mengenai set kepala Google, Samsung dan Qualcomm pada waktu ini dengan ia berjaya dirahsiakan.