Nothing Phone (2) akan dilancarkan di peringkat global pada 11 Julai dan di Malaysia pada 14 Julai. Sebelum ini rekaan Nothing Phone (2) telah pun didedahkan dalam satu video memperlihatkan persamaan dengan Phone (1) kecuali pada saiz, panel belakang yang melengkung dan sistem Glyph baharu.
Phone (2) akan hadir dengan dua warna iaitu kelabu atau putih. Baru-baru ini spesifikasi skrin dan kamera yang didakwa adalah untuk peranti ini telah tertiris. Phone (2) akan hadir dengan skrin 6.7″ AMOLED FHD+ 1080 × 2412 keluaran Visionox dan menyokong kadar 120Hz tetapi tidak disahkan adakah panel LTPO atau menggunakan perisian.
Spesifikasi kamera dikatakan adalah 50MP Sony IMX890 yang sama dengan OnePlus 11 dan Nord 3 yang dipadankan dengan sensor 50MP Samsung JN1. Kamera swafoto pula adalah 32MP Sony IMX615. Nothing telah pun mengesahkan yang peranti ini akan dijana cip Snapdragon 8+ Gen 1, menjalankan Nothing OS 2 dengan sokongan kemas kini 3 generasi Android dan bateri 4700mAh.
Phone (2) turut dikhabarkan akan hadir dengan variasi 12GB RAM dan 256GB storan dalaman dengan harga jualan mencapai lebih RM3000. Sama-sama kita nantikan minggu hadapan untuk butiran rasmi dari Nothing sendiri.