Samsung sebelum ini mengharamkan kakitangan menggunakan ChatGPT kerana ingin mengelakkan ketirisan rahsia syarikat secara tidak sengata. Kemudian terdapat laporan yang Samsung ingin membangunkan sistem kecerdasan buatan sendiri seakan ChatGPT.
Terbaru aplikasi pelayar web Samsung Internet Browser dilihat sedang menguji integrasi ChatGPT. Buat masa ini masih tidak pasti apakah fungsi ChatGPT pada pelayar web ini. Menurut sumber ia besar kemungkinan adalah untuk meringkaskan kandungan di laman web yang dilawati.
Dalam temuramah ketua kandungan kami Effi bersama Dr. TM Roh selaku CEO Perniagaan Peranti Mudah Alih (MX) Samsung, beliau menyatakan yang secara peribadi percaya teknologi seperti ChatGPT akan menyumbang kepada perkembangan teknologi peranti mudah alih.
Jadi penawaran ChatGPT dalam aplikasi Samsung tersendiri mungkin akan berlaku dalam masa terdekat. Sama-sama kita nantikan.