Carian
iPhone 15 Pro Dilaporkan Menggunakan Rekaan “Mudah Dibaiki”
August 1, 2023 Fahim Zahar

Atas arahan Kesatuan Eropah, Apple terpaksa mengubah beberapa rekaan iPhone mereka. Pertama adalah mewajibkan penggunaan USB-C menjelang tahun 2024 dan akan datang pada tahun 2027 setiap telefon pintar wajib menawarkan kebolehan bateri boleh-ganti.

Laporan Mark Gurman baru-baru ini menyatakan yang iPhone 15 Pro akan menggunakan rekaan yang memudahkan peranti dibaiki. Ia adalah rekaan sama pada iPhone 14 dan iPhone 14 Plus yang mana menggunakan panel skrin dan kaca belakang boleh dibuka untuk mengakses komponen dalaman dengan mudah agar kerja-kerja pembaikan boleh dilakukan lebih pantas.

Rekaan ini tidak digunakan pada iPhone 14 Pro. Ini mungkin adalah langkah Apple untuk memastikan iPhone boleh dibaiki dengan sendiri di rumah melalui program Self Service Repair. Program ini menjual komponen dan menawarkan sewaan mesin-mesin untuk pengguna membaik-pulih peranti di rumah.

Jangan salah faham, “mudah baiki” di sini bukan bermakna pengguna kali pertama dengan mudahnya boleh membaiki dengan sendiri. Tetapi kaedah membaiki selepas ini tidak menjadi begitu rumit seperti model lain iaitu panel skrin sahaja yang boleh dibuka.

Komen