Qalbox adalah platform penstriman video memfokuskan kandungan muslim di bawah Bitsmedia iaitu syarikat di sebalik aplikasi Muslim Pro. Ia dilancarkan di Malaysia pada Disember tahun 2022 dengan harga langganan bulanan serendah RM12.90 sebulan.
Qalbox sebelum ini hanya boleh diakses di web atau melalui aplikasi Muslim Pro sahaja. Hari ini Qalbox mengumumkan yang platform penstriman video mereka ini kini boleh diakses menerusi Astro Ultra dan Ulti Box. Ini adalah sebahagian dari langkah Qalbox menjadikan Malaysia sebagai hab kandungan global memfokuskan muslim.

Sempena pengenalan akses Qalbox melalui Astro Ultra dan Ulti Box, 2 bulan langganan percuma khusus untuk pelanggan Astro disediakan, termasuk dengan langganan Muslim Pro. Selepas dua bulan pelanggan Astro boleh terus melanggan Qalbox pada harga RM12.90 sebulan atau RM3.32 sebulan jika membayar untuk pelan 12 bulan.
Dalam Qalbox terdapat pelbagai kandungan muslim ditawarkan. Antaranya adalah kandungan asli seperti siri dokumentari I Am Muslim, video pendidikan kanak-kanak Islam for Kids, tadarus Al-Quran tempatan, animasi 3D Bilal dan banyak lagi.

Bulan Jun lepas, Muslim Pro mencatatkan 12 juta jumlah muat-turun di Malaysia sahaja. Dengan kerjasama bersama Astro ini, mereka boleh mengukuhkan lagi idea menjadikan Malaysia sebagai hab kandungan global. Sebelum ini Qalbox telah pun bekerjasama dengan Maxis dan Viu, di samping turut telah menerima pembiayaan daripada Penjana Kapital dan juga Bintang Capital Partners pada suku keempat tahun 2022.