Cari @ Amanz

Adakah industri telefon pintar berhadapan dengan masalah pada tahun 2023? Beberapa laporan daripada Canalys dan Counterpoint sebelum ini menunjukkan pengeluaran telefon pintar turun sehingga 15% pada Q2 2023. Hari ini Qualcomm menerbitkan laporan kewangan mereka dan jelas mereka terjejas dengan penyusutan pengeluaran telefon pintar tahun ini.

Qualcomm CDMA Technologies (QCT) yang mengeluarkan cip untuk telefon pintar, automotif dan pelbagai peranti pintar mencatatkan penyusutan pendapatan 24% pada Q3 2023 berbanding Q3 2022. Pengeluaran cip untuk telefon pintar turun 25% sementara untuk peranti boleh pakai termasuk set kepala VR/AR mencatatkan penurunan 24%. Hanya pengeluaran cip untuk automotif meningkat 13%. Qualcomm Technology Licensing (QTL) yang melesenkan paten mereka juga mencatatkan penyusutan pendapatan 17%.

Syarikat mencatatkan pendapatan $8.44 bilion pada Q3 2023 dan ini adalah sedikit lebih rendah berbanding 8.5% yang dijangkakan oleh penganalisis. Walaupun berlaku penyusutan pendapatan, CEO Qualcomm Cristiano Amon percaya akan berlaku pemulihan kerana permintaan untuk cip AI dijangka meningkat.

Cip keluaran Qualcomm akan mempunyai kemampuan menjalankan AI Llama-2 oleh Meta bermula tahun depan. Dengan kemampuan ini, keperluan AI peranti mudah alih boleh diproses terus tanpa mengakses pengkomputeran awanan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd