Carian
Ulasan Virtual Desktop Untuk Pico 4 – Mimpi Kini Jadi Realiti
August 5, 2023 Effi Saharudin

Hampir tiga puluh tahun yang lalu kami menonton siri Beyond 2000. Dalam satu episod yang kami masih ingat sehingga hari ini ialah hos menunjukkan demo peranti realiti maya yang membolehkan pemakai pergi ke mana-mana sahaja di dunia. Antara ciri paling menarik ialah bilik maya yang dilengkapi skrin wayang gergasi. Dengan hanya set kepala, pengguna boleh merasakan seperti diri mereka di dalam wayang IMAX dan menonton filem kegemaran dalam wayang peribadi.

Semasa kami menonton episod ini, kami mengatakan bahawa ini semua mimpi dan sekadar konsep. Mana mungkin sebuah set kepala kecil dipakai dengan ia memberikan pengalaman berada di dunia maya. TV bersaiz 14″ di rumah sudah sebesar tiga kepala manusia dan seberat kanak-kanak berumur 8 tahun. Mustahil semua ini!

Tetapi tahun ini kami menyedari perkara mustahil tiga dekad yang lalu tidak lagi mustahil. Komputer kecil mudah alih dengan kuasa ribu kali lebih pantas berbanding komputer desktop kini berada dalam tangan hampir setiap manusia di bumi. Berita yang berlaku di benua Eropah akan tersebar ke seluruh dunia sekelip mata.

Maka apabila kami diminta mengulas perisian Virtual Desktop untuk set kepala Pico 4 kami teruja kerana adakah satu lagi perkara yang dianggap mustahil semasa kami masih kanak-kanak kini menjadi realiti?

APAKAH VIRTUAL DESKTOP?

Berdasarkan namanya ia aplikasi yang memberikan pengalaman desktop dalam dunia maya menerusi set kepala Pico VR. Perisian ini membolehkan pengguna menyelam ke dunia maya dan merasakan seperti diri mereka berada di beberapa lokasi menarik seperti panggung wayang gergasi, dan sebuah apartmen mewah dengan sistem audio visual yang canggih.

Menerusi perisian ini, skrin sebuah komputer Windows 10, Windows 11 dan macOS Mojave boleh dipaparkan dalam skrin maya. Bagi mereka yang tidak mampu mempunyai kelengkapan canggih TV 140″ seperti Samsung The Wall, komputer gaming dengan skrin 40″ atau wayang IMAX untuk menonton filem di rumah, Virtual Desktop membolehkan semua ini dinikmati pada harga jauh lebih murah.

Menu memilih 14 bilik maya dalam Virtual Desktop

Perisian menawarkan 14 bilik maya dalam bentuk apartmen mewah, panggung wayang gergasi, ruang angkasa lepas, bilik hiburan kecil dan bilik gaming. Terdapat varian untuk waktu malam dan siang untuk beberapa bilik maya ini. Dalam sesetengah bilik juga pengguna boleh memilih tempat duduk berlainan. Dalam gambar di atas yang adalah ruang maya apartmen mewah, kami boleh memilih untuk duduk di tiga tempat berbeza.

Bertukar tempat duduk

Menariknya pada bilik di atas ialah terdapat dunia monitor. Virtual Desktop menyokong sambungan kepada empat komputer serentak. Jika komputer disambungkan kepada dua monitor, perisian membenarkan pengguna memilih untuk memaparkan skrin pertama atau kedua.

PENGGUNAAN

Untuk menggunakannya pertama sekali anda perlu mempunyai Pico VR dan sebuah komputer peribadi sama ada Windows ataupun Mac. Proses menggunakannya buat pertama kali adalah amat mudah. Hanya perlu pasang aplikasi Virtual Desktop di Pico VR dan perisian yang sama pada komputer yang ingin digunakan dalam dunia maya.

Menu butang-butang kawalan

Selepas mendaftarkan akaun, hanya perlu masukkan nama akaun Pico VR ke dalam perisian komputer dan ia kini bersedia untuk digunakan. Pada waktu yang sama perisian ini juga nampaknya menyokong set kepala Meta Oculus.

Skrin tetapan penstriman daripada PC/Mac.

Untuk mula menggunakan skrin PC/Mac dalam Virtual Desktop, pergi ke menu perisian dan pilh Desktop. Anda boleh mengubah tahap kadar bingkai, dan kadar bit pentriman dari komputer ke Pico VR menerusi tetapan aplikasi. Dalam penggunaan kami selama sekitar dua minggu, kami mendapati untuk menonton video atau menggunakan aplikasi media, tetapan lalai (default) 75 FPS adalah memadai.

Kadar bit yang lebih tinggi dan 90 FPS hanya diperlukan apabila anda ingin menaip di dalam dunia maya. Sekitar 30% artikel ini ditulis di dalam dunia Virtual Desktop. Mengapa bukan 100% ? Kerana isu pertama ialah sukar menaip menggunakan papan kekunci fizikal dalam dunia maya. Ini tidak dibantu oleh sela masa yang agak kronik mungkin sekitar 0.25 saat apabila menaip.

Menulis ulasan dalam Virtual Desktop adalah hampir mustahil

Perasaan menaip dalam Virtual Desktop adalah hampir mustahil kerana sela masa yang agak lama ini. Satu-satunya cara untuk menaip tanpa sela masa ialah menggunakan papan kekunci maya Pico VR. Tetapi in memerlukan setiap kekunci ditekan menggunakan dua alat kawalan. Terasa seperti menaip dengan satu jari maka selepas 30% kami terus mengibarkan bendera putih.

Memainkan permainan video dari PC juga adalah hampir mustahil. Permainan seperti Forza dan Halo sukar untuk dikawal kerana input lag yang tidak dapat kami kurangkan. Hanya permainan yang tidak memerlukan kepantasan boleh dimainkan dalam Virtual Desktop.

Menonton YouTube dengan menaip menggunakan papan kekunci maya

Oleh itu kami rasakan Virtual Desktop paling sesuai digunakan sebagai wayang gambar maya. Tiga minggu lalu semasa kami mencubanya buat pertama kami, kandungan YouTube tiba boleh distrim. Tetapi kemas kini perisian yang diberikan membolehkan ini dilakukan. Ini terhad kepada kandungan YouTube sahaja. Jika anda membeli filem daripada Play Movie dan ingin memainkannya dari dalam YouTube, sistem DRM akan menyebabkan hanya skrin hitam sahaja boleh dipaparkan.

DRM menyebabkan kandungan Netflix tidak boleh distrim

Sistem DRM yang sama juga membuatkan kandungan Netflix, Prime, HBO Go dan Disney+ Hotstar tidak boleh dimainkan. Jika anda masih ingin menonton filem, anda perlu mempunyai fail dalam komputer yang kemudiannya dimainkan dalam aplikasi seperti VLC.

Menonton filem menerusi VLC boleh dilakukan tanpa masalah.

Boleh kami katakan pengalaman menonton filem dalam bilik wayang gergasi adalah sama seperti berada dalam wayang sebenar. Resolusi filem yang ditayang nampak jelas walaupun fail hanya pada resolusi 1080p. Sungguhpun begitu kekurangan ialah dari segi keselesaan.

Adalah sukar bagi kami untuk memakai Pico 4 selama dua jam berterusan. Hendak melakukan kerja 30 minit sekalipun kami mengalami kesukaran apatah lagi menonton filem yang lebih panjang. Setakat ini kami masih belum menemukan set kepala VR/AR yang benar-benar selesa untuk dipakai selama beberapa jam sehari. Tim Cook, Mark Zuckerberg, Cristiano Amon, Sundar Pichai dan TM Roh boleh mengatakan set kepala VR/AR ialah masa depan peranti pintar tetapi realitinya selagi ia tidak boleh dipakai selesa untuk tempoh yang lama ini tidak akan menjadi realiti.

KESIMPULAN

Virtual Desktop ialah perisian yang menawarkan premis yang menarik menjadikan impian kami dari 30 tahun yang lalu menjadi realiti. Proses menggunakannya adalah mudah dan intuitif. Visual yang dipaparkan secara majoritinya adalah baik serta lancar.

Namun begitu ia masih belum cukup sempurna kerana isu lengah masa yang amat ketara lebih-lebih lagi apabila kami cuba menaip atau menjalankan permainan video. Ruang maya yang ditawarkan juga masih agak terhad. Alangkah baiknya jika ada stor kami boleh membeli bilik maya baharu atau lebih menarik lagi mod membina sendiri ruang maya idaman.

Malang bagi Virtual Desktop ia wujud dalam dunia Apple Vision Pro yang menunjukkan integrasi lebih baik serta ekosistem lebih lengkap. Tetapi tidak adil membandingkan Virtual Desktop dengan peranti Apple yang harganya mencecah RM16,000 sepasang.

Pada waktu ini Virtual Deskop kami hanya boleh sarankan kepada pemilik Pico 4 yang ingin menyelam ke dalam pejabat maya dan menonton kandungan video pada skrin gergasi seakan panggung wayang tanpa berbelanja ratusan ribu. Tiga puluh tahun yang lalu apa yang boleh dilakukan oleh Virtual Desktop masih sekadar mimpi. Tidak disangka ia kini jadi realiti yang boleh dimiliki.

Komen