Sebelum ini pembelian ARM oleh NVIDIA telah dihalang kerana timbul bantahan ia menimbulkan isu monopoli di masa hadapan. Oleh sebab itu pemilik ARM, Softbank akan menawarkan IPO saham ARM dalam masa terdekat. Terkini Apple, Samsung, Intel dan NVIDIA dilaporkan akan melabur ke dalam IPO ini sejurus selepas ia ditawarkan pada September hadapan.
Pelaburan daripada gergasi dunia teknologi akan memastikan arah tuju ARM dapat dikawal mengikut keperluan syarikat. Sebelum penawaran IPO, Samsung dan Intel dilaporkan pernah menunjukkan minat untuk membeli ARM.
Pada waktu ini senibina ARM digunakan oleh lebih 90% peranti mudah alih dunia. Kerana dominasi pasaran ini, syarikat daripada China mula memberikan sokongan kepada senibina cip sumber terbuka RISC-V sebagai sandaran jika mereka dihalang mengakses teknologi ARM.
Minggu ini Bosch, Infineon, Nordic, NXP, dan Qualcomm menubuhkan syarikat baharu bagi mengembangkan penggunaan senibina RISC-V di kalangan pemain industri. Menarik sekali RISC-V juga menerima sokongan Google, Intel, dan Seagate.