Kandungan Asli HBO Mula Muncul Di Netflix Malaysia
Effi Saharudin
Warner Discovery yang merupakan syarikat induk platform Max (dahulunya HBO Max) mula menarik sebahagian kandungan asli mereka daripada platform. Dalam kenyataan yang diberikan beberapa tahun lalu, Warner Discovery berkata mereka terbuka untuk menawarkan kandungan asli mereka pada platform penstriman lain. Hari ini kami sedari, siri Ballers lakonan The Rock mula ditawarkan di Netflix Malaysia.

Pada waktu artikel ini ditulis hanya Ballers sahaja boleh distrim dengan terdapat logo HBO Original tertera jelas pada imej kecil yang dipaparkan di skrin. Ballers masih lagi boleh distrim menerusi HBO GO di Malaysia.
Sebagai pelanggan kami sering merasakan kualiti video di HBO GO adalah sangat tidak memuaskan. Sekiranya semua katalog mereka boleh ditawarkan pada platform lain ia mungkin adalah pilihan lebih baik kepada peminat Game of Thrones, The Last of Us, Chernobyl dan Band of Brothers yang ingin menonton siri popular ini pada kualiti 4K HDR.