Microsoft memperkenalkan ciri Big Chat pada enjin cari mereka beberapa bulan lalu dengan ia diharap akan menjadikannya enjin carian pilihan ramai kerana ciri kecerdasan yang menarik. Tetapi menurut data terkini Statcounter, usaha Microsoft tidak mendatangkan sebarang peningkatan kepada Bing kerana Google Search masih terlalu jauh di depan.
Pada Julai lalu 92.7% pengguna internet menggunakan Google untuk melakukan carian. Di tangga kedua ialah Bing (2.99%), Yandex (1.37%), Yahoo (1.17%) dan Baidu (0.94%). Adalah agak memalukan bagi Microsoft enjin carian mereka memegang pasaran yang sangat kecil di peringkat global walaupun selepas berbelanja besar.
Di Malaysia pula Google mendominasi 97.21% diikuti oleh Bing (1.77%), Yahoo (0.74%), Petal Search (0.08%) dan Duck Duck Go (0.07%). Ini tidak bermakna Google akan terus kekal di tangga teratas. Sejarah menunjukkan dua dekad lalu Yahoo dan Altavista adalah dua enjin carian yang dominan tetapi kini Generasi Z tidak tahu langsung kewujudan mereka.
Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Generasi Z menggunakan Instagram dan TikTok sebagai enjin carian maklumat. Dalam masa satu generasi sahaja lagi mungkin terma “cuba try Google” akan berubah ke “cuba try TikTok” pula.